Skip to main content

Gaya Hidup

Pameran terbaharu ACM 'Lets Play' teroka bagaimana permainan bentuk budaya, identiti, nilai dan intelek

Tahukah anda permainan tradisional congkak sebenarnya berasal dari Timur Tengah?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tahukah anda permainan tradisional congkak sebenarnya berasal dari Timur Tengah?

Inilah antara sejarah menarik tentang permainan yang boleh anda susuri dalam pameran terbaharu Muzium Tamadun Asia sempena SG60.
Related article image
Antara permainan kegemaran masyarakat Melayu, Carrom. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
150 KARYA SENI PAPARKAN BAGAIMANA PERMAINAN BENTUK BUDAYA, IDENTITI & NILAI

Pameran 'Let's Play' atau 'Mari Bermain' menghimpunkan 150 karya seni dalam pameran Mari Bermain untuk memaparkan bagaimana permainan telah membentuk budaya, identiti dan masyarakat selama ribuan tahun.

Sejak awal peradaban, permainan sudah menjadi wadah untuk menyatukan manusia.

Di Asia misalnya, permainan papan seperti mahjung dan congkak berkembang bukan sahaja untuk menghibur tetapi juga mendidik.

"Antara matlamat yang kami ingin mencapai ialah untuk mempertunjukkan bahawa mainan berpapan juga merupakan sebahagian daripada warisan budaya kami yang menyilang budaya. Jadi kami menunjukkan bahawa ada mainan yang mungkin berasal atau berusul dari tempat lain dan dibawa bersama pedagang atau petualang dan diperkenalkan kepada budaya tempatan dan diadaptasikan seperti mainan tempatan," kata Timbalan Pengarah & Kurator Utama, Seni Islam & Peranakan, ACM, Noorashikin Zulkifli.

Maka itu, pameran ini juga meneroka sejarah permainan Asia yang kaya dan peranan yang dimainkannya dalam membentuk budaya, identiti dan masyarakat.
Related article image
Permainan ular dan tangga yang asal rupanya mendidik pemain tentang adab dan nilai-nilai murni. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Pada saya permainan papan masih relevan dan masih penting untuk masyarakat kami kerana ia memberi peluang untuk kami berkumpul sebagai keluarga atau antara kawan. Ia juga memberi peluang untuk kami mempelajari nilai-nilai lain seperti cara berfikir dengan strategi. Ia juga dapat memperkembangkan daya intelek kami," ujar Cik Noorashikin.

Dengan pameran itu, ACM juga berharap dapat menukar tanggapan bahawa permainan papan mungkin terhad kepada permainan popular seperti Monopoly sahaja.
Related article image
Papan Permainan Catur Harimau (belakang) yang dimainkan di Sumatra Barat berakar dari India Selatan - permainan Harimau dan Kambing (depan). (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Mainan seperti catur atau 'chess' yang mungkin kami lebih kenali versi antarabangsa tetapi dalam alam Melayu, kami ada juga ada catur yang telah diperkenalkan daripada dunia Islam dan catur itu menyusur galur kepada mainan yang begitu kuno dari India yang dikenali sebagai chaturanga," jelas Cik Noorashikin kepada wartawan Roslinda Rahmat.

ASAL CONGKAK ADALAH MANQALAH

Permainan warisan Melayu, Congkak juga berasal daripada permainan Arab, yang dipanggil Manqalah.

"Congkak ni menyusur galur kepada keluarga mainan berpapan yang lebih dikenali sebagai Manqalah iaitu dalam bahasa Arab bermakna untuk menggerakkan, jadi menggerakkan biji dan mainan congkak ini telah diperkenalkan ke rantau ini menerusi pedagang atau petualang dari dunia Islam melalui rangkaian maritim Lautan India dan mungkin telah diperkenalkan lebih daripada empat abad yang lalu kerana congkak itu disebut dalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan tentang Sultan Iskandar Sultan ke-15 negeri Perak," kongsi Cik Noorashikin.
Related article image
Papan-papan Congkak berbentuk Burung Petala Indera, dinpameran Let’s Play. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Related article image
Papan Congkak inovatif berbentuk ikan antara pameran Let’s Play. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Dengan tiket berharga $12, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai permainan termasuk permainan papan AI.
Related article image
Nak cuba main catur dengan AI? (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Para pengunjung juga boleh menguji kepintaran diri, membuat pergerakan dan menghidupkan semula sejarah permainan menerusi seni pemasangan, hasil rekaan seni interaktif dan karya seni baharu oleh para pereka kontemporari.

Pameran Mari Bermain di ACM akan dibuka mulai Jumaat ini (5 Jun) sehingga Jun 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita