Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pameran Superfoods Asia tawarkan peluang dagang produk sihat dan halal

Pasaran makanan sihat dan halal di rantau Asia Tenggara menunjukkan potensi pertumbuhan kukuh. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasaran makanan sihat dan halal di rantau Asia Tenggara menunjukkan potensi pertumbuhan kukuh.

Pameran dagang Superfoods Asia di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands menyediakan wadah bagi para peniaga meninjau peluang perniagaan dalam sektor tersebut, termasuk di Singapura.

Dari sekitar 90 syarikat produk makanan dan minuman berkhasiat tinggi di pameran itu, 25 adalah syarikat produk Halal.

Salah satunya adalah Aqina Farm, juga satu-satunya syarikat tempatan yang menjual ayam kampung organik. Berbeza dengan ayam-ayam lain, ayam kampung ternakan syarikat itu diberi makan buah nenas yang berkhasiat tinggi.

Pengamatan syarikat itu juga mendapati lebih ramai pelanggan Melayu/Islam kini lebih peka terhadap makanan sihat dan tidak keberatan untuk berbelanja lebih bagi membeli produk organik. Hasil dapatan itu mendorong mereka untuk menembusi pasaran makanan sihat halal tempatan dengan penjualan produk ayam kampung organik mereka.

Menurut Pengarah Pemasaran Aqina Farm, Scott Ang: "Dalam tempoh lima tahun lalu, terdapat peningkatan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam yang memilih makanan lebih sihat dan enak. Kita juga melihat trend pelanggan yang tidak melihat harga sebagai satu isu untuk membeli produk makanan sihat. Ini kerana mereka lebih peka terhadap manfaat produk tersebut kepada kesihatan."

(Gambar: Nur Hazimah Anuar/BERITAmediacorp)

Dalam pada itu, syarikat-syarikat dari luar negara juga berminat untuk menembusi pasaran tempatan. Misalnya syarikat jualan produk madu dari Malaysia, Eco Bee Shop Sdn Bhd.

Menurut pengarah syarikat, Cathie Tan, sekitar 25 peratus daripada pelanggannya merupakan warga Singapura.

"Saya rasa sekarang para pembeli lebih prihatin terhadap barangan produk kesihatan terutama sekali produk makanan semula jadi. Misalnya, madu yang dihasilkan syarikat kami adalah madu yang asli, yang dituai daripada kawasan perhutanan," kata Cik Cathie.

Edisi unggul pameran dagangan Superfood Asia dianjurkan dari Rabu (24 Apr) hingga Jumaat (26 Apr) dan ia dijangka menarik lebih 8,000 pengunjung dagangan antarabangsa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan