Skip to main content

Gaya Hidup

Pemerintah Riau usul laksana koridor perjalanan dengan S'pura pertengahan tahun ini

Pemerintah wilayah Kepulauan Riau menyarankan koridor perjalanan selamat dengan Singapura yang diusulkan bermula pada 1 Mei atau 1 Jun, menurut seorang pegawai kanan pelancongan Indonesia pada Selasa (13 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah Riau usul laksana koridor perjalanan dengan S'pura pertengahan tahun ini

(Gambar: Kiki Siregar)

Diterbitkan : 13 Apr 2021 09:57PM Dikemas Kini : 13 Apr 2021 10:03PM

JAKARTA: Pemerintah wilayah Kepulauan Riau menyarankan koridor perjalanan selamat dengan Singapura yang diusulkan bermula pada 1 Mei atau 1 Jun, menurut seorang pegawai kanan pelancongan Indonesia pada Selasa (13 Apr).

Dalam kenyataan medianya, Cik R Kurleni Ukar, yang juga adalah Deputi Bidang Kebijakan Strategis Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, berkata bahawa terdapat usaha berkala untuk memantau pelan bagi koridor perjalanan selamat di Bintan, Batam dan Bali.

Beliau turut menarik perhatian bahawa gabenor Kepulauan Riau (KEPRI) sudah menyarankan beberapa tarikh untuk menyambung semula perjalanan antara Bintan Lagoi dengan Singapura.

"Gabenor Kepulauan Riau sudah menyarankan untuk melaksanakan Aturan Koridor Perjalanan bagi kawasan Bintan Lagoi bermula 21 Apr 2021. Bagaimanapun, ia masih lagi menimbangkan sama ada program vaksinasi boleh dicapai, (sama ada) COVID-19 dapat dikawal dan respons pemerintah Singapura," katanya.

"Mereka sudah membentangkan beberapa senario, terutama sekali (untuk menyambung semula) pada 21 Apr, kemudian 1 Mei atau pada 1 Jun 2021," tambahnya.

Bulan lalu, Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia Sandiaga Uno ada mengatakan bahawa persiapan boleh dimulakan bagi "koridor perjalanan selamat" antara Singapura, Batam Nongsa dan Bintan Lagoi.

Beliau turut menyarankan agar koridor perjalanan itu boleh bermula pada 21 Apr. Bintan Lagoi dan Batam Nongsa adalah di bawah naungan wilayah Kepulauan Riau.

Apabila Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan melakukan lawatan ke Jakarta pada lewat bulan lalu, beliau berkata bahawa kedua-dua negara sebaik-baiknya harus memilki "tahap kawalan yang sama" berhubung jangkitan COVID-19 sebelum aturan perjalanan sedemikian boleh disambung semula.

"Saya ingin menekankan bahawa kita memerlukan keadaan COVID-19 bertambah baik. Sebaik-baiknya untuk mereka mencapai tahap kawalan yang sama seperti kita di Singapura dan ini bermakna setiap hari kita mempunyai antara sifar dan satu kes masyarakat," menurut Dr Balakrishnan.

Beliau juga menekankan bahawa perjalanan di tengah-tengah pandemik tidak boleh disamakan seperti sebelum berlaku COVID-19, selagi keadaan belum kembali normal dan sama di pelbagai destinasi lain.

Dr Balakrishnan turut menegaskan betapa pentingnya untuk menjalankan ujian, vaksinasi dan keupayaan untuk berkongsi rekod yang dapat disahkan dan diluluskan sebelum perjalanan rentas sempadan boleh disambung semula.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita