Skip to main content

Gaya Hidup

Pelbagai acara Pokemon diadakan di SG sempena ulang tahun ke-30 francais

Sudah 30 tahun sejak Pokemon membuat penampilan sulungnya dalam permainan video menerusi Pokemon Red dan Pokemon Green di Jepun, sekali gus mencetuskan francais yang kemudiannya berkembang menjadi fenomena budaya global.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelbagai acara Pokemon diadakan di SG sempena ulang tahun ke-30 francais

Pokemon Parade di Jewel Forest Valley yang menampilkan 27 Pokemon pasangan pertama. (Gambar: The Pokemon Company)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 02:44PM Dikemas Kini : 09 Oct 2026 09:35AM
Various Pokemon events are being held in Singapore to mark the franchise's 30th anniversary
  • Pokemon is celebrating 30 years since its video game debuted in Japan, with interest in Singapore remaining strong through TCG cards, Pokemon Center Singapore and the 2027 World Championships.
  • Daisuke Kobayashi of The Pokemon Company said it wants to expand its range of products, services and Asia-oriented local collaborations to broaden the franchise's global appeal.
  • Fans can take part in Pokemon Run 30 at The Kallang from Nov 7 to 8, 2026, including a four-kilometre route, themed challenges and a free festival zone.
  • Other events include Pokemon cable cars until January 2027, PokeXciting! at Changi and Jewel, as well as shopping promotions and Pokemon-themed gaming experiences.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sudah 30 tahun sejak Pokemon membuat penampilan sulungnya dalam permainan video menerusi Pokemon Red dan Pokemon Green di Jepun, sekali gus mencetuskan francais yang kemudiannya berkembang menjadi fenomena budaya global.

Minat terhadap Pokemon kekal kukuh di Singapura. Buktinya, barisan-barisan panjang terbentuk bagi mendapatkan kad Pokemon TCG: 30th Celebration yang dilancarkan baru-baru ini.

Namun, selain permainan video dan permainan kadnya, francais Pokemon terus mendapat sambutan di sini, daripada pembukaan semula Pokemon Center Singapore dengan barangan bertemakan Singapura hingga Pokemon World Championships yang akan berlangsung di Singapore Expo dari 13 hingga 15 Ogos 2027.

Ketika Mediacorp berbual dengan pengarah kanan bahagian perniagaan Asia di The Pokemon Company, Daisuke Kobayashi, pada Ogos, beliau berkongsi harapannya bagi jenama Pokemon di Asia pada masa hadapan.

"Kami boleh cuba menghasilkan lebih banyak produk yang disesuaikan dengan pasaran tempatan. Kami boleh bekerjasama dengan syarikat tempatan… dan menghasilkan lebih banyak produk, perkhidmatan serta inisiatif yang berorientasikan Asia," kata Encik Kobayashi.

Antara idea yang diketengahkannya ialah menghasilkan produk Pokemon yang berteraskan Asia dan mengeksportnya ke pasaran-pasaran seperti Jepun dan Amerika Syarikat, sekali gus memperluaskan lagi jangkauan global francais tersebut.

Buat masa ini, para peminat di Singapura boleh menantikan pelbagai acara dan pengalaman Pokemon di seluruh negara pada tahun ini, termasuk larian bertema dan banyak lagi.

Pokemon Run

Serlahkan semangat jurulatih Pokemon dalam diri anda di acara Pokemon Run 30: Singapore Edition yang akan berlangsung pada 7 dan 8 November di The Kallang.

Larian tersebut bermula dengan sesuatu yang cukup dikenali para peminat: memilih Pokemon yang menjadi pasangan anda. Acara tanpa persaingan sejauh kira-kira empat kilometer itu akan menampilkan cabaran bertema sepanjang laluannya – semuanya diinspirasikan daripada dunia Pokemon, termasuk pertarungan gimnasium dan peluang untuk mengembangkan Pokemon yang dipilih sebagai pasangan.

Tiket untuk menyertai larian itu boleh dibeli menerusi laman web acara tersebut, dengan harga ketika ini bermula pada S$138. Setiap peserta akan menerima kit peserta larian yang mengandungi kemeja-T eksklusif, beg bertali serut, bib dan lilitan lengan bertema, helaian pencarian Pokedex, kad lentikular serta satu pek 'booster' rasmi bagi Pokemon Trading Card Game.
Related article image
Kit bagi para peserta larian Pokemon Run. (Gambar: The Pokemon Company)
Selain larian, terdapat juga zon festival dengan kemasukan percuma di lokasi acara yang dibuka kepada para peserta dan bukan peserta. Pengunjung boleh menikmati zon interaktif, sesi bertemu dan beramah mesra serta kedai-kedai sementara yang menjual barangan khas.

Lokasi: The Kallang
Tarikh: 7-8 November 2026
Laman web

Pokemon Day-To-Night Adventure

Nikmati pengalaman Pokemon dari siang hingga malam menerusi Pokemon Day-To-Night Adventure oleh Singapore Cable Car, yang berlangsung dari sekarang hingga 21 Januari 2027.
Related article image
Salah sebuah kabin bertemakan Pokemon. (Gambar: Mount Faber Leisure Group)
Naiki salah satu daripada 18 kabin kereta kabel bertemakan Pokemon di Laluan Mount Faber, yang menampilkan watak seperti Charmander, Pikachu dan Eevee.

Pada waktu malam, gunakan lampu suluh UV percuma untuk menemui bentuk-bentuk tersembunyi seperti Gyarados, Pidgeot dan Charizard.
Related article image
Para penumpang yang mengambil kereta kabel pada waktu malam boleh menggunakan lampu suluh UV percuma untuk melihat bentuk-bentuk Pokemon yang tersembunyi di dalam kabin. (Gambar: Mount Faber Leisure Group)
Tarikh: Hingga 21 Januari 2027
Laman web

PokeXciting!

Disifatkan sebagai "sambutan besar-besaran berkonsepkan pesta", PokeXciting! akan berlangsung di lima bandar di Asia: Kuala Lumpur, Taipei, Singapura, Manila dan Bangkok.

PokeXciting! di Singapura akan berlangsung pada 7 dan 8 November di Lapangan Terbang Changi dan Jewel.

Tidak kira generasi Pokemon yang menemani anda semasa membesar, jangan lepaskan Pokemon Parade di Jewel Forest Valley, yang akan menghimpunkan kesemua 27 Pokemon pasangan pertama daripada sembilan generasi siri permainan video asal di pentas yang sama.

Sebagai sebahagian daripada sambutan tersebut, Pikachu khas yang dikenali sebagai PokeXciting! Pikachu akan mengunjungi setiap lima bandar tersebut dengan kostum berbeza di setiap lokasi. Pikachu di Singapura akan mengenakan kostum berwarna biru.
Related article image
PokeXciting! Pikachu versi Singapura. (Gambar: The Pokemon Company)
Anda boleh menyaksikan PokeXciting! Pikachu dalam persembahan khas di atas pentas di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, dalam permainan menerusi aplikasi popular Pokemon Go dan dalam bentuk barangan di Pokemon Center Singapore mulai 7 November.

Lokasi: Lapangan Terbang Changi & Jewel
Tarikh: 7-8 November 2026
Laman web

Tawaran membeli-belah di Lapangan Terbang Changi dan Jewel

Selain PokeXciting!, Lapangan Terbang Changi dan Jewel akan turut menawarkan pelbagai promosi dan kegiatan membeli-belah bertemakan Pokemon.

Mulai 3 November, para pembeli boleh membeli atau menebus barangan Pokemon dengan reka bentuk unik selepas memenuhi syarat-syarat pembelian di kedai-kedai yang mengambil bahagian di Lapangan Terbang Changi dan Jewel.

Sesetengah barangan hanya akan ditawarkan di lokasi-lokasi tertentu. Misalnya, Lapangan Terbang Changi akan menawarkan bagasi kabin dan bagasi daftar masuk bertemakan Pokemon, manakala Jewel akan menawarkan payung bertemakan Pokemon.

Kempen tersebut akan berlangsung hingga 31 Januari 2027 di Jewel dan hingga 28 Februari 2027 di Lapangan Terbang Changi.
Related article image
Turut ditawarkan di Lapangan Terbang Changi dan Jewel ialah patung mainan, botol termos dan selimut perjalanan. (Gambar: The Pokemon Company)
Antara kegiatan lain yang boleh dinantikan ialah Pokemon Experience Zone di Dewan Berlepas Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, di mana anda boleh mencuba pelbagai permainan video Pokemon menerusi Nintendo Switch 2 serta menyertai sesi percubaan Pokemon Trading Card Game secara percuma.

Di Jewel pula, anda boleh menyertai kuiz jelajah Pokemon Trading Card Game yang diadakan di seluruh pusat beli-belah itu. Di sepanjang laluan, anda akan menemui paparan besar kad individu yang menampilkan setiap 27 Pokemon pasangan pertama daripada kesemua sembilan generasi. Lengkapkan kuiz berdasarkan kad-kad yang dipamerkan untuk menebus hadiah.

Lokasi: Lapangan Terbang Changi & Jewel
Tarikh: Mulai 3 November 2026
Laman web
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita