Pemilik Brewprint Coffee, Khairul kongsi pengalaman kendalikan kafe dari rumah
Khairul menyediakan black forest macchiato, salah satu minuman istimewa Brewprint Coffee. (Gambar-gambar: CNA/Nashita Farveen)
SINGAPURA: Dalam ekonomi pasca pandemik yang dibelenggu inflasi dan harga sewa yang melambung tinggi, ramai usahawan yang berura-ura membuka kafe sendiri memilih untuk menjalankan perniagaan kafe dari rumah.
Walaupun dahulu perniagaan kedai kopi dianggap sebagai cita-cita yang mudah tercapai, namun kos sewa yang tinggi menjadikan impian membuka kedai kopi tradisional semakin di luar jangkauan.
KAFE 'BREWPRINT COFFEE' DI TAMPINES
Brewprint Coffee di Tampines hanya menawarkan khidmat pesan dan bungkus dan ia beroperasi setiap hari, kadangkala selewat pukul 10.00 malam.
Ditubuhkan oleh pasangan adik beradik Khairul, dalam lingkungan usia lewat 20an tahun dan Nur Qistina, 25 tahun, kafe itu beroperasi berdasarkan pesan terlebih dahulu menerusi Grab atau di laman mereka.
Khairul mengendalikan operasi harian manakala Qistina bantu menguruskan akaun media sosial kafe itu dan kadang kala menyokong operasi di kafe.
"Adik perempuan saya katakan, memandangkan anda suka menghidang dan membuat kopi, dan anda selalu di rumah, mengapa tidak kita buka kafe di rumah sahaja," kata Khairul.
Brewpring Coffee dilancarkan pada Oktober 2024.
Namun perniagaannya pada mula kurang memberangsangkan.
Khairul berkata: "Pada sesetengah hari, saya hanya duduk, tidak melakukan apa-apa dan hanya menunggu pelanggan datang".
Perniagaannya mula bertambah rancak pada Februari 2025, hasil usaha pemasaran Qistina dan minat yang meningkat terhadap kafe-kafe di rumah.
Kini, kafenya menjual sehingga 50 cawan pada hujung minggu dan kira-kira 20 cawan pada hari biasa.
BINA IKATAN DENGAN PELANGGAN
Kafe itu turut menjual siri minuman matcha berperisa mangga, strawberi dan karamel masin pada harga S$6.80.
Para pelanggan boleh memilih antara dua jenis biji kopi asal Brazil atau Habsyah.
"Biji kopi Brazil menawarkan rasa kecoklatan yang pekat, manakala biji kopi dari Habsyah mempunyai rasa buah-buahan," kata Khairul.
Kafe itu juga menggunakan cawan lebih besar yang serupa atau mungkin lebih besar daripada cawan-cawan kopi yang digunakan di kafe-kafe komersial.
Antara tawaran minuman kopi adalah karamel macchiato (S$5.80 panas, S$6.30 ais) dan black forest macchiato (S$6.90 ais).
BUKAN SEKADAR CARI UNTUNG
"Saya rasa (ia) bukan sebenarnya untuk meraih pendapatan... kami memang suka menghidangkan kopi kepada orang ramai," kata Khairul.
Beliau menghargai hubungan yang terjalin dengan pelanggan-pelanggannya.
SEMANGAT KEMASYARAKATAN
Khairul mengalu-alukan kewujudan lebih banyak kafe di rumah.
“Kami membantu orang ramai nikmati kopi mereka di tempat yang selesa bagi mereka... dan harganya tidaklah begitu mahal,” tambah beliau.
Brewprint Coffee terletak di Blok 285, Tampines Street 22. Butiran lanjut di sini.
Laporan asal diterbitkan oleh CNA Lifestyle dan boleh dibaca di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.