Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pengambilan jangka panjang paracetamol tingkat risiko tekanan darah tinggi - kajian

Satu kajian terbaru mendapati pengambilan pil paracetamol yang dipreskripsi boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar, lapor BBC News.

Anggaran Waktu Membaca:

LONDON: Satu kajian terbaru mendapati pengambilan pil paracetamol yang dipreskripsi boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan angin ahmar, lapor BBC News.

Menurut pasukan penyelidik dari Universiti Edinburgh, doktor harus memikirkan tentang risiko dan manfaat pengambilan jangka panjang ubat tersebut terhadap pesakit.

Namun, mereka menekankan mengambil pil itu kerana pening kepala dan demam adalah selamat.

“Ini tidak berkaitan dengan pengambilan paracetamol dalam jangka masa singkat untuk sakit kepala atau demam. Ia tidak menjadi masalah.

“Risiko tersebut memberi ancaman kepada individu yang mengambil pil itu secara kerap dalam jangka masa panjang, kebiasaannya untuk sakit kronik seperti radang sendi arau arthritis,” kata seorang doktor Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di Scotland, Dr. Iain MacIntyre.

Pakar lain bagaimanapun berkata penyelidikan terhadap lebih ramai orang dalam jangka masa yang lebih lama diperlukan untuk mengesahkan penemuan tersebut.

Paracetamol digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai ubat jangka pendek untuk sengal-sengal badan tetapi juga diberikan kepada pesakit untuk menguruskan sakit kronik, walaupun tidak banyak bukti tentang manfaatnya untuk kegunaan jangka panjang.

Kajian oleh pasukan penyelidik dari Universiti Edinburgh
itu melibatkan 110 sukarelawan, dengan dua pertiga daripada mereka mengambil paracetamol bagi tekanan darah tinggi.

Dalam satu percubaan rambang, mereka diminta mengambil 1 gram paracetamol empat kali sehari selama dua minggu - dos biasa untuk pesakit yang mengalami sakit kronik - dan kemudian pil tiruan, atau plasebo, selama dua minggu lagi.

Uji kaji itu menunjukkan paracetamol meningkatkan tekanan darah, "salah satu faktor risiko paling penting berlaku serangan jantung dan angin ahmar" - lebih daripada plasebo, kata pakar perubatan klinikal Edinburgh Prof James Dear.

Justeru itu, mereka menasihati doktor agar memberikan dos serendah mungkin kepada pesakit untuk mengawal kesakitan dan memantau rapi mereka yang menghidap tekanan darah serta risiko penyakit jantung.

Pasukan Edinburgh itu berkata mereka tidak dapat menjelaskan bagaimana paracetamol akan meningkatkan tekanan darah tetapi penemuan mereka boleh membawa kepada semakan preskripsi jangka panjang paracetamol.

Sumber : Agensi berita/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan