Skip to main content

Gaya Hidup

Pameran gambar Puteri Diana jelajah 3 bandar AS

Pameran terbaru mulai Disember ini paparkan sosok mendiang Puteri Diana yang lebih santai, di samping menyusuri perjalanannya sebagai seorang gadis yang "pemalu" bertukar menjadi ikon fesyen dan pejuang hak asasi manusia. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pameran gambar Puteri Diana jelajah 3 bandar AS

Puteri Diana bantu kutipkan tongkat seorang wanita warga emas di Hong Kong pada 9 Nov 1989 (Gambar fail: Terry LEUNG/AFP)

Diterbitkan : 01 Dec 2021 12:40PM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 12:43PM

CALIFORNIA: Satu pameran baru yang menampilkan gambar-gambar mendiang Puteri Diana akan diadakan di tiga bandar Amerika Syarikat mulai bulan ini.

"Princess Diana Exhibition: Accredited Access" (Pameran Puteri Diana: Akses Diluluskan) memaparkan sosok santai Diana melalui kaca mata Anwar Hussein, jurugambar diraja British yang paling lama berkhidmat, dan dua anak lelakinya Zak dan Samir Hussein yang juga adalah jurugambar. Anwar Hussein memetik gambar Diana sejak mendiang menjadi tokoh masyarakat sebelum pemergiannya pada 1997.

"Anda boleh menyusuri perjalanan kehidupan Diana sepanjang hayatnya dari seorang gadis yang pemalu sehingga dikenali seluruh dunia sebagai ikon fesyen dan pejuang hak asasi manusia," kata Zak Hussein semasa mempromosikan pameran di Santa Monica, California.

Para pengunjung diberikan telefon dan fonkepala supaya mereka boleh membaca dan mendengar ulasan tentang makna di sebalik setiap gambar yang dipaparkan.

"Anda dapat mendengar daripada saya dan abang saya, kisah di sebalik gambar-gambar itu," kata Zak. "Ia bukan pameran biasa di mana anda hanya melihat gambar di dinding ... Ia mempunyai ciri-ciri dokumentari."

Zak juga berharap agar pameran tersebut dapat mendidik orang ramai tentang cara Puteri Diana membawa perubahan pada kerabat diraja. Sebagai contoh, Diana jarang memakai sarung tangan.

"Sebelum ini, kerabat diraja biasanya memakai sarung tangan apabila bersentuhan dengan orang ramai dan ia adalah sesuatu yang tidak dilakukan oleh Diana. Beliau benar-benar mahu merasai keperibadian seseorang dan emosi yang disampaikan melalui sentuhan," kata Zak.

Anwar Hussein dipuji ramai kerana menampilkan sosok keluarga diraja yang lebih santai. Zak berkata bapanya cemerlang dalam merakam keperibadian seseorang yang dipetik gambarnya dan menasihatinya supaya melakukan perkara yang sama.

"Orang ramai suka melihat lebih banyak gambar kerabat diraja yang jujur dan santai dan ia sekali lagi boleh anda lihat dalam pameran ini," kata Zak.

Pameran oleh keluarga Hussein ini dipamerkan di Los Angeles, Chicago dan New York mulai 1 Dis.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita