Skip to main content

Gaya Hidup

Pengambilan kopi berlebihan mungkin ancam kesihatan jantung - Kajian

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Kebimbangan mengenai kesan buruk kafein terhadap tekanan darah dan kadar degupan jantung mendorong pelajar perubatan India Nency Kagathara untuk mengkaji kesannya terhadap kesihatan kardiovaskular, lapor United Press International (UPI).

Kagathara, pelajar di Zydus Medical College di Gujarat, India mendapati bahawa pengambilan lebih daripada 400 miligram (mg) kafein setiap hari boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan individu yang sihat.

"Dengan peningkatan beban penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, peranan kafein sebagai faktor risiko sering diabaikan," jelas Kagathara.

Kajian yang akan dibentangkan pada persidangan American College of Cardiology Asia 2024 di Delhi mendedahkan bahawa pengambilan kafein secara kronik boleh merangsang sistem saraf, menyebabkan peningkatan kadar degupan jantung secara berterusan dan tekanan darah.

Kagathara berkata pengambilan kafein yang tinggi dikaitkan dengan risiko lebih besar untuk mengalami keadaan seperti penyakit arteri koronari, kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik.

Dalam kajian itu, 100 peserta yang sihat berusia antara 18 hingga 45 tahun telah diuji, dengan 19.6 peratus daripada mereka mengambil lebih daripada 400mg kafein setiap hari.

Responden yang mengambil kafein dalam jumlah yang tinggi menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar degupan jantung dan tekanan darah selepas bersenam.

Kagathara memberi amaran bahawa pengambilan kafein secara kronik melebihi 600mg sehari boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang, termasuk kebimbangan, insomnia dan kelemahan tulang.

Pakar di persidangan itu, termasuk Dr Usman Baber dan Dr Gregory Marcus mengakui penemuan kajian berkenaan tetapi memberi amaran bahawa saiz sampel terlalu kecil untuk membuat kesimpulan yang muktamad.

Seorang pakar kardiologi Dr Jacqueline Hollywood menasihatkan bahawa walaupun pengambilan kafein secara sederhana umumnya selamat, mereka yang mempunyai masalah kardiovaskular sedia ada harus memantau kesihatan mereka dengan teliti selepas mengambil kafein.

Pakar kesihatan mencadangkan supaya berunding dengan penyedia penjagaan kesihatan untuk menilai risiko individu yang berkaitan dengan pengambilan kafein, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah jantung.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita