Skip to main content

Gaya Hidup

Pasukan penyelidik Hong Kong cipta ujian darah kenal pasti demensia pada peringkat awal

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan penyelidik Hong Kong cipta ujian darah kenal pasti demensia pada peringkat awal

(Gambar: South China Morning Post)

HONG KONG: Sebuah pasukan antarabangsa diketuai oleh para penyelidik Hong Kong berjaya mencipta ujian darah yang didakwa dapat mengenal pasti peringkat awal demensia, dengan kadar ketepatan hampir 90 peratus.

Ia akan membolehkan pesakit menjalani rawatan sebelum berlakunya sebarang gejala penyakit neurodegeneratif itu.

Ujian tersebut ditawarkan oleh sebuah syarikat privet dengan harga HK$7,000 (S$1,200), dan perbincangan sedang dijalankan untuk menawarkannya kepada sektor kesihatan awam.

Demikian menurut para penyelidik Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, yang mengetuai pasukan tersebut, pada Isnin (19 Feb).

Sebelum ini, pasukan itu mencipta satu ujian darah yang dapat mengenal pasti penyakit Alzheimer, dengan kadar ketepatan lebih daripada 96 peratus. Namun, versi terkini ujian tersebut boleh mengenal pasti penyakit itu pada peringkat awal.

Ujian terkini mempunyai kadar ketepatan lebih daripada 87 peratus, kata pasukan tersebut.

Menurut ketua pasukan dan presiden university itu Profesor Nancy Ip Yuk-yu, pada masa lalu, adalah sukar untuk mengenal pasti pesakit yang menghidapi penyakit itu pada peringkat awal, kerana doktor harus bergantung kepada penilaian klinikal, yang mungkin subjektif.

Pesakit biasanya sedar tentang keperluan untuk bertemu doktor hanya ketika mereka mengalami gejala demensia. Namun, pada masa itu, penyakit tersebut sudah berada di peringkat terlalu lambat untuk menerima rawatan yang berkesan katanya.

Ujian darah itu melihat kepada 21 molekul protein yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer, untuk menentukan sama ada seseorang itu menghidapi penyakit tersebut.

Peringkat protein yang berbeza boleh menunjukkan tahap serius penyakit itu.

Pasukan tersebut berharap ujian itu dapat membantu penggunaan ubat yang menyasarkan peringkat awal penyakit Alzheimer, yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat untuk digunakan tahun lalu.

Dr Fanny Ip Chui-fun, ketua pegawai saintifik Pusat Hong Kong bagi Penyakit Neurodegeneratif berkata, ujian itu sesuai untuk individu yang mempunyai sejarah demensia dan belum bertemu dengan doktor untuk dinilai, atau mereka berusia 55 tahun dan ke atas yang menunjukkan tanda-tanda kehilangan daya ingatan.
Sumber : South China Morning Post/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita