Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pameran 'Scribble Town' kupas isu buli dengan cara mudah difahami kanak-kanak

Hasil kerjasama antara Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan Persatuan Kanak-Kanak Singapura, satu pameran interaktif dipanggil Scribble Town akan mengajak para pengunjung untuk mengupas isu tersebut menerusi cara menarik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cuba anda ajukan pertanyaan ini kepada anak anda. Apa yang boleh kita lakukan sekiranya menyaksikan sendiri insiden membuli? Bagaimana pula kita boleh memupuk budaya bebas buli?

Ini mungkin sukar dijawab si kecil.

Namun kini ada wadah untuk menjelaskan isu buli dengan cara lebih mudah difahami.

Hasil kerjasama antara Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan Persatuan Kanak-Kanak Singapura, satu pameran interaktif dipanggil Scribble Town akan mengajak para pengunjung untuk mengupas isu tersebut menerusi cara menarik.

Pameran 'Scribble Town' dibuka di Dewan Peringatan Nanyang Sun Yat Sen. (Gambar: NHB) 

(Gambar-gambar: NHB) 

Pameran yang dibuka di Dewan Peringatan Nanyang Sun Yat Sen khususnya sesuai bagi kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun.

Dengan menampilkan pelbagai karya seni komik dan 80 lakaran komik, para pengunjung antara lain boleh mengikuti pengembaraan tiga watak yang kononnya mencari jalan keluar untuk mengembalikan warna yang 'hilang' dari dunia mereka. 

Sepanjang pengembaraan itu pula, pengunjung akan dapat memerhatikan interaksi antara Dan, Sam dan Lydia - seperti cara mereka bertutur, bertindak dan memberikan respons kepada satu sama lain.

Ini akan secara langsung membolehkan kanak-kanak memahami lebih baik jenis-jenis perbuatan membuli, bagaimana dan mengapa buli berlaku, serta kesannya terhadap pelbagai pihak terlibat.

"Kami berharap dapat memperkukuhkan peranan muzium kami sebagai institusi yang dipercayai untuk menyampaikan topik sosial secara objektif selain menjadikannya sebagai ruang yang selamat di mana pengunjung dapat melakukan dialog yang bermakna," kata Timbalan Pengarah Pendidikan dan Mendekati Masyarakat NHB, Cik Norsaleen Salleh.

Menerusi pameran itu juga, pihak penganjur turut ingin membuka peluang kepada pengunjung untuk merenung jika mereka secara tidak langsung pernah bertindak membuli orang lain.

Misalnya, akan ada senarai kata-kata yang baik mahupun yang boleh menyinggung perasaan, untuk dijadikan rujukan.

Pameran percuma itu akan berlangsung sehingga Januari tahun depan.

Menurut NHB, ada rancangan untuk 'membawa' Scribble Town ke kawasan kejiranan, termasuk perpustakaan awam dan sekolah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan