Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pemuda S'pura ini belanja kurang S$1,200 sebulan 'cuti mewah' selama setahun

Sedang ramai orang bekerja dari rumah, pengasas @smilesuite Fairuz Sallim bekerja dari hotel-hotel mewah - termasuk di Bangkok & Dubai - sejak setahun lalu. Termasuk kos makan minum, tiket 'business class', dia hanya belanja kurang S$1,200 setiap bulan! Ini caranya...

Anggaran Waktu Membaca:
Pemuda S'pura ini belanja kurang S$1,200 sebulan 'cuti mewah' selama setahun

(Gambar ihsan: Fairuz Sallim)

Diterbitkan : 22 Nov 2021 11:30PM Dikemas Kini : 05 May 2022 12:58PM

SINGAPURA: Sedang kebanyakan penduduk tempatan 'terperap' dalam negara sejak penutupan sempadan sekitar Mac tahun lalu dek COVID-19, seorang pemuda warga Singapura pula sudah setahun melancong ke beberapa destinasi utama di luar negara.

Lebih menarik lagi, pemuda bernama Fairuz Sallim itu, menghabiskan masanya di hotel-hotel mewah namun berjaya menghadkan perbelanjaannya kepada sekitar S$1,190 saja sebulan.

Pengalaman perajalanan beliau dikongsi menerusi laman blog Suitesmile - yang ditubuhkannya untuk berkongsi dengan orang ramai cara untuk 'hack' atau membuat perancangan bijak wisata bagi mendapatkan harga yang terendah.

Ini dilakukan dengan memanfaatkan mata 'miles' (mata yang ditawarkan program 'frequent flyer' atau perjalanan kerap syarikat penerbangan, yang boleh ditebus untuk membiaya kos perjalanan seterusnya), mata yang dikutip daripada pembayaran kad kredit dan program pelanggan setia rangkaian hotel tertentu.

TIDAK MAHU LEPASKAN PELUANG KEEMASAN

Berkongsi cerita dengan BERITAmediacorp, Fairuz, 36 tahun, berkata beliau sememangnya banyak menghabiskan masa tinggal di hotel sebelum pandemik melanda.

"Harga hotel amat rendah (di luar Singapura) semasa pandemik ini adalah peluang keemasan yang sukar untuk saya lepaskan!" kata beliau jujur semasa menceritakan mengapa beliau memilih untuk tinggal di luar negara sepanjang pandemik ini.

Pun begitu, Fairuz yang mempunyai perniagaan fotografi di Singapura, menekankan bahawa keputusannya itu mempunyai cabarannya tersendiri, selain risiko COVID-19.

Dasar penutupan sempadan yang berubah-ubah pada saat-saat terakhir serta kesukaran mendapatkan vaksin sebagai seorang warga asing di rantauan hanya sebahagian kecil cabaran yang dihadapinya sedang beliau menikmati keindahan menginap di hotel.

Walaupun saya benar-benar menikmati perjalanan dalam tempoh 12 bulan yang lalu, saya faham bahawa saya mengambil risiko kesihatan dengan melakukan perjalanan semasa pandemik dan tidak sesekali mengesyorkannya.

Tujuan penulisan ini adalah untuk terus telus dan berkongsi kemungkinan sebenar penggodaman perjalanan apabila anda memanfaatkannya sebaik mungkin.

Saya berharap ia memberi inspirasi kepada lebih ramai pengembara untuk belajar penggodaman perjalanan dan melakukan perjalanan dengan lebih bijak pada masa hadapan!

SEKILAS PERJALANAN

  • Bandar-bandar dikunjungi: 6, iaitu Johor Bahru, Kuala Lumpur, Dubai, Bangkok, Jakarta dan Bali
  • Penginapan di bilik hotel: 352 malam
    (Marriott: 171, Hilton: 80, Hyatt: 55, Accor: 13, IHG: 4, Fraser: 4, Hotel bukan rangkaian: 25)
  • Penginapan di Airbnb: 11 malam
  • Tempat penginapan: 66
  • Penerbangan jarak jauh: 2 malam
    (Qatar Airways, Japan Airlines Kelas Perniagaan)
  • Penginapan dibiaya tunai: 299 malam
  • Penginapan dibiaya dengan 'points': 66
    (Hilton: 61, Hyatt: 3, Marriott: 2)
  • Tempoh kuarantin: 20 malam
    (Bangkok: 15, Jakarta: 5)
  • Jumlah penerbangan: 8
  • Ujian swab: 12

Selain daripada penginapan satu malam di The Apurva Kempinski Bali, saya menempah bilik asas (paling murah) di kesemua hotel dan sentiasa ditawarkan bilik lebih baik kerana status keanggotaan (skim pelanggan setia).

PERBELANJAAN UNTUK PENGINAPAN

Jika anda mengikuti Suitesmile di Instagram dan melihat ulasan hotel saya, anda pasti tahu bahawa saya sentiasa telus tentang jumlah yang saya bayar untuk penginapan hotel dan faedah percuma yang ditawarkan.

Sepanjang 12 bulan yang lalu, saya sudah membelanjakan S$20,383.91 untuk penginapan. Secara purata, jumlahnya adalah S$1,699 sebulan dan S$57 setiap malam.

Namun, angka kasar ini tidak memberikan gambaran sebenar.

Dengan pembayaran tersebut, saya memperoleh lebih 70,000 mata 'miles' kad kredit dan ratusan ribu mata hotel yang boleh ditebus untuk lebih 80 malam percuma di beberapa hotel daripada rangkaian seperti Marriott Bonvoy dan World of Hyatt.

Jika diambil kira diskaun daripada mata 'miles' dan tawaran penginapan percuma, inilah perbelanjaan purata saya yang sebenar:

Hanya S$1,193 sebulan

BAGAIMANA PULA DENGAN MAKAN & MINUM?

Hampir semua penginapan hotel saya termasuk sarapan percuma, kerana status keanggotaan saya dengan pelbagai program pelanggan setia hotel.

Sebahagian penginapan tersebut, seperti penginapan di Al Maha Dubai, Grand Hyatt Bangkok, W Bali Seminyak dan The Ritz-Carlton Bali malah menawarkan kredit hotel, yang kami gunakan untuk 2 hingga 3 hidangan makanan percuma setiap hari!

Selain makanan percuma, terdapat faedah lain seperti WiFi percuma, elektrik, air, khidmat mengemas dan kemudahan lain.

Sebanyak 20 malam juga dihabiskan di hotel kuarantin di mana makanan harian sudah diambil kira dalam kos keseluruhan.

PERBELANJAAN PENERBANGAN

Selain penerbangan Kelas Perniagaan Qatar Airways dan Japan Airlines, yang ditebus gunakan mata 'miles', saya membayar tiket penerbangan Ekonomi biasa secara tunai bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai (sekitar S$400) dan antara Jakarta dengan Bali (sekitar S$60 setiap perjalanan).

RANCANGAN SETERUSNYA

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp menerusi emel sambil menghirup udara segar di Bandung, Fairuz berkongsi bahawa dahaganya untuk merantau belum sampai ke titik nokta.

Beliau akan ke Bali selepas ini diikuti dengan Surabaya sebelum pulang ke tanah air pada sekitar pertengahan Januari.

"Tapi tentu sekali saya perlu siapkan pelan B dan pelan C, takut-takut ada keadaan tidak diduga berlaku," katanya bersikap realistik.

Ditanya sama ada orang ramai boleh menjangkakan penjimatan yang dinikmatinya apabila mereka melakukan perjalanan kelak, Fairuz akui bahawa apa yang beliau lakukan adalah "ekstrem" dan hasil kajian yang memakan masa yang lama.

(Gambar ihsan: Fairuz Sallim)

(Gambar ihsan: Fairuz Sallim)

Pun begitu, beliau mengamati banyak tempat wisata seperti Bali, Bangkok dan Phuket yang masih menawarkan potongan harga besar - ada sehingga 50 peratus.

"Lebih daripada sekadar diskaun, penduduk di bandar-bandar ini terjejas teruk semasa pandemik dari segi kewangan. Mereka lebih memerlukan anda, pelancong, berbanding bandar-bandar (besar) di pelosok lain dunia," ujar Fairuz.

Walau apapun, Fairuz berharap selain bijak dari segi kewangan semasa merancang perjalanan, orang ramai harus terus berjaga-jaga dari sudut kesihatan apabila berpeluang ke luar negara.

Sumber : BERITA Mediacorp/Sumber web/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan