Skip to main content

Gaya Hidup

Pancing ikan air tawar naik kayak diuji buat pertama kali di Kolam Air Punggol

Buat pertama kalinya, pemancing boleh berkayak di sebuah kolam air di Singapura untuk menangkap ikan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pancing ikan air tawar naik kayak diuji buat pertama kali di Kolam Air Punggol

Memancing naik kayak di bawah Jambatan Jewel di Punggol. (Gambar: Kayak Fishing Fever)

Diterbitkan : 27 Aug 2021 10:06AM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 10:08AM

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, pemancing boleh berkayak di sebuah kolam air di Singapura untuk menangkap ikan.

Agensi air negara, PUB, membenarkan lawatan sambil memancing menaiki kayak di Kolam Air Punggol di bawah percubaan selama enam bulan yang kemudian akan menilai faktor-faktor seperti daya maju dan keselamatan.

Lawatan itu akan dikelolakan oleh dua pengendali yang membawa pemancing menyusuri kawasan indah sepanjang dua kilometer, bermula di Taman Sengkang Riverside dan berakhir di Jambatan Jewel yang ikonik.

UJI AIR KOLAM

Kolam Air Punggol menjadi kediaman 18 spesies ikan - 13 daripadanya bukan asal tempatan, menurut agensi itu, dan kegiatan memancing dalam apa jua bentuk sekalipun tidak pernah dibenarkan di sana sebelum ini.

"Kami ada banyak ikan gabus, ikan raja dan juga ikan ketutu - rakyat Singapura akan memanggilnya soon hock," kata Aaron Ang, pengasas
Kayak Fishing Fever.

Pengendali itu menawarkan ekspedisi pertamanya di Punggol dua minggu lalu pada 11 Ogos.

Oleh kerana umpan hidup tidak dibenarkan untuk mengelakkan pencemaran air daripada berlaku, pengendali itu sudahpun bereksperimen dengan pelbagai alternatif.

“Kami menguji pelbagai warna, saiz berbeza, jenis bahan berbeza untuk melihat apa yang paling berkesan," ujar Encik Ang.

Sejauh ini, pasukannya mendapati ikan raja sering termakan umpan yang terang dan bercahaya.

Mereka juga berjaya memperolehi tangkapan dengan menggunakan umpan bunyi atau 'buzzbait', yang mendapat namanya daripada bunyi dan getaran yang dihasilkannya di dalam air.

LEBIH SESUAI BAGI YANG BERPENGALAMAN

Namun, semua ini melibatkan lebih banyak teknik.

“Memancing ikan air tawar lebih sesuai bagi pemancing yang agak berpengalaman kerana ia memerlukan kita untuk mencampakkan joran dan kemudian perbuatan itu memerlukan beberapa ketepatan serta sedikit pengalaman," ujar Encik Ang.

Watson Ng, pengasas bersama Yak2Go iaitu pengendali kedua yang terlibat sama, berkata pemancing perlu menjaga jarak selamat sekitar 10 meter antara satu sama lain.

Syarikatnya menjangkakan dapat memikat lebih ramai pemancing berpengalaman dengan inisiatif terbaru itu.

Beliau menangkap hanya seekor ikan dalam tempoh lapan jam dalam lawatan pertamanya ke Kolam Air Punggol pada Khamis lalu (19 Ogos).

Namun, beliau berkata ia bukan tangkapannya semata-mata, sebaliknya, pengalaman yang diraih.

“Ada kebebasan untuk anda mengemudi bot anda sendiri," kata Encik Ng.

Kedua-dua pengendali itu berkata kegiatan tersebut masih dibuka kepada pemancing semua peringkat dan para pembimbing akan mengajar cara mencampakkan joran apabila berada di air.

PERMINTAAN MELONJAK

Semakin ramai rakyat Singapura berjinak-jinak dengan kegiatan memancing di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Kayak Fishing Fever menganggarkan 80 peratus daripada mereka yang mendaftarkan diri bagi lawatan memancing menaiki kayak di kawasan air terbuka adalah pendatang baru. Yak2Go juga menyaksikan peningkatan 75 peratus pada permintaan keseluruhan.

Namun, kegiatan memancing di air tawar kini dibenarkan di tempat-tempat yang dikhususkan di 10 kolam air dan lima laluan air.

PUB memberitahu Mediacorp ia menimbangkan faktor-faktor seperti keselamatan pengguna dan kesan terhadap operasi serta mutu air apabila menilai saranan-saranan yang diterimanya.

"Kolam Air Punggol sebenarnya mempunyai kegiatan air paling rendah dan tiada juga pembangunan yang dirancangkan buat masa ini. Jadi kami boleh memperuntukkan sebuah ruang yang agak besar untuk memenuhi kegiatan memancing menaiki kayak," kata Lee Jing Hui, pengurus kanan di jabatan kawasan tadahan dan laluan air PUB.

Cik Lee menegaskan memancing di bawah percubaan itu hanya setakat untuk menangkap dan kemudian melepaskan tangkapan bagi mengurangkan kesan ke atas biodiversiti. Agensi itu akan terus memantau sebarang kesan yang mungkin berlaku.

Jika semuanya berjalan lancar, sukan itu boleh menjadi satu kegiatan tetap di kolam air berkenaan.

Namun, PUB menyatakan ia tidak berhasrat untuk memperluaskan percubaan itu buat masa ini sambil menimbangkan kegiatan air sedia ada serta pembangunan yang dirancangkan seperti sistem panel suria terapung di kolam-kolam air lain.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita