Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pemeriksaan kesihatan tahunan penting bagi wanita; Ini sebab-sebabnya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anda pasti biasa mendengar pepatah yang mengatakan, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sebagai wanita, kita sering kali menjadi penjaga utama dalam keluarga, sama ada yang sudah berumah tangga atau bujang, ada anak atau tidak.

Maka, tidak hairanah, disebabkan sibuk menjaga orang lain terlebih dahulu ramai wanita kurang memberi perhatian kepada keperluan dan kesejahteraan mereka sendiri. 

Namun, satu perkara yang tidak harus dipandang ringan ialah utamakan kesihatan anda sendiri! Natijahnya - Anda tidak boleh menjaga orang lain dengan baik jika anda sendiri tidak sihat. 

Menjaga kesihatan bukanlah perkara sukar untuk dilakukan, namun ia memerlukan sedikit usaha dan keazaman. 

Satu langkah pertama dalam perjalanan itu ialah dengan mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang betul.

Dr Clara Ong, pakar perbidanan dan sakit puan di Hospital Gleneagles, berkata pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana ia membantu dalam mengesan awal keadaan tertentu.

“Ini boleh membawa kepada rawatan awal dan hasil yang lebih baik. Itulah sebabnya penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan walaupun anda berasa sihat," katanya.

Dr Edwin Chng, pengarah perubatan Parkway Shenton, menekankan bahawa semua wanita perlu menjalani pemeriksaan secara berkala.

“Dapatkan nasihat daripada doktor anda untuk menentukan jenis dan tahap pemeriksaan. Ini kerana wanita yang mempunyai profil risiko yang berbeza harus memulakan pemeriksaan kesihatan pada usia yang berbeza, dan menjalani ujian penyakit dan keadaan yang berbeza.

"Oleh itu, penilaian doktor adalah penting untuk memastikan pakej pemeriksaan kesihatan peribadi yang relevan dan berguna kepada anda," katanya. 

Keperluan ujian kesihatan wanita sering kali berubah seiring dengan pertambahan usia.

UJIAN SARINGAN BAGI SEMUA WANITA

Mendapatkan pemeriksaan kesihatan lebih awal dapat bantu mengenal pasti sebarang penyakit kronik seperti barah, kencing manis dan osteoporosis.

Tambah lagi, ujian kesihatan wanita berupaya mengesan penyakit bahkan sebelum anda mula mengalami sebarang simptom.

Jenis pemeriksaan yang diperlukan pula akan bergantung pada usia, sejarah keluarga, sejarah kesihatan anda sendiri, dan faktor risiko lain.

UJIAN KESIHATAN UNTUK WANITA DARI UMUR 25 TAHUN

"Wanita berusia 25 hingga 69 tahun yang pernah melakukan hubungan seksual harus membuat saringan untuk barah pangkal rahim," kata Dr Ong.

Bagi mereka yang berusia antara 25 dengan 29 tahun, ini bermakna ujian Pap smear sekurang-kurangnya sekali setiap tiga tahun, di mana sampel tisu diambil dari pangkal rahim menggunakan spatula atau berus dan dihantar ke makmal untuk memeriksa jika ada sesuatu yang tidak normal.

Dari usia 30 tahun, Dr Ong mengesyorkan ujian human papillomavirus (HPV) sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun. Dijalankan dengan cara yang sama seperti Pap smear, ujian itu memeriksa tisu dari pangkal rahim untuk mengesan sebarang jenis virus HPV berisiko tinggi yang diketahui menyebabkan barah.

"Ujian ini harus dilakukan tanpa mengira sama ada anda telah mendapatkan vaksin HPV," kata beliau.

Maklumat daripada Hospital Mount Elizabeth menyatakan bahawa pengesanan awal barah pangkal rahim menghasilkan rawatan dan kadar pulih jauh lebih baik. Barah pangkal rahim peringkat awal mempunyai kadar pulih selama lima tahun sebanyak 92 peratus, berbanding 17 peratus pada tahap akhir.

UJIAN KESIHATAN UNTUK WANITA 40 TAHUN 

Sebaik sahaja anda mencecah usia 40-an, pemeriksaan kesihatan yang kerap bukan sahaja penting, ia juga perlu merangkumi lebih banyak penyakit disebabkan kemungkinan mendapat penyakit kronik dan barah meningkat, dan perimenopause (peralihan kepada menopaus) membawa perubahan fizikal dan hormon.

Bagi wanita dalam kumpulan umur ini, Dr Chng berkata ujian asas tetapi penting termasuk tekanan darah untuk mengesan penyakit darah tinggi; indeks jisim badan untuk mengesan obesiti; paras gula untuk menyaring penyakit kencing manis; dan ujian lipid untuk mengesan kolesterol tinggi.

Dr Ong juga mengesyorkan mereka yang berumur 40 hingga 49 tahun menjalani mamogram sekali setahun untuk saringan barah payudara.

Data daripada Pendaftaran Barah Singapura menunjukkan bahawa antara 2015 dan 2019, barah payudara  adalah jenis baeah yang paling biasa menyerang wanita di Singapura, menyumbang kepada hampir 30 peratus kes barah di sini.

Menurut Persatuan Barah Singapura, kebanyakan wanita yang didiagnosis menghidap barah payudara berusia lebih 40 tahun, dan peluang untuk pulih meningkat dengan pengesanan awal.

Satu lagi penyakit yang kurang diberi perhatian, tetapi harus dilakukan ialah berkaitan kesihatan tulang.

“Osteoporosis sangat biasa berlaku dalam kalangan wanita. Hormon wanita mempunyai kesan perlindungan tulang, jadi apabila wanita melalui menopaus, mereka mengalami pengurangan eksponen dalam ketumpatan mineral tulang,” kata Dr Henry Chan, pakar bedah ortopedik di Hospital Mount Elizabeth.

Masalahnya, jelas beliau, osteoporosis tidak mempunyai tanda atau gejala luaran. Oleh itu kebanyakan pesakit tidak tahu bahawa mereka menghidapnya sehingga mereka mengalami patah tulang osteoporosis, yang pada masa itu keadaannya dianggap teruk.

"Jisim tulang biasanya akan mencapai maksimum kira-kira pada usia 35 tahun dan berkurangan secara beransur-ansur selepas itu," kata Dr Chan.

Pemeriksaan melalui prosedur imbasan yang cepat dan tidak menyakitkan mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit, bagi mengesan ketumpatan mineral tulang menggunakan sinar-X tahap rendah pada pinggul dan tulang belakang anda untuk tahu jumlah kalsium dan mineral lain yang terdapat dalam tulang anda.

UJIAN KESIHATAN UNTUK WANITA DARI 50 TAHUN

Pemeriksaan untuk semua penyakit yang disebutkan sebelum ini perlu diteruskan. Bagaimanapun, Dr Ong berkata wanita dari usia 50 hingga 69 tahun boleh menjalani mamogram setiap dua tahun dan bukannya setiap tahun.

Beliau juga menasihatkan wanita berusia lebih 50 tahun untuk menjalani pemeriksaan barah barah usus besar.

Menurut Hospital Universiti Nasional, barah usus besar adalah jenis barah kedua paling biasa bagi wanita di Singapura, dan lebih kerap berlaku selepas umur 50 tahun dan dalam kalangan orang Cina.

Pemeriksaan melibatkan ujian najis di mana sampel najis anda dianalisis untuk mengesan kesan darah, atau melalui prosedur kolonoskopi yang memberikan gambaran langsung usus dan membolehkan doktor membuang tumbuhan polip dan mengambil sampel tisu.

Meskipun kedengaran agak merumitkan, melakukan ujian saringan dan pemeriksaan kesihatan  secara berkala dapat menyelamatkan nyawa anda!

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan