Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

NUANSA: Budaya orang Melayu kahwin bulan Zulhijjah & budaya ‘malam pertama’ dulu-dulu

SALINA, siapa yang tidak ingat namanya. Dan nama itu menjadi masyhur sekali. Orang mengenang kerana ‘profesyennya’, seperti yang dibentangkan oleh A.Samad Said dalam kanun sasteranya dengan judul Salina. 

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Budaya orang Melayu kahwin bulan Zulhijjah & budaya ‘malam pertama’ dulu-dulu

Gambar hiasan majlis perkahwinan. (Gambar: Ted Wilkins/jalankayutrail.blogspot.com)

SALINA, siapa yang tidak ingat namanya. Dan nama itu menjadi masyhur sekali. Orang mengenang kerana ‘profesyennya’, seperti yang dibentangkan oleh A.Samad Said dalam kanun sasteranya dengan judul Salina. Akan tetapi saya cuba ingin melupakan gerhana nasib Salina, atau yang saya kenali sebagai Mak Ina.

Dia masih jelita. Meskipun usianya sudah melampaui 80 tahun, dia masih tampak cantik. Paling tidak sisa keayuan yang menjadi kegilaan Abdul Fakar masih boleh dielus. Tutur katanya pun kekal lembut dan serasa menggaru jiwa.

Kali akhir sekali saya menemui beliau sebelum Mak Ina meninggal dunia, saya dapat mencatat pelbagai kisah. Penting sekali saya menemubual seberapa ramai Melayu Singapura yang pernah hidup di tahun-tahun 1940an sehingga 1960an, yakni selepas Perang Dunia Kedua.

Tentu sekali dalam pertemuan saya dengan Mak Ina, saya tidak bertanyakan mengenai Abdul Fakar. Tambahan pula Mak Ina tidak berkahwin dengan Fakar, dan tentu saya tidak mahu menyinggung perasaan pak cik Helmy yang membawakan saya bertemu dengan beliau. Juga, saya tidak pernah menceritakan kepada orang perihal perjumpaan saya dengan Salina yang sohor itu.

Terdapat banyak aspek yang perlu saya rakamkan daripada Mak Ina. Seboleh-bolehnya saya ingin menjauhi kisah lara beliau. Saya malah sama sekali tidak mahu menyentuh mengenainya.

Kulit novel Salina tulisan A. Samad Said. (Gambar: laman Goodreads)

Kulit novel Salina tulisan A. Samad Said. (Gambar: laman Goodreads)

Hari ini, apabila saya menatap kembali buku catatan perbualan saya dengan Mak Ina, saya sedar satu hal yang boleh saya kongsikan dengan pembaca. Hal-hal tentang Mak Ina yang tidak cabul tentunya.

Mak Ina berkahwin dalam bulan Zulhijjah. Malah menurut Mak Ina, memang kebiasaan dulu-dulu orang berkahwin dalam bulan ini. Maka oleh keterujaan menyambut Hari Raya Korban, apa yang dilakukan oleh orang Melayu Singapura pada bulan Zulhijjah itu ingin saya rekodkan di sini.

Mak Ina berkahwin. Benar. Tidak ramai yang tahu apa yang sebetulnya berlaku kepada Salina. Saya sungguh tidak mahu menyinggung hal Abdul Fakar. Itu sejarah silam Salina yang jangan kita ungkit. Pun, dalam satu perbualan antara saya dengan Mak Ina, dia dengan sendirinya menceritakan kisah perkahwinan itu.

Kata Mak Ina, ia berlangsung pada bulan Zulhijjah tahun 1949. Sebagai pengkaji yang tidak ingin percaya bulat-bulat apa yang saya kutip di lapangan, saya segera melakukan rujuk silang. Apa yang saya dapati mengesahkan apa yang dikisahkan oleh Mak Ina.

Kulit novel Salina tulisan A. Samad Said. (Gambar: Facebook/A. Samad Said)

Kulit novel Salina tulisan A. Samad Said. (Gambar: Facebook/A. Samad Said)

Kajian lapangan Judith Djamour mengetengahkan kehidupan harian orang Melayu Singapura antara tahun 1949-1950 seperti yang beliau tuliskan dalam laporan bertajuk ‘The Family Structure of the Singapore Malaysia’. Ia kemudian diterbitkan sebagai buku dengan judul ‘Malay Kinship and Marriage in Singapore’. Demikian penting kajian itu, ia kemudian diterjemah dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia pada tahun 1979.

Kata Mak Ina, dia kahwin sebagai anak dara. Tentu, saya tidak ingin mencabar apa yang beliau katakan. Jika Mak Ina mengakui dirinya masih dara ketika berkahwin, maka saya menerima seadanya. Bukan jenis saya mempertikaikan hal-hal sedemikian.

Mak Ina mengatakan begini, berdasarkan rakaman sembang saya dan dia; ‘Aku berkahwin dengan Pak Cik kau itu dengan penuh warna-warni sekali. Aku berkahwin sebagai seorang anak dara. Mahar aku dalam 20 dolar. Busuk-busuk majlis nikah dan kahwin aku itu sampai 500 dolar.’

Gambar hiasan runah-rumah kampung. (Gambar: Ted Wilkins/jalankayutrail.blogspot.com)

Gambar hiasan runah-rumah kampung. (Gambar: Ted Wilkins/jalankayutrail.blogspot.com)

Mak Ina diam, hening dan kemudian memandang saya; ‘Kenapa? Kau tidak percaya?’

Bak kata saya tadi, bukan cara saya mempersoalkan cerita Mak Ina itu, samada dia berjujur atau dia mendongeng bukanlah sangat urusan saya.

Sebetulnya, dalam hal perkahwinan, apa yang Judith catatkan sebagai seorang antropologis sangat sejajar dengan apa yang Mak Salina telah perihalkan. Belanja perkahwinan seorang anak dara adalah di bawah tanggungan pengantin lelaki dan ibu-bapanya.

Kos belanja kahwin tatkala itu adalah antara 101 sehingga 301 dolar. Ia dimulai dengan pemberian kepada pengantin perempuan ketika tempoh bertunang yang merangkumi antara 15 sehingga 50 dolar. Mahar biasanya ditetapkan dan berjumlah 22.50 dolar yang biasanya pembayaran itu ditangguhkan. Ibu bapa pengantin perempuan juga perlu memastikan antara lain, katil pengantin yang belanjanya antara 25 sehingga 40 dolar. Pelamin untuk duduk bersanding pula mencapai sehingga 30 dolar.

Manakala kenduri untuk jemputan memakan sehingga 300 dolar. Belum lagi pakaian pengantin perempuan yang boleh mencecah angka 60 dolar. Jika berkemampuan dan inginkan kemeriahan, yakni majlis itu disertakan dengan muzik dan tarian, kos kumpulan ronggeng naik memuncak sehingga 50 dolar. Paling penting ialah pemberian untuk kadi boleh berbeza-beza harganya tetapi sekitar 15 ke 30 dolar.

Kata Mak Ina, majlisnya memang gempar dengan tari-menari pada waktu itu.

Di pihak lelaki, kos kendurinya mungkin sampai 60 dolar. Sementara majlis keraian apabila pengantin lelaki meraikan rombongan pengantin perempuan, seputar 20 ke 40 dolar. Busana lengkap pakaian pengantin adalah antara 15 ke 40 dolar (lihat halaman 108).

Cerita Mak Ina, dia menukar lima persalinan baju ketika majlis persandingannya. Iaitu gaya Barat, gaya India, menyarung pakaian gadis Cina, fesyen Arab dan terakhir, barulah baju Melayu lengkap. Siap dengan sanggul dan sekian hiasan.

“Apa barangan yang dibawa oleh hadirin?” Tanya saya dengan teruja. Ini perkahwinan pada tahun 1949, makanya tentu ada kelainan dan perbezaan yang menarik untuk saya tuliskan.

“Wang, dan biasanya beras atau telur.” Ujar Mak Ina, semacam menghimbau apa yang berlaku puluh tahun lalu. Betul-betul, senyumnya masih manis meski dia sudah dimamah usia.

Gambar hiasan orang-orang kampung. (Gambar: Ted Wilkins/jalankayutrail.blogspot.com)

Gambar hiasan orang-orang kampung. (Gambar: Ted Wilkins/jalankayutrail.blogspot.com)

Saya pernah membaca Judith menyentuh darihal sama. Para tetamu akan membawa pelbagai hadiah. Jika wang tunai, biasanya yang dihulurkan adalah lingkungan 10 ke 30 dolar. Kadang-kala pemberian itu dalam bentuk kain ela, beberapa kati beras, gula atau tepung. Paling sedikit wang diberikan ialah 2 dolar (lihat halaman 109).

Saya bertanya lagi kepada Mak Ina, “Sebaik sahaja majlis, apa yang pengantin perempuan lakukan?”

Ketawa Mak Ina ketawa ingkak.

“Hampir tidak melakukan apa-apa kerana kepenatan.” Dia menekankan ‘tidak melakukan apa-apa’ dengan senyum terkulum. Saya sedikit segan, menutup sebahagian muka dek malu.

“Tidak ada istilah malam pertama dalam budaya kahwin Melayu Singapura dahulu-dahulu. Silap-silap malam sepuluh!” Jelas Mak Ina seraya terus menghilai halus tertawa.
Dalam catatan saya, apabila dilakukan rujuk silang kembali dengan kajian Judith Djamour, memang ada ditekankan aspek perbezaan ini. Menurut Judith, saya kutip dari terjemahan buku beliau itu:

‘Persetubuhan biasanya, dilakukan dalam tempoh sepuluh hari selepas bersanding. Mengikut tradisi pengantin perempuan akan pura-pura menentang manakala pengantin lelaki pula tidak menggunakan kekerasan fizikal untuk memujuk isterinya supaya menyerah. Ibu pengantin perempuan akan mendapat malu yang besar jika sekiranya gadis tersebut terlalu sudi untuk menyerah, yang mana, ini menunjukkan bahawa gadis tersebut dididik dengan cara yang tidak baik dan kurang sopan. Biasanya orang perempuan akan membangga-banggakan lamanya tempoh dia atau anak-anak gadisnya menolak pujukan suaminya.

Setelah tempoh sepuluh hari berlalu setengah-setengah ibu-bapa keluar dengan meninggalkan pasangan tersebut di rumah. Walau bagaimanapun, kadang-kadang terdapat penentangan yang sungguh-sungguh oleh pengantin perempuan dengan meneruskan perkahwinan tersebut tanpa melakukan persetubuhan yang kemudiannya berakhir dengan perceraian.

Ini adalah cara tradisi bila seseorang gadis tidak bersetuju perkahwinan yang diatur oleh ibu-bapanya. Kebanyakan pengantin perempuan yang masih muda masih keras hati dan ubat guna-guna kekerasan fizikal oleh ibu-bapanya atau nasihat tidak berjaya untuk memujuknya.

Oleh kerana itu, pengantin lelaki berhak mendapat ganti rugi daripada ibu bapa si gadis yang mesti mengembalikan kepadanya dua kali ganda dari jumlah belanja kahwin yang telah diberikannya’ (Halaman 103-104).

Mak Ina menceritakan bagaimana ada seorang temannya Pinkie, yang katanya tidak rela dikahwin paksa lalu membuat protes enggan tidur dengan suaminya. Sampai ke sudah dia tidak disentuh dan dicerai dalam keadaan masih suci. Makanya Pinkie menjadi janda berhias. Seperti mana yang kita semua tahu, Pinkie akhirnya berkahwin dengan Muhairi Tirus dan kemudian berpindah ke Teluk Melano, Sarawak bersama suaminya itu.

Gambar hiasan majlis perkahwinan. (Gambar: Ted Wilkins/jalankayutrail.blogspot.com)

Gambar hiasan majlis perkahwinan. (Gambar: Ted Wilkins/jalankayutrail.blogspot.com)

Mak Ina mengatakan, perkahwinannya tergolong sebagai majlis yang riuh dan pestaan kerana diadakan selama tiga hari tiga malam. Judith ikut menghuraikan perkara sama. Jadi saya tahu, Salina atau Mak Ina tidak berbohong. Tulis Judith;

‘Majlis perkahwinan anak dara biasanya diadakan selama dua atau tiga hari, manakala bagi janda hanya diadakan pada pagi atau petangnya sahaja. Selepas akad nikah jamuan secara kecil-kecilan dihidangkan pada tetamu yang datang. Seperti juga perkahwinan anak dara, pengantin lelaki akan tinggal di rumah pengantin perempuan selama beberapa hari selepas perkahwinan tersebut. Persetubuhan biasanya dilakukan sehari atau dua hari selepas upacara akad nikah; tidaklah perlu bagi seorang janda pura-pura menentang walaupun kadang-kadang ada juga hal ini berlaku.’ (Halaman 106).

Apa yang dilipur oleh Mak Ina itu merupakan episod budaya yang sangat mustahak untuk ditampilkan semula buat generasi hari ini. Menurut Mak Ina lagi, bukanlah satu budaya atau kelaziman anak-anak Melayu melakukan hubungan di luar nikah pada era 1940an dan 1950an.

“Begitu sekali kami menjaga adat dan kesopanan sebagai orang Melayu. Ya, walaupun kami ini Melayu Singapura.”

Memang, hati saya dicakar-cakar serasa ingin sekali bertanya mengenai Abdul Fakar. Saya memang berhasrat bertanya, betapa apakah benar yang dia pernah punya sisi gelap. Saya ingin juga menyoal tentang latar Kampung Kambing. Ini kerana saya - atau kita semua - sangat terpengaruh dengan Salina tulisan A.Samad Said.

Akan tetapi, saat saya berdepan dengan Mak Ina, lidah saya kelu. Memang pula resam Melayu tak akan bertanyakan kepada orang-orang tua hal-hal cabul begitu.

Maka saya bungkam. Mak Ina terus-terusan menceritakan kisah indah hayat hidupnya. Saya memilih untuk percaya dan tidak skeptikal. Buat pembaca, kalau saya tidak percaya kejujuran Salina atau Mak Ina, saya tidak akan memilih catatan kecil ini untuk dibaca oleh anda.


(Artikel ini disumbangkan secara eksklusif kepada BERITAmediacorp oleh Dr Faizal Musa)


Rujukan

Judith Djamour. 1979. Kekeluargaan dan Perkahwinan Orang Melayu Singapura. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan