Pasangan YouTuber Jepun sambut Ramadan di Hong Kong, agih nasi lemak percuma!

Gambar: iChang/Youtube
HONG KONG: Rakyat Malaysia yang menetap di Hong Kong mendapat kejutan apabila mereka mendapat tahu ada pasangan YouTuber Jepun yang mengagihkan bungkusan nasi lemak percuma di kawasan kediaman mereka.
iChang RM bersama dengan pasangannya, Jimmy, memutuskan untuk memasak nasi lemak itu sendiri dan mengagihkan bungkusan nasi itu di kawasan kediaman mereka di Ma Wan, Hong Kong sempena bulan Ramadan.
Pasangan tersebut sangat gemar dengan makanan Malaysia dan memuat naikkan sebuah video ke akaun YouTube mereka untuk berkongsi pengalaman mereka itu - dari memasak nasi lemak, tumis sambal dan membungkusnya sendiri.
Mereka turut memaklumkan di Facebook mengenai pengagihan bungkusan nasi lemak secara percuma.
Catatan tersebut menarik perhatian rakyat Malaysia yang ada di sana (kebanyakannya berasal dari Ipoh).
Belum sempat pun pasangan itu membuka gerai di depan rumah mereka, sudah ada beberapa rakyat Malaysia yang sudah siap beratur.
Seorang lelaki rakyat Malaysia sempat bertanya jika pasangan itu merancang untuk membuka perniagaan nasi lemak di negeri itu, namun iChang menjawab tidak.
"Awak patut buka perniagaan kerana di sini ada ramai orang Malaysia,” kata lelaki itu kepada pasangan tersebut.
Lelaki itu menjelaskan dia sedang makan tengah hari dan ternampak catatan iChang di Facebook, lantas terus bergegas ke tempat agihan.
“Saya sedang makan tengah hari dan ternampak catatan awak. Saya macam tak percaya, NASI LEMAK? Saya pun cepat-cepat habiskan makan, terus bayar dan capai basikal saya untuk ke sini,” tambahnya.
Kesemua 13 bungkus nasi lemak yang dimasak pasangan itu habis diberikan dalam masa hanya 20 minit sahaja. Bekalan kedua juga cepat habis dalam sekelip mata.
Ini bukanlah kali pertama pasangan tersebut menunjukkan rasa cinta mereka terhadap makanan Malaysia.
Sebelum ini iChang RM dan Jimmy juga pernah memasak kari ayam resipi seorang YouTuber Malaysia, Sugu Pavithra.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.