Penduduk SG tinggal jauh dari pusat bandar boleh jangka masa perjalanan lebih singkat
Mengurangkan masa perjalanan bagi rakyat Singapura, terutama bagi mereka yang tingal jauh dari pusat bandar menjadi keutamaan Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.

Penduduk di estet Tengah dan Brickland bakal menikmati perkhidmatan bas baharu mulai Ogos. (Gambar: Mediacorp)
Beliau berkata demikian ketika bercakap dengan media pada Ahad (8 Jun) buat kali pertama sejak dilantik ke jawatannya yang baharu.
Sebagai contoh, para penduduk di estet Tengah dan Brickland bakal menikmati perkhidmatan bas baharu mulai Ogos, meningkatkan keterhubungan dengan titik-titik pengangkutan berhampiran.
"Hari ini, dari Tengah ke pusat bandar, mengambil masa 2-3 kali lebih lama dengan pengangkutan awam. Sasaran kami adalah apabila kami selesai di Tengah, apabila rangkaian pengangkutan awam beroperasi sepenuhnya, masa menggunakan pengangkutan awam ke bandar menjadi satu hingga dua kali sama cepatnya dengan kenderaan privet. Itulah sasaran kami, dan kami akan laksanakannya di seluruh Singapura, di estet-estet yang lebih jauh dari pusat bandar," kata Encik Siow.
Sebagai permulaan, para penduduk di estet Tengah dan Brickland boleh menjangkakan lapan perkhidmatan bas baharu menjelang akhir 2026. Ini termasuk khidmat bas penghubung 872, yang akan singgah di kawasan seperti Jurong Town Hall, Bukit Batok dan stesen MRT Chinese Garden.
Selain itu, empat lagi khidmat bas penyambung ekspres yang baharu akan membawa para penduduk ke stesen-stesen MRT berdekatan menjelang akhir 2026. Ini termasuk stesen MRT Beauty World di Laluan Downtown, Bukit Gombak dan Bukit Batok di Laluan Utara-Selatan (NSL), serta hab pengangkutan Jurong East.
Dua khidmat bas ekspres juga bakal diadakan. Satu dari Brickland ke pusat bandar, serta laluan bas privet ke One-North.
Menurut Encik Siow, tambang pengangkutan mungkin lebih tinggi bagi khidmat bas swasta sedemikian.
"Terdapat laluan tertentu di mana cukup permintaan dan pengendali privet bersedia untuk melakukannya, sedang pengendali pengangkutan awam belum bersedia untuknya," kata Encik Siow.
"Kami fikir kami boleh, dalam jangka pendek, memperkenalkan laluan sebegini. Jika ia berjalan dengan baik dalam jangka panjang, kami sentiasa boleh menimbangkan untuk menyertakannya ke dalam rangkaian bas awam," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.