Skip to main content

Gaya Hidup

Pasangan SG ini nekad berhenti kerja, sewakan flat demi penuhi hasrat kembara dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan SG ini nekad berhenti kerja, sewakan flat demi penuhi hasrat kembara dunia
(Gambar:  manwomanandoggo/Instagram)
Diterbitkan : 03 Nov 2025 09:07PM Dikemas Kini : 03 Nov 2025 10:38PM
SINGAPURA: Selalunya kita mendengar kisah pemilik haiwan peliharaan yang pergi bercuti bersama kucing atau anjing peliharaan mereka.

Namun bagi pasangan ini pula, mereka pergi menjelajah seluruh dunia selama setahun sambil membawa anjing peliharaan mereka.

Pasangan itu, Matt, 42 tahun dan Jane, 38 tahun juga membuat keputusan berani untuk berhenti kerja dalam sektor awam, menyewakan flat lima bilik mereka di Sengkang semata-mata untuk melancong ke seluruh Eropah bersama anjing peliharaan mereka, Meiji, sejak Jun 2024.

Pengembaraan mereka bermula dalam penerbangan dari Singapura ke Amsterdam.

Sejak itu, mereka memandu di sekitar Eropah dan sudah pun mengunjungi London, Wales, Belanda, Albania dan Austria dan kini mereka berada di Croatia.

Mereka berkongsi gambar-gambar pemandangan sepanjang perjalanan mereka di akaun Instagram @manwomandoggo.
Menurut Jane, beliau dan pasangannya sudah lama merancang untuk menjelajah seluruh dunia sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata mereka mula menabung sejak 2015, apabila kerjaya masing-masing mula menjadi stabil.

"Kami mula membuat pelaburan secara lebih kerap dan merancang untuk bersara lebih awal yang termasuk rancangan untuk mengembara dan menjalani rentak gaya hidup lebih perlahan," katanya.

Beliau enggan mendedahkan jumlah yang berjaya mereka simpan sejauh ini, tetapi beliau berkata: "Secara purata, kami dapat simpan sebahagian besar daripada gaji yang diperolehi, hampir 90 peratus kerana kami mengawal perbelanjaan kami.

"Kami juga menyewakan bilik di flat kami, melaburkan semula dapatan yang diperolehi dan memberi tumpuan kepada saham yang membayar dividen."

Pasangan itu sudah pun membelanjakan kira-kira S$50,000 sepanjang tahun lalu untuk perjalanan mereka, terutama sekali bagi kos penginapan.

Pasangan itu berkata mereka "sudah bersedia untuk ke luar negara pada 2020 tetapi COVID-19 berlaku".

Penangguhan itu ternyata satu rahmat kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengosongkan flat mereka yang akan disewakan.

"Tanpa disangkakan, kami mengumpul banyak barang sepanjang tempoh beberapa tahun ini. Kami mengambil masa hampir enam minggu untuk mendermakan dan menjual barang kami di Carousell," kata Jane.

Jane dan Matt merancang untuk melancong selama dua hingga tiga tahun sebelum pulang ke Singapura.
Sumber : 8 Days/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita