Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pameran Lakar Lilin tampilkan karya 5 tokoh batik S'pura berlangsung hingga 31 Mei

Selama tujuh minggu ini, anda boleh menyaksikan satu pameran batik yang buat pertama kalinya menampilkan lima tokoh batik tempatan di bawah satu bumbung.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Apr 2021 09:14PM Dikemas Kini : 13 Apr 2021 10:28PM

SINGAPURA: Selama tujuh minggu ini, anda boleh menyaksikan satu pameran batik yang buat pertama kalinya menampilkan lima tokoh batik tempatan di bawah satu bumbung.

Pameran lukisan batik yang dipanggil Lakar Lilin ini merupakan kali pertama lima pelukis batik mapan di Singapura ini bergabung.

Mereka terdiri daripada Sarkasi Said, Sujak Rahman, Sadali Musbah, Tumadi Patri dan Kamal Dollah yang bersatu untuk memaparkan lukisan-lukisan batik mereka yang hakikatnya sangat berbeza lagi tersendiri antara satu sama lain.

Pameran yang berlangsung di Kamal Arts Gallery di Wisma Geylang Serai ini dilancarkan Sabtu (10 Apr) lalu oleh Menteri Kedua Pendidikan merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Maliki Osman.

30 KARYA LUKISAN BATIK DIPAMERKAN

Sebanyak 30 karya lukisan batik oleh lima seniman batik itu diketengahkan dan kesemuanya boleh dibeli oleh orang ramai.

"Tema karya saya yang dipamerkan hari ini berdasarkan unsur-unsur air dan juga kehidupan di dasar. Bentuk yang digunakan adalah bentuk-bentuk di dasar laut," kata tokoh batik, Encik Sarkasi Said, mengenai lukisan yang beliau sumbang bagi pameran itu.

Menurut Kamal Arts, yang menganjurkan pameran ini, ia bertujuan menggalak penghargaan seni - khususnya mendidik dan menonjolkan seni lukisan batik di Singapura.

Meskipun hanya 30 lukisan dapat dipamerkan kerana ruang pameran yang terhad ini, pelukis dan penganjur pameran, Encik Kamal Dollah akur bahawa terdapat kepelbagaian yang dapat dilihat dari segi teknik dan gaya para pelukis batik masing-masing.

"Ilham untuk menganjurkan pameran Lakar Lilin ini sudah lama, lebih daripada 20 tahun.

"Alhamdullilah sekarang masanya sesuai kita dapat menggabungkan para pelukis mapan dalam seni lukis batik untuk bersama dan meraikan usaha mereka selama ini sepanjang hayat mereka," menurut Encik Kamal.

Beliau juga gembira dapat mengetengahkan para semiman yang cukup beliau hormati itu oleh kerana mereka tidak pernah berhenti bergiat dalam seni batik meski menghadapi cabaran.

Pameran ini akan berlangsung secara percuma sehingga 31 Mei ini.

Orang ramai boleh menyertai kegiatan seperti bengkel melukis batik di galeri seni berkenaan (22 & 29 Mei), selain boleh mengikuti pameran itu secara online. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan