Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pempengaruh dikritik kerana takut-takutkan anak dalam video TikTok 'berhantu'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pempengaruh, atau 'influencer', Naomi Neo memberi respons kepada tindak balas yang diterima daripada warga siber setelah beliau memuat naik video TikTok yang menunjukkan dirinya mengusik atau melakukan 'prank' hantu terhadap anak lelakinya yang berusia 4 tahun, pada Khamis (11 Ogos).

Video Cik Neo merupakan salah satu trend terbaru TikTok yang tular, menyaksikan ibu bapa atau adik-beradik mengusik kanak-kanak dengan meletakkan kamera telefon di hadapan kanak-kanak tersebut supaya mereka dapat melihat diri mereka sendiri. Kemudian, kanak-kanak tersebut akan ditinggalkan seorang diri dalam bilik yang dikunci sambil diperdengarkan bunyi mengilai dan diperlihatkan mereka 'hantu biru' yang muncul di skrin telefon berkenaan.

Sepertimana yang dijangka, video sebegitu seringkali berakhir dengan jeritan dan air mata yang berlinangan sedang kanak-kanak yang berada dalam ketakutan, cuba untuk keluar daripada bilik yang dikunci.

Video Tiktok Cik Neo menunjukkan dirinya dan suami cuba mengusik anaknya, Kyzo sehingga dia menjerit dan melompat dalam tangisan serta ketakutan. Sejak Khamis (11 Ogos) lalu, video tersebut menerima 22.9 juta tontonan.

Meskipun Cik Neo sudahpun menyatakan dalam catatan bahawa beliau "sudahpun menangis dan memohon maaf" kepada anaknya, ruang komen terus dibanjiri kritikan terhadapnya kerana melakukan usikan yang menyebabkan "trauma" terhadap anak kecilnya itu.

Antara yang tampil memberi reaksi kepada video Cik Neo ialah seorang pengguna TikTok yang merujuk kepada dirinya sebagai "makcik milenium". Dia berpendapat bahawa walapun kerja Cik Neo memerlukannya untuk menghasilkan kandungan yang menarik, dia menyarankan agar Cik Neo dapat menggunakan video lain yang lucu ataupun merakamkan detik-detik yang menunjukkan sisi mereka yang penyayang daripada 'prank' sebegitu.

"Ada sesuatu yang tidak betul dengan meletakkan anak anda dalam keadaan yang menakutkan supaya anda boleh...dapatkan sesuatu respons daripada pengikut anda. Ia seperti tidak betul," ujarnya.

Pendapat itu turut disokong sekumpulan warga siber termasuk seorang personaliti media sosial tempatan Nicole Liel yang baru-baru ini dikenali disebabkan jawapannya yang mencuit hati semasa sambutan NDP tahun ini.

Para pengguna platform sosial media seperti Twitter rata-rata mengecam trend 'prank' berhantu itu.

Ini bukan kali pertama Cik Neo dikritik atas video yang merakam dirinya melakukan 'prank' terhadap Kyzo.

Pada April tahun lalu, dia melakukan 'prank' terhadap anaknya di mana dia berpura-pura tidak nampak anaknya yang dianggap sudah 'lesap'. Anaknya dipaparkan menangis di hujung video tersebut. Namun, video itu mendapat tontonan melebihi 14 juta.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan