Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pelihara kulit, lambatkan penuaan pada musim panas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lazimnya sinar sang suria memang baik untuk kesihatan kulit. Ternyata ia dapat merangsang tubuh untuk menghasilkan vitamin D. Tapi, jika kulit terlalu terdedah kepada cahaya mentari tanpa perlindungan ia juga dapat mengundang perkara yang tidak diingini pada kulit.

Tahukah anda kesan daripada sinar matahari bukan sahaja akan mengurangkan atau menghilangkan kelembapan kulit. Malah, ia akan merangsang kehadiran noda hitam dan jeragat.

Oleh itu, jika ingin kekalkan kesihatan kulit yang baik selain kecantikan dan kelembapannya, anda perlu meluangkan beberapa minit dalam sehari untuk merawat kulit dan usah abaikannya. Anda tidak perlu berbelanja besar atau menetapkan bajet yang lumayan untuk mendapatkan kulit yang sihat.

Sebaliknya, cukuplah dengan rutin seharian yang mudah dan sederhana. Yang penting, rejim ini harus dilakukan secara konsisten. Dengan demikian, kulit akan tampil sihat dan bebas dari masalah yang tidak diingini.
Gambar: Pexels
10 REJIM HARIAN MUDAH

Cuci tangan


Sebelum menyentuh kulit muka, penting untuk memastikan tangan dicuci bersih dengan sabun. Tangan yang kotor memudahkan bakteria dan kuman melekat pada kulit dan tubuh.
Ia boleh menyebabkan jerawat. Selain mencuci tangan, cecair pembasmi kuman atau sanitizer juga dapat membantu mengusir bakteria dan kuman.
Gambar: Unsplash
Bedak asas

Jika ingin membeli bedak ini, pilih jenis yang memiliki bahan pelembap yang tinggi. Jika kulit sering terdedah kepada matahari ia mudah menjadi kering. Bedak asas yang tampil dalam bentuk krim dapat membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Krim mata

Inilah antara produk yang wajib ada bagi setiap wanita. Sibuk bertugas dan ditambah pula dengan urusan rumah tangga seringkali membuatkan ramai wanita tidak mempunyai waktu tidur yang mencukupi, apatah lagi tidur yang bermutu.

Lingkaran kulit bawah mata yang jelas kelihatan dapat disingkirkan dengan penggunaan krim mata. Ia dapat mencegah kehadiran lingkaran gelap di bawah mata selain kedutan dan garisan halus yang tidak diingini.
Gambar: Pexels

Krim tabir suria

Bila ingin membeli krim ini, pastikan pilihan yang tepat. Ia dapat melindungi kulit dengan lebih berkesan. Contohnya krim dengan kadar SPF 15 atau jika ingin kesan yang lebih baik, pilihlah krim tabir suria dengan pelembap ekstra.
 

Serum

Jika sebelum ini anda tidak pernah menggunakan serum, kini sudah tiba masa untuk mencubanya. Sebaik-baiknya sapu serum sebelum tidur jika ingin melihat keberkesanannya. Tahukah anda, serum mempunyai molekul lebih kecil dan dapat membantu menyalurkan nutrisi kepada lapisan kulit paling dalam yang tidak dapat ditembusi oleh krim pelembap. Selain itu, serum juga dapat membantu menangani masalah seperti penuaan, pigmentasi dan pori-pori besar.

Gambar: Pexels
Teh Hijau

Bagi penggemar minuman ini, anda pasti tahu tentang kehebatannya. Teh hijau merupakan antara teh yang dapat membantu menjaga kesihatan selain kelembapan kulit. Bukan sahaja baik untuk detoks tetapi juga mampu meningkatkan kadar lembapan kulit.

Kehadiran antioksida tinggi dalam teh hijau mampu membuat kulit kekal lembap, segar, bebas masalah jerawat serta bintik hitam. Selain itu, ia juga berupaya mengekalkan keremajaan kulit.
Gambar: Pexels
Pengelupasan kulit

Penukaran kulit berlaku 14 – 28 hari sekali namun apabila kulit terlalu terdedah kepada cahaya mentari, cuaca tidak menentu atau penggunaan pelbagai bahan kimia, proses ini menjadi tidak optimal dan perlu dirangsang dengan eksfoliasi atau pengelupasan. Cara ini berfungsi untuk membantu sel-sel kulit mati yang tertinggal lantas menghasilkan kulit wajah yang lebih cerah dan lembut.

Penting untuk memastikan pemilihan yang tepat terutama untuk proses pengelupasan agar ia selesa dan bersesuaian dengan kulit. Gosok lembut ke wajah dan bilas dengan air bersih sehingga sempurna. Boleh juga menggunakan bahan terdapat di dapur seperti gabungan gula pasir dan madu. Campur satu sudu gula pasir dengan dua sudu madu. Sapu ke seluruh wajah dan setelah rata, urut secara perlahan-lahan. Bilas dengan air bersih.
Gambar: Unsplash
Pelembap bibir

Jangan biarkan kulit bibir kering dan merekah. Kurang minum air atau cuaca sejuk yang melampau boleh membuat bibir kering dan mengelupas. Cara paling mudah untuk memelihara bibir kering adalah dengan menggunakan pelembap bibir. Pilihlah pelembap bibir yang mengandungi perlindungan seperti UVA dan UVB.

Minum air secukupnya
Jika kurang minum air, kulit muka dan bibir akan mula mengering. Adakah anda jenis yang gemar menikmati minuman berkafein, air manis atau karbonat setiap hari berbanding air kosong? Jika minuman ini menjadi pilihan sukar untuk membantu mengatasi masalah kulti kering dan mengelupas. Cuba ubah tabiat anda dan lebihkan minum air sekurang-kurangnya 2.5 liter air setiap hari secara konsisten.
Gambar: Pexels
Krim CC

Pernah dengar tentang krim ini? Digelar ''Color correcting' atau 'complexion corrector', krim CC direka untuk menyamarkan tona kulit wajah, melindungi kemerahan kulit dan menutup pigmentasi.
Selalunya krim CC ini disasarkan kepada wanita matang kerana ia dapat membantu menutup masalah kulit seperti tona kulit tidak sekata, garisan halus, kedutan dan iritasi.

Apa yang menarik krim CC kalis air dan membolehkan solekan untuk bertahan sampai 12 jam tanpa memerlukan sentuhan dalam cuaca panas. Tidak memberikan kesan terlalu tebal dan sekata pada kulit serta mudah serap ke liang sebum. Selain itu, ia juga dapat meresap pantulan daripada cahaya mentari untuk tona kulit semula jadi tanpa kesan minyak.
Gambar: Unsplash
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan