Nintendo tubuh syarikat di SG, rancang buka satu lagi di Thailand tidak lama lagi
Dalam satu notis di lamannya pada Selasa (30 Sep), syarikat permainan video Jepun yang terkenal, Nintendo, mengumumkan bahawa pihaknya sudah menubuhkan sebuah entiti yang berpusat di Singapura.
Logo Nintendo kelihatan di Nashville, pada 5 Jun 2025. (Gambar: AP/George Walker IV)
Ditubuhkan dengan "tujuan untuk memajukan perniagaan Nintendo di Asia Tenggara," entiti Nintendo Singapore Pte Ltd mempunyai modal saham sebanyak S$8 juta dan diketuai oleh Takahiro Miura, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Nintendo Korea.
Menurut notis itu, Nintendo juga menyasarkan untuk membuka sebuah entiti di Thailand tidak lama lagi.
Tahun 2025 setakat ini merupakan tahun yang gemilang bagi Nintendo, dengan konsol baharunya – Nintendo Switch 2 – mendominasi jualan. Lebih daripada 3.5 juta unit Switch 2 sudah dijual dalam empat hari pertama selepas pelancarannya, menjadikannya peranti permainan syarikat yang paling pantas dijual setakat ini.
Syarikat itu juga menjangkakan untuk menjual 15 juta unit Switch 2 dalam tahun kewangan berakhir Mac 2026.
Di arena perfileman, Nintendo akan terus bekerjasama dengan studio Amerika, Illumination, untuk filem akan datang Super Mario Galaxy Movie – yang tayangan dijadualkan pada April 2026.
Sekuel kepada The Super Mario Bros Movie 2023 – filem pertama berdasarkan permainan video yang mengaut kutipan lebih AS$1 bilion (S$1.30 bilion) – The Super Mario Galaxy Movie akan menampilkan semula Chris Pratt, Anya Taylor-Joy, dan Charlie Day sebagai Mario, Puteri Peach, dan Luigi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.