Netflix pilihan utama penonton Britain; persaingan dalam kalangan platform penstriman semakin sengit
Netflix mengatasi BBC sebagai pilihan utama rakyat Britain apabila memilih rancangan untuk ditonton di televisyen, menurut pengawal selia media Ofcom pada Rabu (29 Jul).
Logo Netflix pada salah satu bangunannya di kawasan Hollywood, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, pada 2 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Mike Blake)
Sebanyak 26 peratus penonton memilih platform penstriman Amerika Syarikat itu terlebih dahulu, berbanding 25 peratus yang memilih BBC.
Menurut dapatan Ofcom, ITV menjadi pilihan pertama bagi 15 peratus penonton, sekali gus menggambarkan persaingan yang semakin sengit daripada platform-platform penstriman dan video online.
Jumlah tontonan bagi perkhidmatan penstriman milik penyiar seperti BBC iPlayer, ITVX, Channel 4 Streaming dan 5 meningkat sembilan peratus berbanding tahun lalu, menjadikannya kategori perkhidmatan televisyen yang mencatat pertumbuhan paling pesat.
Perkhidmatan penstriman berbayar pula tersedia bagi sekitar 70 peratus isi rumah di Britain. Menurut Ofcom, angka itu kini sebahagian besarnya mendatar selepas mencatat pertumbuhan pesat ketika pandemik COVID-19.
Sekitar 70 peratus penduduk Britain menonton kandungan daripada penyiar tradisional sekurang-kurangnya selama 15 minit seminggu pada 2025.
Jumlah itu merosot daripada 73 peratus pada 2024 dan 78 peratus pada 2022.
Acara siaran langsung utama terus menarik jumlah penonton yang tinggi.
Kekalahan England kepada Argentina pada peringkat separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 pada 15 Julai lalu mencatat jumlah penonton tertinggi, sebanyak 24 juta menerusi platform BBC.
Purata tontonan harian YouTube melalui televisyen pula meningkat dua kali ganda kepada 19 minit bagi setiap individu pada 2025, berbanding sembilan minit pada 2022.
Secara keseluruhannya, jumlah tontonan YouTube merentasi semua peranti meningkat kepada 41 minit sehari, berbanding 33 minit pada 2022.
Dalam kalangan mereka yang berusia 75 tahun dan ke atas, capaian mingguan YouTube meningkat kepada 33 peratus pada 2025 berbanding 28 peratus pada 2022.
Menurut Ofcom, trend itu menunjukkan bahawa semakin ramai warga emas menggunakan platform berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.