Peluang kedua kembar keluar penjara; buka lembaran baru niaga burger itik
4 tahun The Ugly Duckling 'direhatkan', kini ia buka lembaran baru di gerai di Kaki Bukit, tawarkan menu lama seperti burger itik serta juadah baru.
(Gambar: 8Days)
SINGAPURA: Pembukaan semula The Ugly Duckling pada Oktober di kedai kopi 'hip' milik Muslim, Makan Empire, ibarat satu lembaran baru bagi jenama yang dulu merupakan gerai pasar malam (dan juga kafe berkaitannya, Sunday Market yang kini ditutup). Mereka menjadi terkenal menjual burger confit itik pada harga berpatutan serta hidangan 'fusion' Melayu-Barat. Namun lebih penting lagi, ia juga memberi peluang kedua kepada pengasasnya, pasangan kembar 44 tahun Girda Bandi dan Gardi Bandi.
Pasangan adik beradik itu disabit kesalahan memiliki dan mengambil dadah pada 2017. Gardi, yang lebih tua lima minit, dihukum penjara sembilan tahun, manakala Girda dikenakan hukuman tujuh tahun. Ini menyebabkan gerai The Ugly Duckling dan kafe bertema industri di Kovan terpaksa ditutup kerana mereka tidak dapat mencari sesiapa untuk menguruskannya.
Mediacorp sempat berbual dengan Girda, yang dibebaskan Julai lalu selepas diberi pembebasan bersyarat bagi hukumannya, tentang perjalanannya untuk membuka semula The Ugly Duckling bersama Gardi dan kawan lama mereka, Noorman Omar.
“Saya ada masalah dengan pasangan saya ketika itu," kata bapa kepada dua anak itu kepada Mediacorp.
"Saya telah berjumpa dengan beberapa rakan lama yang terlibat dalam [dadah]. Ia adalah perbuatan bodoh - saya tidak fikirkan masak-masak akibatnya sebelum mengambil dadah,"katanya.
"Gardi juga menyesal kerana dia tidak menghalang saya, tetapi sebaliknya ikut serta." Pasangan adik beradik itu ditangkap beberapa bulan kemudian.
“Saya hilang keluarga saya. Saya hilang harga diri dan perniagaan saya. Saya terpaksa berhenti melakukan perkara yang saya suka,” kongsinya. "Saya sedar saya harus menjadi orang yang lebih baik."
Girda yang tercicir dari sekolah menengah itu memanfaatkan masanya di penjara dengan menamatkan peperiksaan GCE peringkat 'N' dan 'O', sebelum dibebaskan pada Julai. "Paling saya kesal ialah masa yang terbazir - untuk melihat anak-anak saya membesar, dan melakukan perkara yang mendatangkan hasil bagi diri saya sendiri," kongsinya.
LEMBARAN BARU
Selepas dibebaskan, Girda mendapat kerja di The Prive Group sebagai sous chef selama lebih dua bulan sebelum rakan lamanya Noorman mengajak dia memulakan perniagaan bersama. Noorman memiliki perniagaan perkahwinan dan kafe yang kini tidak lagi beroperasi.
Mereka memutuskan untuk membuka semula The Ugly Duckling sebagai gerai penjaja di kedai kopi Makan Empire di Kaki Bukit bersama-sama. Namun sebelum itu, Girda melawat abangnya yang masih di penjara. "Semasa di penjara, kami sudah banyak bercakap tentang membuka semula The Ugly Duckling," katanya. "Jadi sebelum saya membuka gerai, saya melawatnya untuk memberitahu Gardi tentang rancangan saya."
"Dia bilang saya, 'Teruskan sahaja.' Dan sebaik sahaja saya mendapat restunya, saya tahu bahawa saya sudah bersedia untuk bermula." kongsi Girda kepada Mediacorp. "(Perniagaan) ini akan menantinya apabila dia keluar tahun depan (jika dia diberi pembebasan bersyarat juga)."
BERTEKAD JADI LEBIH BAIK DEMI ANAK
Sebagai sebahagian daripada pembebasan bersyaratnya, Girda perlu mematuhi syarat tertentu, termasuk mematuhi waktu berkurung semasa tinggal di rumah peralihan selama enam bulan pertama selepas keluar dari penjara.
"Ini adalah peluang kedua bagi saya, dan saya mahu menjadi lebih baik," kongsinya kepada Mediacorp. “Saya sangat berterima kasih kepada bekas isteri saya. Kami berkawan baik sekarang, dan dia sentiasa dengan rela hati membenarkan saya melawat anak-anak saya. Mereka adalah segala-galanya bagi saya.”
Penjaja itu kini melihat putera dan puterinya, masing-masing berusia 10 dan tujuh tahun, setiap minggu. Dia tidak sabar tibanya cuti sekolah dan bagiop erasinya di The Ugly Duckling menjadi stabil supaya boleh menghabiskan lebih banyak masa bersama mereka.
MAKAN EMPIRE DAN RANCANGAN SETERUSNYA
Meskipun jenama The Ugly Duckling’s direhatkan selama empat tahun dan lokasi gerai sekarang "agak ulu", Girda berkata: "Sejak kami mula menyiarkan di Instagram kami [lagi], jumlah pengikut kami telah melonjak dan kami mendapat banyak pertanyaan. Namun mungkin mereka terlalu sibuk untuk turun (ketawa). Masih agak sepi pada hari-hari bekerja, tetapi kami menjual sekitar 50 hingga 60 burger pada hujung minggu.”
Rakan niaganya Noorman yakin kedai kopi itu berpotensi menjadi tempat makan malam lewat malam, dengan hiasan hipster seperti mural seni dan lampu lap-lip menghiasi siling.
"Sekarang aturan bekerja dari rumah [masih pilihan utama], jadi pelanggan makan tengah hari belum begitu ramai," kata Noorman. “Tetapi pada waktu malam, suasana di sini sangat baik. Jika anda menghidangkan makanan yang sedap, dengan harga yang berpatutan, orang ramai akan datang. Orang sekarang sanggup berjalan jauh untuk makan.”
Pun begitu, Girda melihat gerainya sekarang sebagai tempat untuk membangunkan pelanggan The Ugly Duckling sementara menantikan pasar malam dibuka semula pasca pandemik. "Seekor itik sentiasa terkedek-kedek ke sana sini," kongsinya dengan ceria. "Saya bercadang untuk buat projek trak makanan, harapnya dalam masa terdekat ini."
MENU DITAWARKAN
Kedua-dua rakan kongsi itu mengendalikan dapur dengan bantuan beberapa – dan pelanggan boleh jangkakan hidangan seperti yang biasa ditawarkan semasa zaman gerai jalanan mereka, seperti burger confit itik 'signature' mereka, kentang goreng lemak itik (terdapat tujuh hidangan itik) dan lasagna rendang daging lembu di samping menu masakan Barat yang diperluaskan seperti pasta, piza dan wafel aiskrim.
The Ugly Duckling tidak mempunyai sijil halal, namun adalah adalah milik Muslim sepenuhnya. Harga hidangan mereka adalah dari S$6 hingga S$12.50.
The Ugly Duckling terletak di #01-06, Bartley Biz Centre, Kaki Bukit Rd 4, S417806.
Nombor telefon: 8587-9650.
Waktu operasi: Selasa - Jumaat, 10 pagi - 9 malam; Sabtu, Ahad 10 pagi - 10 malam.
Maklumat lanjut boleh didapati di Instagram. Penghantaran menerusi Grabfood dan Foodpanda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.