Netflix lancar permainan telefon bijak bagi pengguna sedunia
Netflix pada Selasa (2 Nov) menerbitkan satu set permainan mudah alih yang boleh dimainkan secara percuma oleh pelanggan khidmat penstriman global itu sedang ia berusaha untuk menjadi pusat sehenti bagi hiburan.
SAN FRANCISCO: Netflix pada Selasa (2 Nov) menerbitkan satu set permainan mudah alih yang boleh dimainkan secara percuma oleh pelanggan khidmat penstriman global itu sedang ia berusaha untuk menjadi pusat sehenti bagi hiburan.
Dua daripada permainan itu adalah berdasarkan siri seram Netflix "Stranger Things" dan lagi tiga adalah permainan kad atau kemahiran asas, menurut syarikat yang berpangkalan di Silicon Valley itu.
"Kami teruja untuk mengambil langkah pertama kami dalam melancarkan permainan Netflix bagi peranti mudah alih ke seluruh dunia," umum syarikat itu dalam satu kenyataan.
"Kami mahu mula membina koleksi permainan yang menawarkan sesuatu untuk semua orang."
Permainan yang dilancarkan seantero dunia pada Selasa kini boleh dinikmati di Itali, Poland dan Sepanyol.
Semua tajuk disesuaikan untuk dimainkan pada telefon bijak atau tablet Android dan boleh diakses melalui akaun Netflix.
Bagaimanapun tidak didedahkan sama ada versi permainan itu akan disediakan untuk iPhone atau iPad, yang dipacu perisian Apple.
Netflix baru-baru ini memperoleh studio permainan video pertamanya, sedang gergasi penstriman itu berusaha untuk mengembangkan empayar hiburannya dengan menceburi sektor permainan yang lumayan.
Syarikat itu menyatakan ia membeli Studio Night School yang berpangkalan di California, yang paling terkenal sebagai pencipta permainan 'thriller' paranormal, Oxenfree.
Netflix sebelum ini menyatakan hasratnya untuk menceburi permainan video pada Julai, menyasarkan potensi 'hit' berdasarkan jalan cerita siri televisyen popular.
Ia secara terbuka menyatakan tujuannya untuk bersaing dengan permainan popular seperti Fortnite untuk merebut masa hiburan online orang ramai dan penganalisis berpendapat bahawa langkah menawarkan permainan boleh membantu menarik pelanggan baru.
Pasaran permainan global kini melebihi AS$300 bilion (S$404 bilion), menurut kajian tahun ini oleh firma perunding Accenture.
Netflix juga sudah merekrut veteran permainan video, Mike Verdu dari Facebook, untuk memimpin pasukan permainannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.