Pasangan ini ubah elok rumah mereka ikut era 40 hingga 60-an
Apa yang paling menarik di rumah mereka ialah set-set tirai kayu yang dibuat khas di Malaysia, memaparkan iklan-iklan lama, yang kerap dilihat di kedai kopi mahupun kedai runcit berdekad-dekad dahulu.
Pasangan Jason dan Abby yang menghiaskan rumah mereka mengikut era 1940 hingga 60-an. (Gambar: The Moving Visual Co)
SINGAPURA: Ramai yang pasti ghairah apabila mendapat kunci rumah sendiri dan memulakan proses mengubah suai rumah mengikut cita rasa mereka.
Bagi pasangan Jason dan Abby, rumah bina ikut tempahan (BTO) mereka ini boleh menjadi inspirasi bagi anda yang inginkan kelainan serta inspirasi reka bentuk dari zaman dahulu.
"Saya memang suka keadaan Singapura dulu kala terutama sekali dari segi reka bentuk bangunan di sekitar kawasan kejiranan seperti Tiong Bahru, Katong dan Joo Chiat," kata Jason yang bekerja sebagai seorang pengurus bebas acara dan majlis bersanding.
"Kami berdua memang gemar ikuti lawatan berunsur warisan ke tempat-tempat seperti Melaka bagi mengalami nostalgia 'rumah kedai lama Singapura' dan melihat benda-benda yang ada pada tahun 1940-an, 50-an dan 60-an. Barang-barang khazanah ini kita sering tidak mengambil berat dan banyak yang mula hilang ditelan zaman."
Minat pasangan ini begitu mendalam sehinggakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mereka mengumpulkan "barang dari zaman dahulu kala yang mereka sendiri tidak pernah akan alami", kata Abby yang bekerja dalam perusahaan pendidikan.
Ini termasuk barangan seperti pinggan mangkuk masyarakat Peranakan, telefon dan alat muzik piring hitam yang lama serta perabot rotan yang mereka jumpa di kedai-kedai barangan terpakai.
Ketika mereka berumahtangga empat tahun lalu juga, mereka memilih untuk mengadakan majlis di sebuah restoran dalam rumah kedai yang diubah jadi hotel di Chinatown.
Kotak surat lama yang biasanya dilihat di luar rumah kedai lama pula dijadikan kotak untuk menerima sampul duit.
Lantaran itu, apabila mereka mendapat kunci flat baru BTO mereka di Tiong Bahru, mereka terus membuat keputusan untuk mengubah suai rumah mereka dengan tema nostalgia.
Mereka bekerjasama dengan artis-artis bebas untuk menghasilkan barangan yang unik buat mereka iaitu satu cara baik untuk menyokong bakat tempatan dengan sentuhan peribadi terhadap reka bentuk barangan tersebut.
Apa yang paling menarik di rumah mereka ialah set-set tirai kayu yang dibuat khas di Malaysia, memaparkan iklan-iklan lama, yang kerap dilihat di kedai kopi mahupun kedai runcit berdekad-dekad dahulu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.