Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Peminat serangga ini kumpul mentadak unik sejak usia tujuh tahun

Lari daripada kebiasaan, seorang lelaki memilih untuk memelihara serangga sebagai haiwan belaan sejak usia tujuh tahun lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Lari daripada kebiasaan, seorang lelaki memilih untuk memelihara serangga sebagai haiwan belaan sejak usia tujuh tahun lagi.

Dalam pelbagai jenis serangga yang dikenalinya, Muhammad Nazim Mizan mengakui dirinya lebih tertarik pada satu jenis serangga yang memiliki karakter menarik.

Teknisyen berusia 26 tahun itu berkata, minat mengumpul dan memelihara mentadak di rumah memberikannya satu kepuasan yang tidak boleh digambarkan, lapor Astro Awani.

“Saya masih ingat ketika usia saya tujuh tahun, waktu itu saya bermain di padang kawasan rumah.

“Sebaik ternampak aksi mentadak ‘bertarung’ dengan seekor kucing, waktu itu saya sedar mula terpaut dengan serangga yang dianggap sangat hebat,” katanya.

Tambah Nazim, sehingga kini dia mempunyai lebih tujuh jenis mentadak yang diletakkan di dalam bekas khas.

“Ada beberapa jenis ada dalam simpanan saya antaranya spesies Gemmatus, Giraffe Mantis, Emposa Penata, Rhombodera Basalis, Hierodula Venosa, Acromantis dan banyak lagi."

“Masing-masing memiliki keunikan tersendiri yang membuatkan saya semakin kagum melihat ciptaan Allah SWT ini."

Tambah Nazim, memelihara serangga mungkin kelihatan mudah tetapi mentadak juga memerlukan perhatian daripada pemilik.

Perhatian yang dimaksudkan adalah mentadak memerlukan suasana nyaman dengan suhu tepat dan kelembapan termasuk kebersihan bekas yang perlu dibersihkan selalu, seperti dinukil Astro Awani.

“Saya juga akan pastikan mentadak dapat bekalan terbaik,” katanya sambil menambah jangka hayat bagi setiap mentadak boleh mencecah sehingga usia dua tahun."

"Harga bergantung pada spesis dan saiz. Kalau paling kecil boleh mencecah RM15-RM20 namun bergantung kepada penjual."

"Kalau usia pertengahan dalam lingkungan harga RM70-RM80 (S$21-S$24) seekor manakala mentadak dewasa harga lebih mahal sedikit sekitar RM200-RM300 (S$61-S$92)," katanya."

Mentadak juga perlu diberi makan dua kali seminggu dan tidak boleh terlalu kenyang memandangkan saiz fizikal yang kecil dan halus.

Antara makanan yang diberikan kepada mentadak peliharaannya adalah lipas Dubia, lalat buah, cacing dan lipas Turkistan.

“Bekalan makanan semua diimport dari luar negara. Macam lipas Dubia, harga untuk satu bekas sekitar RM15 (S$5)."

Sumber : Agensi berita/AE/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan