Pasangan suami isteri minat barangan antik, buka kedai untuk kongsi khazanah
SINGAPURA: Bermula daripada menjual barangan antik di lelaman eBay dan Carousel, pasangan suami isteri, Mohamed Sadri Mohamed Farick, 45 dan Nur Aryana Aziz, 44 kemudian membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai fizikal.
Selain mengembangkan perniagaan, pembukaan kedai 'Treasure At Home' di daerah Tai Seng itu juga bertujuan untuk berkongsi 'khazanah' mereka yang telah mereka kumpulkan sekian lama.
“Semangat ini semakin membara. Tidak boleh berhenti. Ia seperti satu ketagihan. Kita dengan sedaya upaya kita tolong masyarakat kita ini untuk menyimpan khazanah kita ini, ” ujar Encik Sadri.
Namun, perjalanan untuk mengumpul barang antik tersebut bukanlah mudah. Selain perlu menjaganya dengan tertib, Encik Sadri juga perlu ke luar negara untuk mendapatkan barangan ini.
“Saya pergi ke Penang, Ipoh dan Melaka, tempat-tempat ‘Straits Settlement’. Ini penting untuk mengembangkan perniagaan ini,” jelas Encik Sadri.
Dengan perabot berkualiti dibina pada zaman dahulu, Encik Sadri berusaha untuk memperbaikinya. Dengan kumpulan pelanggannya yang semakin muda, dari awal dua puluhan hingga pertengahan lima puluhan, dia mendapati golongan kini mencari barangan berkualiti untuk rumah mereka.
“Mutu dia lain, perabot ini tidak menggunakan skru tapi dipasak. Itu yang membuatnya tahan lama. Ini akan tahan berpuluh-puluh tahun. Sesuatu yang kita boleh menyampaikan ke generasi seterusnya,” ujar Encik Sadri.
Beliau juga berkongsi apabila terjumpa beberapa perabot tidak dalam keadaan baik, beliau akan bekerjasama dengan pemulih perabot lama di Melaka untuk memperbaikinya dengan cara yang terbaik.
“Ia bukan mudah untuk memperbaiki perabot di Singapura oleh kerana kos. Saya ingin khazanah-khazanah ini mampu milik orang ramai dengan harga tidak begitu mahal,” kata Encik Sadri.
MINAT KUMPUL BARANGAN POLITIK SG
Selain perabot lama, antara barangan yang beliau untuk kumpul ialah barangan berkaitan politik Singapura.
Daripada bingkai potret presiden masa lalu hingga papan tanda PAP pada tahun 60an, Sadri mendapati nilai dalam mengumpul barang-barang bersejarah Singapura sebegitu.
“Banyak yang kita tidak tahu selagi kita tidak ceburi sejarah Singapura. Kenapa barang Singapura terlalu berharga? Kerana Singapura ini kecil. ” kata Encik Sadri.
Encik Sadri berkongsi bahawa dia berharap usaha yang dia dan isterinya khazanah-khazanah tersebut adalah untuk orang lain memiliki sedikit sejarah Singapura.
Ini kerana setiap barangan lama itu ada kisahnya tersendiri.
Selain ke kedainya sendiri, orang ramai juga boleh melihat koleksi Encik Sadri di laman media sosial 'Treasure at Home'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.