Nira kurma sajian terbaru penuhi citarasa sempena Ramadan
Selain pokok kelapa, nipah atau tar, tidak ramai yang mengetahui pokok kurma juga boleh menghasilkan nira jika kena dengan caranya.

Mohd Zain Mohamed menarah pokok kurma untuk membuat alur bagi mengeluarkan cecair yang dipanggil air nira kurma di Kampung Teras, Binjai. (Gambar: BERNAMA)
KOTA BHARU: Selain pokok kelapa, nipah atau tar, tidak ramai yang mengetahui pokok kurma juga boleh menghasilkan nira jika kena dengan caranya.
Seorang pengusaha dari Kampung Teras di Binjai Kota Bharu, Kelantan, Mohd Zain Mohamed, 59 tahun, percubaan beliau menghasilkan nira kurma sejak dua tahun lalu kini sudah menunjukkan hasil apabila orang ramai mula meminatinya disebabkan rasanya yang mempunyai kelainan dan lebih sedap daripada nira kelapa.
"Saya pada mulanya menanam 50 pokok kurma sekadar sebagai hobi dan dijual di Kampung Teras. Ada pekerja saya yang berasal dari Bangladesh memberitahu pokok kurma juga boleh menghasilkan air nira untuk diminum dan pada masa itulah timbul idea untuk mencubanya.
"Kini, dalam sehari, sebatang pokok kurma saya boleh menghasilkan kira-kira dua liter nira dan kadangkala jumlahnya boleh menjadi banyak mengikut cuaca. Setiap kali tuaian, dianggarkan antara 30 hingga 40 liter dapat dihasilkan," kata Encik Mohd Zain.
Setiap hari, Encik Mohd Zain mampu menuai hasil sebanyak tiga kali dengan memulakan tuaian pertama pada pukul 3.00 pagi, kemudian jam 9.00 pagi dan seterusnya 5.00 petang.
“Dulunya jumlah nira yang dihasilkan agak kurang namun, dengan jumlah pokok yang semakin banyak… Insya Allah bekalan pada Ramadan ini mencukupi untuk peminat nira atau tuak kurma ini," ujar beliau.
Setiap 250 mililiter nira kurma biasanya akan dijual dengan harga RM20 (S$6.50) berbanding RM5 (S$1.60) bagi nira kelapa atau nipah disebabkan cara penghasilannya yang agak rumit serta terhad.
Menurut EncikMohd Zain, walaupun nira kurma masih baru, ia sudah menerima permintaan daripada orang ramai yang ingin mencuba.
“Saya cuba buat ketika awal Ramadan lepas dan masih mencari kaedah terbaik untuk mendapatkan kuantiti nira yang banyak, jadi terpaksa menolak setiap permintaan,” katanya yang turut menghasilkan cuka serta manisan daripada nira.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.