Skip to main content

Gaya Hidup

Pembeli-belah beratur panjang rebut diskaun jualan 'Black Friday' di Orchard Road

Bila bercakap tentang hal membeli-belah, kesesakan lalu lintas atau cuaca hujan bukan penghalang bagi mereka yang ingin merebut tawaran potongan harga hebat.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembeli-belah beratur panjang rebut diskaun jualan 'Black Friday' di Orchard Road

Pembeli beratur untuk membayar barangan dengan harga diskaun di Robinsons sempena penjualan 'Black Friday' pada 29 Nov 2019. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 30 Nov 2019 10:42AM Dikemas Kini : 30 Nov 2019 10:44AM

SINGAPURA: Bila bercakap tentang hal membeli-belah, kesesakan lalu lintas atau cuaca hujan bukan penghalang bagi mereka yang ingin merebut tawaran potongan harga hebat.

Tertarik dengan penjualan 'Black Friday' yang bermula di beberapa kedai pada Jumaat (29 Nov), para pengunjung berpusu-pusu ke kawasan beli-belah di Orchard Road untuk memborong. Ini sungguhpun keadaan lalu lintas sesak dan kenderaan bergerak sangat perlahan di sepanjang jalan raya.

Di gedung beli-belah Robinsons yang terletak dekat The Heeren, para pengunjung berkata mereka beratur sekitar 45 minit hingga sejam untuk membuat pembayaran di kaunter.

Barisan panjang kelihatan di kesemua lantai lima tingkat kedai itu terutama sekali di bahagian kelengkapan rumah dengan kira-kira 40 orang beratur untuk membuat pembayaran pada satu-satu masa.

Cik Astrid Broderick, seorang warga Indonesia berusia 35 tahun yang berada di Singapura atas urusan kerja dan melancong, berkata beliau membelanjakan sekitar S$2,000 untuk cadar tilam dan bantal di Robinsons.

Cik Astrid perlu beratur selama sejam untuk membuat bayaran bagi kesemua barangannya. Bukan itu sahaja, beliau juga perlu menunggu satu lagi jam untuk mendaftar bagi khidmat penghantaran percuma - ditawarkan kepada para pembeli Robinsons yang berbelanja lebih S$1,000.

Ini meskipun beliau tiba di kedai itu pada jam 10.00 pagi.

Kedai itu melanjutkan waktu pembukaannya kepada 7.00 pagi hingga 1.00 pagi pada Sabtu.

Cik Astrid masih lagi menunggu dalam barisan apabila Mediacorp bercakap dengannya pada sekitar 3.00 petang.

"Berbaloi untuk beratur bagi mendapatkan penjimatan," katanya. Cik Astrid membuat pengiraan dan mendapati beliau menjimatkan S$3,000 dengan potongan harga yang ditawarkan.

Sementara itu, para pembeli lain mengatakan mereka mengambil cuti dari kerja pada Jumaat untuk mengunjungi Robinsons bagi penjualan 'Black Friday'.

Cik Wu Liting, 35 tahun, bahkan sudahpun menyiapkan senarai barangan yang ingin diborong dua minggu sebelumnya.

Eksekutif penghantaran itu gembira kerana akhirnya dapat membeli sepasang fon telinga jenama Bang and Olufsen setelah lebih setahun menanti.

Cik Wu membayar S$209 untuk peranti itu setelah potongan harga 40 peratus daripada harga asal bernilai S$349.

Beliau menikmati potongan harga lebih besar sebanyak 75 peratus bagi cadar tilam dari jenama Itali yang biasanya berharga lebih S$1,000 untuk satu set. Namun semalam, ia dijual pada harga S$250.

Di Takashimaya dan Tangs pula, jumlah pengunjung lebih terkawal.

Tidak seperti Robinsons yang mempunyai potongan harga sehingga 90 peratus, Takashimaya menawarkan 30 peratus diskaun manakala ahli Tangs yang berada di bawah program pelanggan setia menerima rebat 12 peratus.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita