Skip to main content

Gaya Hidup

NDP 2026: 8 lokasi percuma saksikan pertunjukan bunga api

Anggaran Waktu Membaca:
NDP 2026: 8 lokasi percuma saksikan pertunjukan bunga api

Pertunjukan bunga api utama sempena Hari Kebangsaan Singapura 2026 akan dilancarkan dari pentas terapung di Kallang Basin, bersebelahan Stadium Negara. (Gambar: NDP 2026)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 11:54AM
SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) kembali ke Stadium Negara tahun ini dengan tema 'Majulah Singapura, Go Beyond!'.

Tidak seperti tahun lalu apabila pertunjukan bunga api diadakan di Marina Bay, bunga api utama tahun ini akan dilancarkan dari pentas terapung di Kallang Basin, bersebelahan Stadium Negara.

Berdasarkan raptai dan pratonton NDP baru-baru ini, pertunjukan bunga api berskala kecil biasanya bermula sekitar 7.30 malam, manakala pertunjukan utama dijangka berlangsung sekitar 8.10 malam.

Bagi mereka yang tidak mempunyai tiket NDP, berikut lapan lokasi yang boleh dikunjungi untuk menyaksikan pertunjukan bunga api secara percuma.

1. 'LOOKOUT DECK' DI KALLANG BASIN

Antara lokasi paling popular semasa latihan NDP baru-baru ini ialah dek tinjau di sepanjang Kallang Basin.

Lokasi itu menawarkan pemandangan terbuka menghadap Stadium Negara.

Kawasan lapangnya juga sesuai untuk berkelah, meskipun pemandangan di sesetengah bahagian mungkin terlindung oleh pokok.

MRT terdekat: Nicoll Highway (CC5), Pintu Keluar B, diikuti dengan berjalan kaki.

Pengunjung disarankan datang awal kerana lokasi tersebut antara yang paling sesak semasa raptai NDP.

2. TAMAN KALLANG RIVERSIDE

Taman Kallang Riverside terletak jauh ke hulu di mana Sungai Kallang dan Sungai Rochor bertemu.

Ia menawarkan pemandangan luas merentasi kawasan perairan ke arah Stadium Negara dan latar langit bandar.

Terdapat juga tandas awam dan kawasan berumput yang sesuai untuk berkelah.

MRT terdekat: Lavender (EW11), sekitar lima hingga lapan minit berjalan kaki; Kallang (EW10), sekitar 10 minit; atau Stadium (CC6) dan Nicoll Highway (CC5), sekitar 15 minit.

Lokasi ini popular dalam kalangan keluarga, maka orang ramai boleh menjangkakan kawasan tersebut sesak sebelum matahari terbenam.
Related article image
Pemandangan pertunjukan bunga api semasa latihan NDP dari Kallang Riverside Park. (Gambar: CNA/Izza Haziqah)
3. PERSIARAN TANJONG RHU

Persiaran Tanjong Rhu (Tanjong Rhu Promenade) menawarkan kawasan persiaran tepi laut yang panjang menghadap Kallang Basin.

Menara tinjau berhampiran stesen MRT Tanjong Rhu menyediakan antara lokasi awam yang lebih tinggi untuk menyaksikan pertunjukan bunga api.

MRT terdekat: Tanjong Rhu (TE23), Pintu Keluar 2.

Menara tinjau tersebut dijangka dipenuhi pengunjung, maka orang ramai disarankan datang lebih awal.

4. LALUAN STADIUM RIVERSIDE

Laluan ini, yang juga dikenali sebagai Laluan Pejalan Kaki Kallang Wave (Kallang Wave Walkway), terletak di luar Kallang Wave Mall.

Ia mungkin lebih dikenali sebagai lokasi tidak rasmi "Cat 99" ketika konsert besar seperti Taylor Swift dan Coldplay.

Lokasi tersebut menawarkan antara pemandangan awam paling dekat dengan Stadium Negara dan pertunjukan bunga api NDP.

MRT terdekat: Stadium (CC6).

Ruang di sepanjang pagar biasanya cepat dipenuhi pengunjung.

5. PUSAT SUKAN AIR

Bagi mereka yang mahukan pemandangan dari kedudukan yang lebih tinggi, Tingkat 2 Pusat Sukan Air di Lembangan Kallang (Kallang Basin) merupakan satu lagi pilihan.

Lokasi itu menawarkan pemandangan menghadap kawasan pertunjukan bunga api dan mungkin kurang sesak berbanding persiaran di bawahnya.

MRT terdekat: Stadium (CC6).
Related article image
Pusat Sukan Air di The Kallang merupakan antara lokasi untuk menyaksikan pertunjukan bunga api NDP dari kedudukan lebih tinggi. (Gambar: The Kallang)
6. GOLDEN MILE COMPLEX

Golden Mile Complex menawarkan pemandangan dari kedudukan lebih tinggi menghadap Kallang Basin.

Meskipun lokasinya lebih jauh daripada kawasan pertunjukan, pengunjung masih boleh menyaksikan sebahagian bunga api di sebalik latar langit bandar.

MRT terdekat: Nicoll Highway (CC5).

7. KALLANG LAWN BOWL

Terletak di belakang Stadium Negara, Kallang Lawn Bowl boleh menjadi pilihan bagi mereka yang mahu mengelakkan kawasan tepi laut yang lebih sesak.

Namun, sebahagian pemandangan bunga api mungkin terlindung oleh Stadium Negara.

MRT terdekat: Stadium (CC6), sekitar 11 minit berjalan kaki, atau Mountbatten (CC7), sekitar 13 minit.

8. BLOK HDB TERPILIH

Beberapa estet perumahan awam di sekitar Kallang dan Bendemeer turut menawarkan pemandangan pertunjukan bunga api dari taman atas bumbung dan teres tinggi.

Antara lokasi yang dikongsi penduduk di ruang online ialah:

• Blok 10 Bendemeer Light – taman atas bumbung di Tingkat 8
• Blok 26B St George's Towers – teres di Tingkat 24
• Tempat letak kereta bertingkat Blok 5 Kallang Heights

MRT terdekat: Bendemeer (DT23), Boon Keng (NE9) atau Kallang (EW10), bergantung pada lokasi.

Memandangkan lokasi-lokasi tersebut merupakan kawasan kediaman, pengunjung diingatkan supaya tidak membuat bising, membersihkan sampah dan bertimbang rasa terhadap penduduk.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita