Pasar Malam SG jual burger Ramly, apam balik, churros dan banyak lagi online
Siapa yang tidak gemarkan kudapan dan cemil-cemilan dari pasar malam?
(Gambar-gambar: wakpoweroriginal, dques.business/Instagram)
SINGAPURA: Siapa yang tidak gemarkan kudapan dan cemil-cemilan dari pasar malam?
Sudah agak sekian lama kawasan di seluruh negara sepi daripada riuh-rendah pasar malam sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan 7 April lalu bagi membendung penularan pandemik itu.
Tambahan pula dengan ketiadaan Bazar Hari Raya, yang juga menjual beraneka makanan jalanan, tentunya ramai rindu untuk menikmati semula keenakan kebab, putu piring, keropok lekor, burger Ramly, apam balik dan banyak lagi.
Biarpun sesetengah makanan yang boleh didapatkan di pasar malam kini dijual oleh para peniaga kecil-kecilan dari rumah (HBB), pilihannya terhad. Kadangkala pula pelanggan terpaksa gigit jari kerana terlambat setapak untuk membuat pesanan setelah slot ditutup dek permintaan yang datang menduyun-duyun.
Namun, jangan berputus asa. Ini satu berita baik untuk peminat tegar makanan pasar malam.
Kini, terdapat satu wadah online yang diberi nama PASAR MALAM SG, yang dibangunkan khas untuk memenuhi tekak mereka yang kempunan makanan pasar malam.
Ia menghimpunkan pelbagai jenis kudapan, makanan, minuman dan pencuci mulut yang sinonim dengan pasar malam hanya dalam satu laman web.
(Gambar: Loco Loco/lnstagram)
Antara gerai-gerai halal yang mengambil bahagian termasuk The Flame Shack, Burger Ramly D'ques, Loco Loco SG, Nusantara Malay Kuih dan Wak Power Original Apam Balik.
Pelanggan perlu membuat pesanan online selewat-lewatnya pada 6.00 petang setiap Rabu jika mereka mahu menjamu semua juadah enak itu pada hujung minggu yang sama.
Penghantaran hanya dilakukan dari setiap Jumaat hingga Ahad, antara jam 4.00 petang hingga 7.00 malam.
Khidmat penghantaran meliputi seluruh kawasan di Singapura dikenakan yuran minimum S$12 dengan jumlah pesanan bernilai sekurang-kurangnya S$35.
Menariknya, pelanggan boleh memesan daripada gerai yang berbeza-beza dan serahkan segalanya kepada PASAR MALAM SG untuk menghantarnya ke halaman pintu rumah mereka.
Cukup mudah dan lebih penting lagi, tidak perlu meredah lautan manusia atau bermandi peluh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.