Nama kuih ‘Barang Dalam Kain’ mungkin diterjemah dengan maksud tidak baik
Segelintir peniaga makanan baru-baru ini memberi jolokan 'barang dalam kain' kepada kuih putu halba atau putu piring semata-mata untuk menarik lebih ramai pelanggan dan melariskan penjualan.
Peniaga beri jolokan 'Barang Dalam Kain' bagi putu halba. (Gambar fail: fieyz.___/Instagram)
KOTA BHARU: Segelintir peniaga makanan baru-baru ini memberi jolokan 'barang dalam kain' kepada kuih putu halba semata-mata untuk menarik lebih ramai pelanggan dan melariskan penjualan.
Tindakan sesetengah pihak inilah yang mendorong mufti tempatan untuk menegur mereka. Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad turut menasihati peniaga makanan negeri ini supaya lebih berhati-hati dalam memberikan nama jolokan kepada produk semata-mata untuk meraih perhatian pelanggan.
Mohamad Shukri berkata walaupun ia tidak bercanggah dengan hukum agama tetapi ia boleh mengundang persepsi negatif dan tidak menggambarkan akhlak orang Islam yang sepatutnya.
(Gambar: nadiahzainalabidin/Instagram)
“Memang dari segi hukum ia tidaklah sampai kepada haram tetapi penggunaan nama jolokan dengan perkataan yang kurang manis itu menampakkan kita tidak berakhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan segelintir peniaga yang menggunakan jolokan ‘barang dalam kain’ kepada kuih putu halba yang menjadi tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu.
Katanya pemilihan nama yang baik dituntut dalam Islam seperti mana pemilihan nama bagi seseorang individu.
“Banyak lagi nama jolokan yang baik boleh digunakan untuk kuih tersebut. Pemilihan nama kuih dengan jolokan ‘barang dalam kain’ itu berkemungkinan akan diterjemah dengan maksud yang tidak baik,” katanya.
Beliau menambah, peniaga perlu mengambil berat berhubung perkara tersebut kerana dibimbangi ia akan menjadi ikutan orang lain selain boleh memberi gambaran tidak baik kepada para peniaga tempatan.
Kuih putu halba sudah lama terkenal di Kelantan, sinonim sebagai makanan pilihan di musim tengkujuh dan biasanya dijual di gerai-gerai tepi jalan.
Bagaimanapun kuih tersebut mendapat lebih perhatian selepas diberi jolokan kuih 'barang dalam kain' kerana untuk memasak putu halba, ia dimasukkan di dalam kain dan diwapkan sehingga masak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.