Pelukis mural popular Pulau Pinang kecewa kawasan warisan kini ibarat 'sarkas'
Seniman warga Lithuania, Ernest Zacharevic - yang melukis karya muralnya pada tembok-tembok menghiasi bandar George Town di Pulau Pinang meratapi peranannya dalam gentrifikasi kawasan warisan tersebut.

Lukisan mural ikonik seniman Ernest Zacharevic, 'Children On Bicycle'. (Gambar: Penang Global Tourism)
SINGAPURA: Seniman warga Lithuania, Ernest Zacharevic - yang melukis karya muralnya pada tembok-tembok menghiasi bandar George Town di Pulau Pinang meratapi peranannya dalam gentrifikasi kawasan warisan tersebut.
Karya-karya lukisannya sudah menjadi daya tarikan popular di Pulau Pinang namun beliau pernah mempertimbangkan untuk mengecat semula karya-karya seninya "untuk mengakhiri sarkas tersebut".
Zacharevic melukis gambar Kanak-kanak Atas Basikal yang ikonik di sepanjang Armenia Street dan satu lagi siri mural lain sebagai sebahagian daripada Festival George Town pada 2012. Karyanya seringkali menarik minat ramai pengunjung yang ingin memetik gambar.
Dalam satu catatan di laman Instagram pada Selasa (2 Jul), pelukis itu berkata beliau sendiri dan ramai yang lain menyalahkan karya-karyanya sebagai punca jalan warisan itu menjadi pusat daya tarikan pelancong di Pulau Pinang.
Beliau berpendapat bahawa Armenian Street tidak lagi sama seperti keadaannya bila beliau mula-mula berpindah ke tempat itu dahulu, ketika ia hanya "jalan warisan yang sepi" dengan beberapa penduduk setempat menawarkan barang-barangan antik dan potongan rambut berpatutan dari "lantai bawah rumah milik keluarga mereka".
Beliau juga menarik perhatian bahawa kini tempat itu dibanjiri kedai-kedai cenderamata dan segala macam gerai mesra Instagram bagi para pelancong yang dambakan "pengalaman autentik/asli Pulau Pinang".
Meskipun pernah terfikir untuk menghilangkan lukisan-lukisannya, Zacharevic menambah bahawa masa untuk tindakan sedemikan membawa satu perubahan sudahpun berlalu pergi.
"Anda hampir tidak boleh melihat karya seni itu lagi tetapi orang masih beratur di sana. Dan jika bukan kanak-kanak di atas basikal, orang akan beratur untuk perkara lain. "
Seniman itu juga menyuarakan kebimbangan George Town mungkin kehilangan status Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diraihnya pada 2008 andai ia gagal untuk "melindungi budaya, seni bina dan masyarakatnya".
Lantaran itu, beliau berharap peraturan lebih ketat akan dikuatkuasakan untuk memastikan tempat-tempat yang "budayanya mudah terhakis" dapat bertahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.