Pelajar perfileman ini beralih minat jadi penjaga haiwan
(Gambar: CNA/Alvin Teo)
SINGAPURA: Setiap pagi, Indah Aliyah memulakan harinya dengan membersihkan sehingga enam tong najis badak putih yang dijaganya dengan setiap satu tong seberat 25 kilogram.
Dia kemudian menyiapkan sekitar 50 hingga 60 kilogram bahan sarapan untuk 10 ekor badak. Indah perlu lakukan perkara yang sama bagi kuda belang dan zirafah selain melatih haiwan-haiwan tersebut pada sebelah petang.
Menjaga haiwan liar itu adalah satu tugas amat mencabar dari segi fizikal dan melibatkan unsur bahaya juga. "Saya selalu berhati-hati apabila dekat dengan haiwan-haiwan itu kerana tingkah lakunya tidak dapat diramalkan", kata penjaga zoo di Taman Haiwan Singapura yang berusia 25 tahun itu.
Pekerjaan itu mungkin bukan pilihan ramai di Singapura atau kerjaya yang lazimnya dikaitkan dengan wanita muda.
Bahkan, bagi Indah sendiri, dia asalnya mengikuti laluan kerjaya yang sangat berbeza. Semasa belajar bidang Media Skrin di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA), dia sering melakukan videografi sebagai pekerja bebas, dan juga bekerja sambilan sebagai penulis skrip dan jurulatih perfileman bagi pelajar sekolah menengah berkeperluan khas dan keluarga bermasalah.
Namun, selepas mendapat diploma dan menjadi menjalani latihan industri sebagai penyunting video, Indah menyedari bahawa kerjaya dalam bidang berfileman tidak serasi dengannya. "Saya sering rasa amat letih dan tidak bersemangat," katanya.
Justeru, meskipun sudah menggenggam segulung ijazah dalam media skrin, Intan memutuskan untuk mengikut hati nalurinya dan memohon pekerjaan di zoo.
Sebenarnya, Indah memang bercita-cita untuk menjadi penjaga zoo sejak dari tadika lagi.
“Saya dan ayah memang menggemari haiwan yang besar. Kami berdua berkongsi tarikh hari lahir yang sama, dan semasa saya masih kecil, kami selalu pergi ke zoo pada hari lahir kami.
"Bahagian zoo yang paling saya gemari ialh pameran beruang kutub. Ia haiwan yang megah, menakjubkan.
"Kadang kala, saya akan memerhatikan beruang kutub Inuka dan ibunya Sheba selama sejam," cerita Indah tentang dua beruang di Taman haiwan Singapura yang sudah mati kerana usia tua.
Setiap hari, Indah menjalankan latihan dengan haiwan di bawah kendaliannya termasuk membiasakan haiwan bagi pemeriksaan perubatan. Sebagai contoh, bagi latihan mengambil darah, Indah akan menyentuh di bahagian yang biasanya darah diambil oleh doktor haiwan - seperti leher, telinga atau kaki. Untuk latihan kuku, Intan menyentuh atau memegang kuku haiwan untuk membiasakannya apabila kuku dipotong atau untuk pemeriksaan oleh doktor haiwan.
Sesi latihan ini biasanya diadakan pada sebelah petang dan melibatkan dua penjaga, satu untuk latihan sasaran, dan satu lagi untuk pengambilan darah.
“Ia memerlukan banyak kesabaran dan komunikasi. Kadang-kadang, kerana maklumat yang salah, latihan mungkin terjejas.
"Namun, disebabkan ia melibatkan haiwan liar, tingkah laku haiwan berkenaan tidak dapat diramakan. Saya cuba membaca pergerakannya dan jika haiwan itu agak panik atau mood tidak baik, saya tidak akan teruskan latihan,” kata Indah lagi.
Indah berharap pekerjaannya akan membantu menyebarkan cintanya terhadap haiwan. "Kami dalam khidmat melindungi haiwan liar. Tidak semua orang berpeluang melihat badak sumbu di kawasan liar. Jadi zoo membolehkan ramai orang melihat haiwan liar ini, memerhati dan lantas jatuh cinta dengan haiwan-haiwan ini supaya mereka juga mahu melindungi haiwan-haiwan ini,” katanya kepada Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.