Parodi kumpulan sembang 'SG Nasi Lemak' kongsi gambar juadah 'menggiurkan'
Baru-baru ini, tergempar berita tentang sebuah kumpulan sembang Telegram 'SG Nasi Lemak' yang disyaki menyebarkan bahan-bahan lucah dan kegiatan maksiat. Empat suspek yang dipercayai dalang di sebalik kumpulan sembang tersebut sudahpun didakwa di mahkamah pada Selasa (15 Okt) lalu.
SINGAPURA: Baru-baru ini, tergempar berita tentang sebuah kumpulan sembang Telegram 'SG Nasi Lemak' yang disyaki menyebarkan bahan-bahan lucah dan menggalak kegiatan maksiat. Empat suspek yang dipercayai dalang di sebalik kumpulan sembang tersebut sudahpun didakwa di mahkamah pada Selasa (15 Okt) lalu.
Sekiranya anda tidak tahu-menahu tentang seluruh kes tersebut, 'SG Nasi Lemak' adalah sebuah kumpulan sembang yang digunakan untuk saling bertukar dan berkongsi gambar mahupun video lucah remaja perempuan serta wanita tanpa keizinan atau pengetahuan mereka.
Kumpulan tersebut disertai lebih 44,000 anggota.
Sedang kes itu hangat diperkatakan sekarang, ada pula pihak yang mengambil kesempatan dengan menubuhkan sebuah kumpulan sembang Telegram baru - juga menggunakan nama serupa iaitu 'SG Nasi Lemak'. Ia seolah-olah satu parodi yang disengajakan untuk menempias kumpulan sembang asal berkenaan.
Namun, kumpulan 'SG Nasi Lemak' yang baru ini benar-benar menggunakan wadah tersebut untuk berkongsi segala kandungan tentang juadah kegemaran warga tempatan - Nasi Lemak. Jadi ia bukanlah satu lagi sarang mengumpulkan kandungan lucah.
Di ruang keterangannya, ia mencatatkan kumpulan tersebut menumpukan kepada "kandungan Nasi Lemak asli yang tidak diubah suai".
Setakat ini, kumpulan tersebut mempunyai 195 anggota dengan para pengguna berkongsi gambar-gambar hidangan nasi lemak mereka yang sungguh membuka selera kalau dipandang.
Para pengguna bergilir-gilir memberi ulasan dan cadangan mengenai gerai nasi lemak yang terlazat di Singapura.
Sajian nasi lemak oleh Crave juga turut menjadi buah mulut para anggota kumpulan sembang 'SG Nasi Lemak'. (Gambar: cravenasilemak)
Selain itu, perdebatan hangat tetapi sihat juga berlaku dalam ruang sembang tersebut. Misalnya, jenis bungkusan yang wajar digunakan untuk nasi lemak.
Ada pula yang mengadu tentang mutu dan harga sesetengah jenama nasi lemak.
Namun yang lucunya, nama kumpulan itu ternyata berjaya mengelirukan segelintir pengguna Telegram yang sebenarnya berminat untuk mencari bahan-bahan dikongsikan dalam kumpulan sembang SG Nasi Lemak asal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.