Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Pakai kostum animasi, 2 siswazah ini jana pendapatan lumayan

Siapa sangka dengan hanya bermodalkan empat helai kostum watak animasi popular seperti Spiderman, Minnie Mouse, Mickey Mouse dan beruang berharga RM1,000 (S$332), dua anak muda Kampung Seri Kejai di Kedah mampu menjana pendapatan bulanan yang lumayan sebagai penghibur.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakai kostum animasi, 2 siswazah ini jana pendapatan lumayan

'Bujang Surprise Delivery' muncul kerana tidak mahu bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Mar 2019 11:03PM Dikemas Kini : 31 Mar 2019 11:06PM

KULIM: Siapa sangka dengan hanya bermodalkan empat helai kostum watak animasi popular seperti Spiderman, Minnie Mouse, Mickey Mouse dan beruang berharga RM1,000 (S$332), dua anak muda Kampung Seri Kejai di Kedah mampu menjana pendapatan bulanan yang lumayan sebagai penghibur.

Dua rakan kongsi bagi 'Bujang Surprise Delivery' - Mohd Zainal Azmi, 29 tahun, dan Mohd Azwan Fathullah, 24 tahun - mempunyai prinsip yang sama, iaitu mereka tidak mahu bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata dengan membuang perasaan malu mengenakan kostum itu untuk menghiburkan orang ramai di setiap majlis sejak tahun lalu.

"Kami tidak menyangka permintaan terhadap khidmat penghibur berkostum watak animasi di majlis keramaian seperti kenduri kahwin, sambutan hari lahir dan aktiviti bersukan kini mendapat permintaan tinggi di sekitar daerah ini," kata Encik Mohd Zainal, yang juga seorang penjawat awam, ketika ditemui agensi berita Bernama.

Encik Mohd Zainal berkata perkhidmatan berkenaan ditawarkan dalam beberapa pakej dengan caj berpatutan iaitu antara RM50 (S$16.60) hingga RM150 (S$49.80) setiap jam mengikut majlis yang ditempah.

"Kami caj paling rendah RM50 (S$16.60) untuk perkhidmatan penghantaran barangan yang dipanggil hadiah kejutan dan selebihnya RM150 (S$50) setiap jam bagi majlis keraian seperti kenduri kahwin dan hari lahir. Namun, ada juga yang percuma sahaja seperti untuk rumah anak-anak yatim dan warga emas," katanya.

Beliau berkata bagi memberi keselesaan kepada para pelanggan, penjagaan kostum amat dititikberatkan supaya tidak berbau dan sentiasa dalam keadaan bersih.

"Kalau jadi penghibur ini, kami memang kena bergaul dengan orang ramai terutama kanak-kanak, kami perlu bermain dan mendekati mereka. Malah kami juga sentiasa memastikan emosi sentiasa dikawal walaupun sedang marah, atau sedih ini adalah cabaran yang agak sukar," katanya.

Encik Mohd Azwan, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Multimedia, pula berkata kerjaya berkenaan bukan hanya untuk menggembirakan orang semata-mata tetapi banyak mengajar erti kesabaran dalam mencipta kejayaan.

"Mempunyai segulung ijazah bukan kunci utama untuk kita berjaya, sebaliknya usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa yang diperlukan untuk kita berjaya dalam apa juga bidang.

"Syukur percubaan kami berdua tidak sia-sia malah mendapat permintaan dari dalam dan luar daerah sehingga tidak mampu kami nak penuhi dan terpaksa tolak terutama ketika musim cuti sekolah dan hari minggu," katanya. 

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan