Pameran gambar di Paris raikan 60 tahun hubungan Perancis-SG
Sebuah pameran gambar yang mengetengahkan transformasi bandar Singapura melalui lensa dua orang jurugambar dilancarkan bagi menandakan 60 tahun hubungan diplomatik antara Singapura dan Perancis.
Pameran di Paris itu menampilkan karya oleh jurugambar Perancis Paul Piollet, yang menetap di Singapura pada 1970-an dan 1980-an, serta jurugambar Singapura Darren Soh.
Encik Soh bekerjasama bersama Lembaga Warisan Negara (NHB) dan telah mencuba untuk mengenal pasti beberapa tempat di mana Encik Piollet mengambil gambarnya.
Namun, banyak pemandangan bandar yang telah berubah, dengan tempatnya sudah tiada atau digantikan dengan bangunan yang lebih baharu.
Pameran gambar itu turut menggariskan komitmen Singapura dan Perancis untuk membangunkan bandar mampan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
"Gambar-gambar yang dipetik Paul tentang Singapura merupakan Singapura yang tidak lagi wujud, dan itu sebabnya ia sangat berharga. Dan dengan gambar saya yang membalasnya, kami berharap ia dapat menyatukan kedua-duanya," kata Encik Darren Soh.
Duta Besar Singapura ke Perancis, Foo Teow Lee, pula berkata, "Singapura merdeka pada Ogos 1965, dan Perancis merupakan antara 11 negara pertama yang segera mengiktiraf kemerdekaan kami pada September 1965. Jadi kami amat berterima kasih kepada Perancis atas sokongannya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.