Skip to main content

Gaya Hidup

Pameran kereta Tokyo beri bayangan generasi baharu kenderaan elektrik

Anggaran Waktu Membaca:
Pameran kereta Tokyo beri bayangan generasi baharu kenderaan elektrik
Diterbitkan : 29 Oct 2023 06:32PM Dikemas Kini : 29 Oct 2023 06:33PM
TOKYO: Kenderaan elektrik yang mampu berubah seiring gaya hidup pemiliknya.

Itulah janji kebanyakan para pengeluar kenderaan di pameran kereta Tokyo.

Mula dibuka kepada umum pada Sabtu (28 Okt), ia memberi bayangan kenderaan masa depan yang lebih daripada sekadar berkuasa elektrik.

Presiden syarikat Toyota Koji Sato memberi bayangan gelombang baharu kenderaan elektrik (EV) dalam apa pun bentuk yang diidamkan si pemandu - kereta sport, SUV, malah van niaga juga.

Beliau berkata terdapat teknologi untuk menghasilkan pelbagai jenis kenderaan sedemikian pada mutu unggul.

Editor Autocar Mark Tisshaw berkata barisan kereta yang dipamerkan kali ini cukup mengagumkan, dengan kemunculan konsep-konsep baharu setelah empat tahun para pengeluar terbesar kereta di Jepun menyepi.

Salah satunya daripada Mazda. Sebuah kereta sport kecil yang membayangkan masa depan MX5. Nissan juga mendedahkan barisan konsep baharu, begitu juga Toyota.

Namun tidak semua kereta yang dipamerkan bakal berada di jalan-jalan raya dalam masa terdekat.

Ia sebaliknya menonjolkan konsep-konsep untuk masa hadapan, terutama dari sudut rupa bentuk kenderaan.

Syarikat Toyota akur, ia jauh ketinggalan di belakang para pesaing dari luar Jepun dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV), khususnya Tesla dari Amerika Syarikat dan BYD Auto dari China.

Pengeluar kereta utama Jepun itu menyasarkan penjualan 1.5 juta EV setiap tahun menjelang 2026, dan 3.5 juta setahun menjelang 2030.
Sumber : AGENCIES/FZ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita