Skip to main content

Gaya Hidup

Pelakon SG Tay Ping Hui beri amaran video palsu AI papar dirinya promosikan 'ubat-ubatan'

Anggaran Waktu Membaca:
Pelakon SG Tay Ping Hui beri amaran video palsu AI papar dirinya promosikan 'ubat-ubatan'

Sebuah video palsu melibatkan Tay Ping Hui disebarkan secara online. (Gambar: Instagram/taypinghui)

SINGAPURA: Pelakon tempatan Tay Ping Hui tampil bersuara mengenai sebuah video palsu yang dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI), yang menggambarkan beliau mempromosikan 'ubat-ubatan'.

Dalam catatannya di laman Instagram miliknya pada 22 Ogos, pelakon berusia 54 tahun itu memuat naik sebahagian daripada video tersebut dan memberi amaran kepada peminatnya agar tidak menekan pautan bagi produk tersebut atau membelinya.

Beliau menulis: “Saya dimaklumkan bahawa imej saya telah digunakan dalam video pemasaran palsu yang dihasilkan oleh AI.

“Saya rasa agak ‘terharu’ kerana mereka fikir menggunakan imej saya akan menjadikan penipuan mereka lebih meyakinkan.

"Tetapi pada masa yang sama, saya cukup marah dengan betapa malasnya mereka.”

Tay turut menegaskan bahawa wajah yang dihasilkan AI dalam video itu “langsung tidak mirip” dirinya.

Video palsu itu turut menggunakan rakaman sebenar daripada penampilan Tay dalam podcast 'Call Us Daddy' yang dihoskan oleh Allan Wu pada bulan Mac.

“Lain kali, mungkin jangan guna semula rakaman yang sama untuk bahagian berbeza dalam perbualan - itu sangat tidak profesional,” tambah Tay.

Bercakap kepada akhbar berbahasa mandarin, Lianhe Zaobao, Tay berkata beliau dimaklumkan tentang kewujudan video tersebut selepas seorang individu menghantarnya kepadanya.

“Mujur, beberapa warganet menghantar mesej peribadi kepada saya untuk mengesahkannya. Saya beritahu mereka ini adalah satu penipuan,” katanya lagi.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita