Skip to main content

Gaya Hidup

Pelayaran 4 malam Disney Adventure dari SG dibatalkan, tetamu diberi bayaran balik penuh

Pelayaran Disney Adventure selama lima hari empat malam dari Singapura dibatalkan pada Jumaat (8 Mei) akibat “masalah mekanikal”. Pelayaran itu dijadual berlangsung dari 7 hingga 11 Mei.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelayaran 4 malam Disney Adventure  dari SG dibatalkan, tetamu diberi bayaran balik penuh

Disney Adventure secara rasmi memulakan pelayaran sulungnya dari Singapura pada 10 Mac 2026. (Gambar: Disney Cruise Line)

SINGAPURA: Pelayaran Disney Adventure selama lima hari empat malam dari Singapura dibatalkan pada Jumaat (8 Mei) akibat “masalah mekanikal”. Pelayaran itu dijadual berlangsung dari 7 hingga 11 Mei.

Menurut perkongsian para penumpang di atas kapal pesiaran tersebut, kapal itu kekal berlabuh di Marina Bay Cruise Centre semasa ia menghadapi masalah tersebut. Pada Jumaat, pengumuman rasmi berhubung pembatalannya dibuat oleh kapten kapal itu.

Jurucakap Disney memberitahu Mediacorp pada Jumaat bahawa semua tetamu akan secara automatik menerima bayaran balik penuh bagi tambang pelayaran mereka, diskaun 50 peratus untuk pelayaran Disney Adventure pada masa depan, penginapan hotel satu malam serta AS$500 (S$634.39) bagi perbelanjaan sampingan.

“Disney Adventure kekal berada di pelabuhan di Singapura sedang pasukan kami terus berusaha untuk menangani satu masalah mekanikal. Memandangkan isu itu tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang diperlukan untuk memulakan pelayaran ini, pelayaran semasa telah dibatalkan. Kami memohon maaf kepada para tetamu dan sedang berhubung secara langsung dengan mereka untuk memberikan sokongan terhadap keperluan perjalanan mereka,” tambah jurucakap itu.

Bercakap kepada Mediacorp pada Jumaat, seorang penumpang Maurice Ky, 35 tahun, berkata berlakunya “gangguan bekalan elektrik di seluruh kapal” sejurus selepas beliau menaiki kapal tersebut pada pukul 12.15 tengah hari pada Khamis. Keadaan kembali terkawal sekitar 2.00 petang.

“Keadaan mula menjadi sukar apabila kedai-kedai tidak dapat menjual barangan kerana kami masih berlabuh di Singapura, dan semua tempat makanan dan minuman terpaksa ditutup lebih awal pada sebelah malam,” kata Encik Ky, yang melancong bersama pasangannya dan dua orang anaknya.

“Hari ini, kami mula melihat semua aktiviti berbayar yang telah dirancang dibatalkan satu demi satu. Kemudian, sejurus selepas waktu makan tengah hari, kapten mengumumkan bahawa kami perlu turun dari kapal.”

Encik Ky menambah proses turun dari kapal berjalan secara “teratur” dengan para tetamu diberikan masa sehingga pukul 8.00 malam untuk berbuat demikian. Para tetamu turut disediakan hotel serta bas untuk membawa mereka ke tempat penginapan masing-masing.

Di media sosial, para tetamu turut berkongsi rasa kecewa mereka terhadap pembatalan pada saat akhir itu.

Seorang pengguna Reddit, yang mengatakan dirinya masih berada di atas kapal ketika pembatalan diumumkan, berkata beliau “amat kecewa”.

Seorang lagi pengguna berkongsi di subreddit Disney Cruise Line r/dcl bahawa “anak-anak mereka benar-benar kecewa” dan mereka “berharap dapat memanfaatkan beberapa hari akan datang di Singapura agar mereka tetap dapat membawa pulang kenangan manis”.

Dalam subreddit yang sama, seorang lagi pengguna berkata walaupun ramai tetamu yang kecewa, “Disney benar-benar cuba untuk melakukan yang terbaik dalam situasi buruk ini” menerusi bayaran balik dan pelbagai pampasan lain bagi mengimbangi kesulitan yang dialami para tetamu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita