Pegawai keselamatan lebuh raya Amerika semak jawapan Tesla tentang rancangan guna 'robotaxi'
Logo Tesla dipaparkan di pameran Everything Electric di pusat pameran dan konvensyen antarabangsa ExCeL London di Britain pada 28 Mac 2024. (Gambar Fail: REUTERS)
Reuters melaporkan pada Jumaat bahawa Tesla mengirimkan undangan kepada sekumpulan kecil orang untuk sertai satu ujian terhad di Austin, Texas yang secara tentatif akan bermula pada Ahad (22 Jun), menurut catatan dan petikan skrin emel di media sosial.
Dalam sepucuk surat bulan lalu, NHTSA meminta Tesla menjawab soalan terperinci sebelum 19 Jun mengenai rancangannya untuk melancarkan khidmat 'robotaxi' berbayar di Austin, Texas, untuk menilai prestasi kereta dengan teknologi bebas pemandu sepenuhnya keluaran pengilang kenderaan elektrik itu ketika cuaca buruk.
Sejak Oktober lalu, NHTSA sudahpun menjalankan siasatan terhadap perlanggaran kereta tanpa pemandu Tesla yang berlaku semasa jalan raya dalam keadaan penglihatan yang kurang jelas.
Siasatan itu melibatkan 2.4 juta kenderaan Tesla yang dilengkapi dengan teknologi bebas pemandu lengkap (FSD) selepas empat perlanggaran dilaporkan, termasuk satu kemalangan maut pada 2023.
Agensi itu menyatakan pada Mei bahawa pihaknya sedang mencari maklumat tambahan tentang pembangunan 'robotaxi' Tesla "bagi menilai keupayaan sistem Tesla untuk bertindak balas dengan sewajarnya terhadap keadaan jalan raya dengan penglihatan yang kurang jelas" serta butiran mengenai rancangan penggunaan 'robotaxi' dan teknologi yang digunakan.
Pada masa yang sama, NHTSA juga ingin tahu berapa banyak kenderaan yang akan digunakan sebagai 'robotaxi' serta jangkaan jadual waktu khidmat teknologi 'robotaxi' untuk kenderaan yang dikawal oleh orang selain Tesla.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.