Skip to main content

Gaya Hidup

Peminat Milo berpusu-pusu ke pasar raya untuk dapatkan patung 'plushie' edisi terhad

Kini anda bukan sahaja boleh minum secawan Milo, malah boleh memeluknya ketika tidur. Pada Sabtu (26 Apr), Milo Singapura melancarkan dua set patung 'plushie' edisi terhad yang diilhamkan oleh juadah tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Peminat Milo berpusu-pusu ke pasar raya untuk dapatkan patung 'plushie' edisi terhad

Peminat Milo di pasar raya untuk mendapatkan patung plushie edisi terhad yang popular. (Gambar: Milo Singapore/Instagram dan @xueting10/TikTok)

SINGAPURA: Kini anda bukan sahaja boleh minum secawan Milo, malah boleh memeluknya ketika tidur. Pada Sabtu (26 Apr), Milo Singapura melancarkan dua set patung 'plushie' edisi terhad yang diilhamkan oleh juadah tempatan.

Pelancaran patung plush tersebut, yang meraikan ulang tahun ke-75 minuman ikonik itu di Singapura, mencetuskan keghairahan dalam kalangan peminat Milo, dengan ramai yang berpusu-pusu ke pasar raya pada hari pelancarannya untuk mendapatkan satu atau lebih patung berkenaan.

Video-video di TikTok menunjukkan orang ramai berkumpul di pasar raya seperti NTUC di Northpoint City dan FairPrice di Woodlands, mengerumuni kotak-kotak pek promosi Milo, yang setiap satu mengandungi satu patung plush daripada salah satu siri.
Orang ramai membanjiri FairPrice di Woodlands (kiri) dan NTUC di Northpoint (kanan) untuk mendapatkan patung plushie Milo. (Gambar: @xueting10/TikTok dan @yx0719_/TikTok)
Orang ramai boleh memilih daripada The Breakfast Set, yang menampilkan roti bakar kaya, telur separuh masak, dan minuman Milo klasik; atau The Breaktime Set yang menampilkan biskut gem, roti ban, dan pek Milo.

Atau, anda boleh cuba mengumpul kesemuanya, seperti yang sedang dilakukan segelintir peminat.

Sudah tentu, apabila terdapat produk yang menjadi tular, ada juga yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan. Tidak hairanlah, patung-patung plush bersama beg eko yang disertakan sudahpun disenaraikan di pasaran barangan terpakai Carousell dengan harga antara S$10 hingga S$15 setiap satu. Malah ada yang disenaraikan pada harga S$38.

Patung-patung plush tersebut tersedia selagi stok masih ada dan Mediacorp telah menghubungi Milo Singapura untuk mendapatkan maklumat sama ada reka bentuk tambahan akan dikeluarkan.

Buat masa ini, anda boleh mendapatkan patung plush berkenaan dengan membeli pek promosi Milo 3-dalam-1 (16 sachet) atau Milo Gao Siew Dai (Kurang Gula) (13 sachet) untuk menerima satu patung plush Milo Singapore Breakfast Set secara rawak. Harga setiap pek ialah S$7.95.

Atau anda boleh juga membeli lima pek promosi Milo UHT 4x125ml Cluster pada harga S$2.87 setiap pek untuk menerima satu patung plush Milo Singapore Breaktime Set dalam setiap pek.

Pek promosi berkenaan boleh didapati di pasar raya seluruh negara, termasuk FairPrice, Cold Storage, Giant, Sheng Siong dan Prime.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita