Skip to main content

Gaya Hidup

Orang Laut SG buka kafe sementara pertama di Clarke Quay, saji hidangan tradisional masyarakat Kepulauan Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
Orang Laut SG buka kafe sementara pertama di Clarke Quay, saji hidangan tradisional masyarakat Kepulauan Selatan

Kafe sementara Terumbu di Chef X, Clarke Quay, akan menampilkan hidangan asli Orang Laut (kiri) yang disediakan oleh Noorani Rani, ibu kepada pengasas Orang Laut SG, Firdaus Sani, dengan bantuan ibu saudaranya, Rohaini. (Gambar: Orang Laut SG)

Diterbitkan : 20 Oct 2026 01:07PM
Orang Laut SG opens first temporary cafe at Clarke Quay, serving traditional dishes of the Southern Islands community
  • Orang Laut SG is running Terumbu at Chef X, Clarke Quay Central, from Oct 23 to Dec 26, after offering traditional food through deliveries and pop-up events since 2020.
  • The Far East Organisation programme provides a professional kitchen, dining space and mentorship; Firdaus Sani, his family and members of the local community run the cafe and prepare dishes based on heritage recipes.
  • The menu includes Pulau Bowl and mackerel bubur lambuk, using ingredients and techniques from coastal communities; supplies of fish from local fishermen may vary depending on their catch.
  • The cafe and community gallery preserve the history and identity of the Southern Islands, including Firdaus’ family’s ties to Pulau Semakau before they were relocated in 1977, when plans were being made to develop the western islands.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebelum ini, sesiapa yang ingin menikmati makanan tradisional masyarakat Orang Laut di Singapura perlu membuat tempahan online menerusi Orang Laut SG untuk dinikmati di rumah.

Sejak 2020, pertubuhan yang diterajui masyarakat itu menjual hidangan tradisional penduduk asal Kepulauan Selatan Singapura menerusi khidmat penghantaran pada hujung minggu, selain sesekali menyertai acara makanan sementara dan kegiatan kebudayaan.

Namun mulai Jumaat (23 Okt), orang ramai boleh terus mengunjungi Chef X di Clarke Quay Central untuk menikmati hidangan tersebut.

Buat pertama kalinya, Orang Laut SG akan mengendalikan sebuah kafe yang memperkenalkan makanan tradisional masyarakat yang pernah menetap di pulau-pulau Singapura kepada orang ramai.

Dinamakan Terumbu, kafe sementara itu akan beroperasi sehingga 26 Disember.

Ia merupakan penyertaan ke-15 dalam program Chef X, satu inisiatif Far East Organisation yang memberi peluang kepada pengusaha makanan dari rumah dan cef yang menyediakan pengalaman menjamu selera secara privet untuk mengendalikan restoran komersial bagi tempoh terhad.

Program itu menyediakan kemudahan dapur profesional, ruang makan serta bimbingan kepada para peserta.

APA YANG MENARIK DALAM MENU ORANG LAUT?
Related article image
Kafe sementara Terumbu di Chef X, Clarke Quay, akan menampilkan hidangan asli Orang Laut. (Gambar: Orang Laut SG)
Menu Terumbu ringkas tetapi menampilkan hidangan tradisional masyarakat Orang Laut, dengan dua pilihan utama.

Hidangan pertama ialah Pulau Bowl (S$15.90), yang menggabungkan tiga jenis lauk makanan laut bersama nasi putih dan sayur-sayuran.

Lauk tersebut terdiri daripada asam pedas ikan karang, sotong hitam yang dimasak menggunakan dakwatnya sendiri, serta sambal udang.

Walaupun hidangan itu mungkin kelihatan serupa dengan masakan Melayu, bahan-bahan yang digunakan memperlihatkan keunikan masakan masyarakat pulau.

Sebagai contoh, sotong hitam menggunakan sotong bermata hijau yang dikenali sebagai sotong nos, yang secara tradisional ditangkap menggunakan kaedah memancing.

"Keluarga kami menggunakan sotong jenis ini kerana ia mempunyai banyak dakwat hitam, dan cara memasaknya juga berbeza. Jadi, anda akan dapat merasai kepekatan kuah sotong hitam itu," kata pengasas Orang Laut SG, Firdaus Sani.
Related article image
Bubur lambuk tenggiri antara hidangan kafe sementara Terumbu di Chef X. (Gambar: Orang Laut SG)
Encik Firdaus merupakan generasi keempat keturunan Orang Pulau dan Orang Laut, dengan keluarganya berasal dari Pulau Semakau.

Hidangan utama kedua ialah bubur lambuk tenggiri, sejenis bubur ikan yang agak berbeza daripada bubur lambuk yang lazimnya diagihkan di masjid semasa Ramadan.

"Sebenarnya, ini merupakan makanan harian kami kerana masyarakat pulau sering mempunyai lebihan ikan karang.

"Mereka akan mengisar tulang ikan dan bahagian lain untuk dijadikan bubur kerana ketika itu mereka tidak mempunyai peti sejuk. Ini merupakan cara mereka mengelakkan pembaziran," jelas Encik Firdaus.

Di Terumbu, bubur ikan tenggiri yang dimasak bersama serai, santan dan lada hitam ditawarkan dengan pilihan udang (S$11.90), sotong (S$11.90) atau kedua-duanya sekali (S$13.90).

Selaras dengan usaha Orang Laut SG untuk mengekalkan warisan masyarakatnya, Terumbu turut melibatkan anggota keluarga dan masyarakat setempat.
Related article image
Hidangan asli Orang Laut disediakan oleh Noorani Rani (kiri), ibu kepada pengasas Orang Laut SG, Firdaus Sani, dengan bantuan ibu saudaranya, Rohaini. (Gambar: Orang Laut SG)
Ibu Encik Firdaus, Noorani Rani, akan menyediakan sebahagian besar hidangan, manakala ibu saudaranya, Rohaini, akan membantu menguruskan ruang makan bersama sepupu-sepupunya.

Resipi yang digunakan diwarisi daripada nenek Encik Firdaus, Nenek Ninah, yang berpegang pada falsafah memasak ikut hati kau, iaitu memasak mengikut rasa dan naluri tanpa terlalu bergantung pada sukatan yang tepat.

Bagi pencuci mulut, kuih koleh-koleh dan puteri salat akan disediakan oleh seorang bekas penduduk Pulau Bukom.

Hidangan yang dipilih bertujuan memperlihatkan perbezaan antara masakan masyarakat pesisir pantai dengan masakan Nusantara secara umum.

"Dalam menu, kami menyatakan bahawa ikan karang akan dihidangkan, tetapi kami tidak menetapkan jenis ikan tertentu kerana kami mahu bekerjasama dengan dan menyokong masyarakat nelayan dari pulau-pulau ini.

"Masih ada pembuat bubu yang turun ke laut untuk menangkap ikan, dan kami mendapatkan sebahagian bekalan daripada mereka. Jadi, jenis ikan yang digunakan mungkin berubah mengikut hasil tangkapan mereka.

"Dengan cara itu, wujud hubungan langsung antara laut dengan hidangan yang disajikan," jelas Encik Firdaus.

Beliau turut menegaskan bahawa masakan Orang Laut merupakan sebahagian daripada warisan masakan Melayu Nusantara.
Related article image
Pengasas Orang Laut SG, Firdaus Sani. (Gambar: Orang Laut SG)
"Apa yang kami tawarkan adalah sebahagian daripada masakan Melayu Nusantara. Jika masakan masyarakat Kepulauan Selatan dipersembahkan sebagai sesuatu yang terpisah sepenuhnya daripada masakan Melayu, ia seolah-olah mengetepikan hubungan sejarah masyarakat ini dengan rantau yang lebih luas," katanya.

Menurut beliau, keunikan masakan masyarakat pulau lebih terserlah melalui penggunaan bahan-bahan, tradisi menangkap ikan serta cara memasak yang dipengaruhi kehidupan di kawasan pesisir pantai.

MEMELIHARA WARISAN MAKANAN KEPULAUAN SELATAN
Related article image
Firdaus Sani dan keluarganya di atas bot ke Pulau Semakau. (Gambar: Orang Laut SG)
Ditubuhkan pada 2020, Orang Laut SG pada mulanya merupakan sebuah akaun Instagram yang mendokumentasikan kenangan, tradisi dan makanan masyarakat yang pernah menetap di Kepulauan Selatan Singapura sebelum dipindahkan ke tanah besar.

Menurut laman web pertubuhan itu, istilah Orang Laut dan Orang Pulau merujuk kepada dua identiti yang mempunyai persamaan, tetapi tidak semestinya membawa maksud yang sama.

Kedua-duanya mencerminkan sejarah dan hubungan masyarakat dengan kawasan perairan Singapura sejak sebelum pembangunan moden negara ini.

Pulau Semakau, tempat keluarga Encik Firdaus menetap selama beberapa generasi, kini merupakan tapak pelupusan sampah luar pesisir Singapura.

Keluarganya dipindahkan ke tanah besar pada 1977 apabila pulau-pulau Singapura dibangunkan semula.

"Makanan merupakan antara lambang budaya kami yang paling mudah dilihat.

"Orang ramai boleh merasa, menghidu dan mengalaminya sendiri. Ia sesuatu yang boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja yang ingin mengenali budaya masyarakat Kepulauan Selatan.
Related article image
Resipi-resipi tersebut diwarisi daripada nenek Firdaus Sani, Nenek Ninah (kiri) bersama saudara mereka, Nenek Ru, di Pulau Semakau. (Gambar: Orang Laut SG)
"Walaupun kami sudah dipindahkan dari pulau-pulau tersebut, makanan masih menjadi penghubung kami dengan asal usul itu," kata Encik Firdaus.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tiada satu jenis masakan Orang Laut yang boleh dianggap mewakili keseluruhan masyarakat tersebut.

Setiap masyarakat pulau mempunyai hidangan tersendiri berdasarkan hasil laut, tanaman dan bahan makanan yang tersedia kepada mereka.

Cara memasak juga berubah mengikut peredaran masa dan keadaan kehidupan.

Pembukaan Terumbu berlangsung ketika terdapat rancangan untuk membangunkan lagi pulau-pulau di bahagian barat Singapura, sekali gus menjadikan usaha memelihara sejarah masyarakat pulau semakin penting.

"Saya mahu menegaskan bahawa kawasan-kawasan ini bukanlah tempat yang kosong.

"Dahulu, terdapat masyarakat yang menetap di sana, dan sehingga kini masih ada sumber mata pencarian yang berkait rapat dengan pulau-pulau dan kawasan tersebut," kata Encik Firdaus.

Sehubungan itu, Terumbu juga akan menampilkan sebuah galeri masyarakat yang memperkenalkan warisan Kepulauan Selatan Singapura.

Bagi rakyat Singapura, Terumbu menjadi peringatan bahawa sejarah makanan negara ini bukan sekadar tertumpu pada pusat penjaja dan hidangan turun-temurun dalam keluarga.

Terdapat juga tradisi makanan yang lebih lama, diwarisi daripada masyarakat yang tempat tinggal asalnya mungkin sudah tiada pada peta, tetapi pengetahuan dan kenangan mereka terus dipelihara hingga hari ini.

Terumbu akan beroperasi di Chef X, #03-103/104 Clarke Quay Central, dari 23 Oktober hingga 26 Disember.
Sumber : CNA/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita