Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pelan Hijau Singapura 2030: Cukup insentif untuk tukar ke kereta elektrik?

Pemerintah bersungguh-sungguh mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik dengan   mengumumkan pelbagai insentif agar ia lebih dalam kemampuan ramai. Namun, adakah insentif tersebut cukup untuk menggalak pemilik kenderaan bertukar kepada penggunaan kenderaan elektrik?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Terdapat hampir satu juta kenderaan di Singapura dengan 600,000 merupakan kereta privet dan kereta sewa.

Sekitar 95 peratus menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menjadi penyumbang kedua terbesar karbon dioksida di sini.

Bayangkan pada masa hadapan, jika tiada lagi kenderaan sedemikian. Sebaliknya, semua kenderaan memanfaatkan tenaga bersih.

Ini bermakna keluaran karbon dioksida bakal dikurangkan sebanyak 50 peratus. Lebih penting lagi, perubahan iklim akan mampu ditangani.

LEBIH INSENTIF GUNA EV

Di bawah Pelan Hijau Singapura 2030, pelbagai insentif diumumkan bagi menggalak penggunaan kenderaan mesra alam, antaranya dengan menjadikan kenderaan elektrik (EV) lebih dalam kemampuan ramai.

Ini termasuk tidak perlu membayar Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) antara Januari 2022 dan Disember 2023 serta rebat lebih besar di bawah Skim Menangani Pengeluaran Asap Kenderaan (VES) selain insentif Penggunaan Awal Kenderaan Elektrik (EEAI).

Jumlah tempat mengecas EV juga ditambah sehingga 60,000 pada 2030.

Namun, adakah insentif tersebut cukup untuk menggalak pemilik kenderaan bertukar kepada penggunaan kenderaan elektrik?

BERITA menemui pengulas kereta, Syed Muhd Hafizudin Chishty dan pemilik EV, Donovan Tan untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

"Kereta elektrik berfungsi sama seperti peranti elektrik kita. Jadi ada plug yang kita sambung ke soket untuk cas bateri yang terdapat dalam kereta elektrik atau EV.

"Bateri itu akan menjana kuasa untuk motor elektrik. Dan motor elektrik itu yang akan memutarkan roda dalam EV. Tidak ada bahan bakar. Jadi, tidak ada pengeluaran atau pencemaran udara," terang Hafiz.
Menurut pengasas laman web ulasan kereta Carlife.sg itu, di Singapura ada beberapa pilihan kereta elektrik.

Antaranya, Nissan Leaf, Renault Zoe, Honda E dan Tesla yang sudah menembusi pasaran tempatan.

"Jadi untuk a pengguna, ada juga pilihan tapi tidak banyak. Lagi satu, harganya masih agak tinggi – lebih kurang S$150,000 ke atas," tambah penggemar kereta itu.

JIMAT KOS PADA JANGKA PANJANG

Lantas pemerintah memberi rebat langung kepada pelanggan untuk membantu mengurangkan kos.
Pembeli kereta elektrik dapat menikmati penjimatan sehingga S$45,000 sementara sistem cukai jalan raya pula dikaji semula supaya setanding dengan kereta enjin pembakaran dalaman.

Contohnya, harga senarai kereta elektrik MG ZS ialah S$173, 888. Dengan rebat VES S$25,000 dan rebat ARF S$20,000, harganya menjadi S$128,888 sebelum diskaun tambahan pihak peniaga kereta.

Meskipun masih agak tinggi, pemilik EV tersebut seperti Donovan Tan tertarik dengan penjimatan kos jangka panjang.

"Mengikut kiraan saya, rasanya untuk kereta ini, anda boleh menganggarkan mungkin S$20, S$30 untuk mengecas penuh. Jadi, jika anda bandingkan dengan kenderaan sepertinya yang menggunakan enjin pembakaran dalaman, anda harus mengisi minyak mungkin dua kali seminggu dan dengan itu anda mungkin perlu membelanjakan S$200 hingga S$300.

"Dalam setahun anda sebenarnya jimat sekitar S$4,000 hingga S$5,000. Jadi sebenarnya, ia penjimatan petrol yang agak banyak," kata pengurus perniagaan itu.

Mujur, beliau mempunyai alat pengecas di rumah yang diimport syarikat bapanya, Interwell pembekal alat pengecas.

Menurut Donovan, kereta elektrik MGnya mampu bergerak sejauh 300km jika dicas penuh. Namun, dengan mengecas hingga 80% saja setiap kali bateri turun ke paras 50%, sudah mencukupi. Menurutnya ini hanya mengambil masa 2 jam, 2 kali seminggu!

INFRASTRUKTUR "BELUM MATANG"

Bagi pemilik EV yang perlu mengecas di tempat awam pula, kini terdapat 1,600 tempat mengecas di merata Singapura. Jumlahnya akan ditambah menjadi 60,000 menjelang 2030.

"Buat masa ini, di pasaran Singapura, apa yang kami lihat tentunya rangkaian pengecas Singapore Power. Selain itu, ada juga disediakan Shell dan Greenlots. Kebanyakannya adalah pengecas pantas DC. Kita juga lihat pengecas AC (caj perlahan) di tempat awam tapi jumlahnya buat masa ini, saya rasa masih kurang, tidak mencukupi untuk pemilik EV seperti kami," luah Donovan.

Jelas, beralih ke EV bukan sekadar bertukar kepada kereta baru.

Gaya hidup pengguna juga perlu turut berubah. Kenderaan elektrik adalah mahal dan jadual perjalanan diatur dengan mengambil kira kemudahan serta masa diperlukan untuk mengecas kereta.

Maka itu, menurut Hafiz, perlu ada lebih banyak program kesedaran untuk menggalak lebih ramai orang menggunakan EV.

"Manusia memang susah berubah lagi-lagi ini adalah perubahan gaya hidup – bukan saja pengguna tukar kereta daripada yang guna bahan api ICE kepada EV. Pemerintah boleh memberi lebih kesedaran kepada faedah menggunakan EV. Pengeluar kereta juga harus menyelesaikan masalah masa mengecas. Sekarang masa mengecas kereta EV memang agak lama. Jadi kalau mereka boleh kurangkan masa mengecas, saya rasa lebih ramai pengguna akan membeli EV," ujar beliau.

Walau apapun, Hafiz dan Donovan akur EV adalah gaya hidup masa depan negara ini ke arah kehidupan mampan. Pemerintah juga mengumumkan semua kereta yang didaftar mulai tahun 2030 perlu jenis yang guna tenaga bersih.

Soalnya, sudahkah kita bersedia memanfaatkan insentif sedia ada untuk beralih ke kenderaan mesra alam demi penakatan bumi kita? 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan