Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pembuat batik Indonesia manfaatkan hutan bakau hasil produk pewarna semula jadi

Di kawasan hutan bakau terpencil di tengah Indonesia, seorang lelaki dengan perlahan-lahan mengatur langkah merentasi tumbuh-tumbuhan untuk mencari buah-buahan yang terdampar di atas dedaun atau terapung di permukaan air.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembuat batik Indonesia manfaatkan hutan bakau hasil produk pewarna semula jadi

Gambar: Shutterstock

Diterbitkan : 17 Nov 2021 11:43AM Dikemas Kini : 17 Nov 2021 11:48AM

CILACAP: Di kawasan hutan bakau terpencil di tengah Indonesia, seorang lelaki dengan perlahan-lahan mengatur langkah merentasi tumbuh-tumbuhan untuk mencari buah-buahan yang terdampar di atas dedaun atau terapung di permukaan air.

Berbekalkan buah-buahan yang kelihatan seperti kacang buncis itu, lelaki tersebut, seorang tukang batik, pulang ke rumah untuk membuat pewarna semula jadi.

Sepanjang empat tahun lalu, Encik Sodikin, 48 tahun bersama kumpulan pembuat batiknya beralih daripada menggunakan bahan kimia sebagai pewarna kepada produk-produk hutan bakau sekali gus mengurangkan kos dan membantu alam sekitar.

"Kami menggunakan bahan semula jadi supaya dapat memelihara hutan bakau pada masa yang sama," kata Encik Sodikin kepada Reuters sedang beliau memproses buah-buahan kering sebelum merebusnya untuk mengeluarkan warna. "Kami tidak menebang pokok dan kami hanya mengutip buah-buahan dan dedaun yang sudah gugur."

Hutan-hutan bakau memainkan peranan penting bagi kelestarian alam semula jadi Indonesia kerana ia merupakan hadangan terhadap tsunami dan menyediakan ekosistem penting bagi ikan dan ketam. Hutan-hutan tersebut juga adalah penyerap karbon dioksida yang lebih berkesan berbanding hutan hujan atau tanah gambut.

Meskipun warnanya lebih pudar berbanding pewarna tiruan, menggunakan pewarna semula jadi lebih mampan untuk sekitaran dan memiliki nilai pasaran lebih tinggi kerana bermutu dan tahan lama, menurut Encik Erwin Ardly, seorang ahli ekologi hutan bakau di Universiti Jenderal Soedirman di Indonesia.

"Kami menyaksikan minat terhadap pewarna semula jadi semakin meningkat dan khususnya dalam kalangan warga berkelas pertengahan dan atas. Mereka kelihatan bangga memakai pakaian menggunakan pewarna semula jadi berbanding pewarna tiruan," kata beliau.

Pemilik kedai batik, Encik Budiarti bersetuju sambil berkata bahawa barangan dengan pewarna semula jadi boleh berharga dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding barangan dengan pewarna tiruan.

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan