Panduan ini berguna untuk bantu elak anak jatuh sakit
(Gambar hiasan: iStock)
MALAYSIA: Ibu dan ayah pastinya tidak mahu anak mereka jatuh sakit.
Ketahui cara mencegah penyakit yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan anak agar sentiasa sihat.
Pencegahan penyakit adalah bahagian penting dalam menjaga kesihatan anak secara keseluruhan, seperti dinukil majalah Pa & Ma.
Banyak strategi pencegahan mudah, selamat dan berkesan yang memungkinkan anda melindungi diri dan keluarga daripada pelbagai penyakit serius.
Mari ketahui cara mencegah penyakit yang boleh anda lakukan di rumah demi melindungi anak tersayang.
Pencuci, sanitasi dan pembasmi kuman
Mencuci rumah mungkin bukan satu aktiviti yang menyeronokkan. Namun, meluangkan masa beberapa minit dapat membunuh kuman dan membantu menjaga kesihatan keluarga anda, lapor Pa & Ma.
Pembersihan rutin dengan sabun atau bahan pencuci bersama air dapat menghilangkan kotoran daripada permukaan seperti lantai, dinding, permaidani dan tingkap.
Sanitasi membantu menghilangkan kotoran dan sejumlah kecil kuman. Beberapa bahagian rumah perlu dicuci terlebih dahulu sebelum disanitasi seperti bilik air, barang permainan anak dan alat memasak.
Sesetengah bahagian di rumah anda perlu ditambah proses sanitasi untuk membunuh kuman pada setiap permukaan. Ini meliputi bahagian seperti meja makan, sinki dan permainan anak
Penyediaan dan penyimpanan makanan
Ketahui cara untuk mencegah penyakit bawaan makanan.
Berikut tiga fakta asas yang perlu diingat semasa menyediakan makanan:
1. Bakteria membiak dengan pantas dalam makanan bersuhu suam atau disimpan dalam suhu bilik. Oleh itu, pastikan makanan panas tetap panas dan makanan sejuk kekal sejuk.
2. Bakteria sering terdapat pada makanan mentah. Masak masakan berasaskan haiwan dengan teliti. Jangan lupa untuk membasuh sayur-sayuran dan buah-buahan sama ada untuk dimakan mentah atau dimasak.
3. Bakteria dan virus mudah dipindahkan dari badan ke makanan dan dari satu makanan ke makanan lain.
Pastikan anda basuh tangan dengan kerap dan galakkan anak untuk melakukan perkara yang sama.
Letakkan makanan mentah dan makanan yang siap dimasak di tempat berasingan.
Jangan lupa untuk mencuci pisau, papan pemotong dan perkakas lain yang digunakan untuk menyediakan makanan sebelum menggunakannya semula.
Cara mencegah penyakit melalui cara penyimpanan makanan
Pastikan makanan disimpan pada suhu yang betul. Penyimpanan makanan pada suhu yang salah adalah punca biasa penyakit bawaan makanan.
Simpan makanan sejuk dalam peti sejuk beku. Manakala buah-buahan dan sayur-sayuran disimpan dalam suhu bilik biasa.
Simpan dan gunakan makanan dalam tin dan bungkusan mengikut urutan tarikh luput.
Simpan bijirin dan gandum dalam almari menggunakan bekas legap – di mana cahaya tidak boleh menembusinya kerana kandungan vitamin di dalamnya boleh merosot jika terdedah kepada cahaya.
Minyak masak juga perlu disimpan jauh daripada cahaya untuk mengelakkan daripada menjadi tengik.
Strategi kebersihan
Berapa kali anda dan anak membasuh tangan dalam sehari? Anda mungkin menganggap ia perkara remeh.
Tetapi amalan ini merupakan kaedah penting yang boleh dilakukan sebagai cara mencegah penyakit.
Mencuci tangan dengan betul
Berdasarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), cara membasuh tangan yang disyorkan adalah:
1. Basahkan tangan anak anda
2. Tuangkan sabun ke tangan
3. Gosokkan tangan dengan kuat
4. Gosokkan setiap permukaan sepenuhnya
5. Terus menggosok tangan selama 20 saat untuk membuang kuman secara berkesan
6. Bilas tangan sepenuhnya
7. Keringkan tangan
Elak luka gigitan
Kebimbangan utama ibu bapa mengenai gigitan haiwan adalah risiko anak dijangkiti rabies.
Rabies adalah jangkitan virus yang mempengaruhi sistem saraf pusat dan otak.
Kesannya boleh mengakibatkan demam panas, kesukaran menelan, kekejangan dan akhirnya, kematian.
Ikuti langkah berikut untuk pencegahan:
Ajar anak untuk elak menyentuh haiwan liar; Jangan sekali-kali meninggalkan anak kecil bersendirian dengan haiwan;
Jangan biarkan anak mengganggu haiwan peliharaan atau bermain secara kasar; dan didik anak untuk tidak cium atau meletakkan wajahnya dekat dengan haiwan, lapor Pa & Ma.
Mengurangkan penyebaran penyakit pada anak
Setiap anak mempunyai risiko untuk menyebarkan penyakit.
Perkara ini berlaku terutamanya pada bayi dan kanak-kanak yang cenderung menggunakan tangan untuk lap hidung atau menggosok mata dan kemudian memegang alat mainan atau menyentuh kanak-kanak lain.
Berikut beberapa perkara yang boleh anda guna sebagai cara mencegah penyakit dan menjaga kesihatan anak:
- Mendapatkan anak suntikan vaksin
- Mengamalkan penjagaan kebersihan diri
- Menghindari individu sakit terutamanya jika mempunyai bayi baru lahir
- Menjaga kesihatan diri sendiri
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.