Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Obesiti pada anak boleh akibatkan fungsi otak terbantut

Anak obes atau gemuk keterlaluan semasa kecil rasanya tidaklah menimbulkan sebarang masalah buat ibu bapa. Mungkin apabila sudah besar, akan susutlah berat badannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Obesiti pada anak boleh akibatkan fungsi otak terbantut

Gambar hiasan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami berat badan berlebihan. (GAMBAR: AFP PHOTO/Stephen SHAVER)

KUALA LUMPUR: Anak obes atau gemuk keterlaluan semasa kecil rasanya tidaklah menimbulkan sebarang masalah buat ibu bapa. Mungkin apabila sudah besar, akan susutlah berat badannya.

Mungkin itulah andaian sesetengah ibu bapa yang tidak terlalu mengambil berat tentang pemakanan anak mereka kerana berfikiran bahawa apabila sudah besar kelak dan semakin lasak, berat badannya akan kembali normal.

Namun, jangan terkejut kalau anak berlebihan berat berat dan susah untuk turunkan berat badan. Bahkan, ia mungkin sudah agak terlambat untuk mengawalnya.

Berat berlebihan bukan sahaja membuat pergerakan anak lebih perlahan, lebih merisaukan, ia boleh membantutkan fungsi otaknya, lapor majalah Mingguan Wanita.

Maka itu, apa yang disarankan oleh Dr Mazliana Mazlan dapat membantu ibu bapa untuk mengurangkan berat badan anak dan mengelakkan anak daripada obesiti.

Apabila berat badan bertambah lebih daripada paras normal, tisu otak anak akan makin mengecut.

Dopamin merupakan hormon yang mainkan peranan untuk mengawal fungsi dan aktiviti otak. Dopamin yang cukup sangat penting untuk kesihatan fizikal dan mental seorang anak.

Hormon itu akan rendah apabila berat badan anak berlebihan, kata Dr Mazliana. Otak tidak dapat menjalankan fungsi dengan baik dan aktiviti otak akan menurun.

Kawalan pergerakan anak juga memerlukan bantuan dopamin.

"Boleh bayangkan kalau dopamin rendah, 'signal' lambat sampai, aktiviti anak akan jadi makin perlahan," kata Dr Mazliana.

"Hormon dopamin kalau rendah, boleh juga tingkatkan risiko kemurungan pada anak. Buat anak susah nak tidur pun ya juga.

"Sebab tu penting sangat kita jaga berat badan anak. Biar 'ideal'. Tidak mahu terlebih atau obes. Nanti akan bantutkan fungsi otak anak kita yang baru mahu berkembang," ujar beliau dalam satu catatan Facebook yang ditukil oleh Mingguan Wanita.

Menurut beliau, terdapat dua "kawan baik" yang membawa kepada keadaan obesiti.

1. Karbohidrat

Contoh makanan seperti gula, roti, nasi, kuih, kek, makanan bertepung.

Tidak mengira sama ada gandum mahupun bebas gluten, ada yang masih tinggi dengan karbohidrat contohnya tepung beras dan tepung kentang.

"Kurangkan sebanyak mungkin daripada anak yang kelebihan berat badan. Ini yang akan buat badan anak makin menaik. Nasi, bagi jumlah yang anak perlu sahaja, bukan selagi dia tidak kenyang, kita biar anak makan. Bukan begitu," nasihat Dr Mazliana.

2. Makanan Ultra Proses

"Paling perlu kita elakkan daripada anak yang obes sebab makanan seperti ini mempunyai bahan ramuannya bukan dalam kawalan kita," tegas Dr Mazliana.

Biskut, roti, nugget, cokelat, bijiran sarapan atau cereal dan banyak lagi.

Menurut Dr Mazliana, kebanyakan makanan ultra proses adalah yang dibungkus dalam dalam pek, plastik atau tin dan disimpan pada suhu bilik hingga boleh bertahan selama dua hingga tahun tahun.

"Gula tinggi, transfat, pemanis tiruan seperti High Fructose Corn Syrup (HFCS), ini yang buat anak ketagih mahu makan selalu dan buatkan dia susah nak dapat berat badan 'ideal'," terang beliau.

Dr Mazliana menggalak ibu bapa untuk cuba mengamalkan pantang dengan mengurangkan dua bahan makanan di atas selama mungkin dua minggu untuk menyaksikan sendiri kesannya ke atas berat badan anak mereka.

Sumber : Sumber Web/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan