Pasangan ini sanggup keluarkan belanja lebih $10,000 untuk berkhemah
SINGAPURA: Bermula sebagai kegiatan untuk meredakan tekanan kerja, kini aktiviti berkhemah sudah menjadi hobi bagi pasangan Salina Saad dan suaminya, Mohamad Hasnon.
Ini sehingga mereka sanggup membelanjakan lebih $10,000 untuk membeli kelengkapan perkhemahan.
Mereka mula berjinak-jinak berkhemah pada 2015 di Taman Negeri Royal Belum di Perak, Malaysia dan seterusnya di taman-taman luar negara.
Namun apabila COVID-19 melanda, ia terhenti seketika.
Encik Hasnon juga perlu “bertempur” setiap hari kerana bertugas sebagai paramedik dan anggota barisan hadapan melawan pandemik itu.
“Bagi 6 bulan pertama apabila dia balik rumah, dia tidak bercakap, penat. Memakai PPE panas. Saya tahu dia sangat tertekan,” kongsi Cik Salina kepada wartawan Fatyn Afiqah.
Sebaik sahaja kelonggaran diberikan bagi aktiviti luar, mereka cuba mencari lokasi sesuai untuk berkhemah untuk meredakan tekanan.
Ini kerana alam sekitar membantu mereka untuk menenangkan fikiran.
“Fikiran kita akan terbuka apabila kita tenang. Kerja saya ini, saya banyak dengar siren. Ia amat menekan fikiran,” kata Hasnon.
Antara tempat yang selalu dikunjungi mereka untuk berkhemah ialah Taman Pasir Ris.
Selain dapat menikmati alam alam semula jadi, mereka banyak bersantai sambil mendengar ombak yang bergelora dan juga masak.
Aktiviti sebegitu juga menurut mereka, membolehkan mereka untuk lebih saling memahami peribadi masing-masing dan meningkatkan lagi hubungan sebagai suami isteri.
SANGGUP KELUARKAN LEBIH $10,000 UNTUK BERKHEMAH
Bagi keselesaan dan juga mendapatkan kelengkapan yang betul, mereka sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi.
“Khemah ini sendiri adalah kira-kira $3,200. Selebihnya adalah tambahan $8,000 hingga $10,000,” kongsi Cik Salina kepada BERITA Mediacorp.
Disebabkan itu juga, mereka dapat kelengkapan serupa malah lebih baik daripada sesetengah perkhidmatan 'glamping' yang ada.
Ini sehingga menarik perhatian ramai pengunjung di Taman Pasir Ris.
Namun, mereka berpendapat perbelanjaan sedemikian bukanlah satu keperluan bagi mereka yang baru berjinak-jinak mahu mula berkhemah.
“Ikut kemampuan, kemahuan dan apa jangkaan kita. Kalau mungkin mampu, tetapi tidak mahu seperti gitu, tidak apa. Beli yang asas sahaja.” kata Cik Salina
Bagi ikuti kisah lucu dan pengalaman mereka, anda boleh menyaksikan video siri “Buat Apa Tu?” di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.