Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Nak adakan rumah terbuka Hari Raya? Pastikan buat persiapan awal...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah dua tahun tidak dapat kunjung mengunjung secara berkumpulan, tahun ini pasti ramai yang ghairah dan tidak sabar untuk bertandang ke rumah saudara-mara dan teman-teman untuk meraikan lebaran bersama.

Jika anda sudah tetapkan tarikh untuk mengadakan rumah terbuka, bolehlah senaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan. Antaranya, tetapkan bilangan tetamu yang ingin diundang, makanan dan minuman yang ingin disajikan dan sebagainya.

Tidak kira sama ada ingin masak sendiri atau membuat tempahan katering, yang penting elakkan daripada membuat persiapan di saat-saat akhir. Untuk memudahkan persiapan dan melancarkan rumah terbuka anda, ikuti panduan-panduan berikut.

8 TIP SEBELUM SAMBUT TETAMU

1. PERUNTUKKAN MENCUKUPI


Sebelum memikirkan tentang menu yang ingin dihidangkan di rumah terbuka anda, penting untuk peruntukkan jumlah wang yang akan dibelanjakan. Ini merangkumi kos makanan, duit raya, aksesori seperti pinggan, sudu dan garfu pakai buang, peralatan penyediaan makanan yang lain dan sebagainya. Jika ingin dapatkan khidmat katering, maka peruntukkannya pun haruslah lebih sedikit.

Mengikut kemampuan masing-masing, jumlah wang yang ditetapkan juga bergantung kepada jumlah tetamu yang akan diundang. Bagi yang ingin berjimat, anda boleh masak sendiri sajian dan lauk pauk untuk tetamu yang hadir. Tapi, pastikan ada yang membantu di dapur.

2. MENU TERATUR

Memilih menu adalah perkara yang paling memeningkan. Tidak kira sama ada ingin masak sendiri atau mengambil khidmat katering, kedua-duanya perlukan perancangan awal.

Tak perlu untuk berbelanja keterlaluan untuk menyiapkan hidangan dari hujung ke hujung meja.Jadilah tuan rumah yang bijak.

Food unsplash
(Gambar: Unsplash)

Contohnya, anda boleh memasak nasi ayam, nasi beriani atau nasi tomato sebagai sajian utama. Kemudian sajikan kuih-muih serta kek sebagai pencuci mulut.

Untuk minuman, cukuplah dengan pilihan air seperti manisan sejuk dan air panas seperti teh atau kopi. Jangan lupa juga untuk siapkan air putih.

3. BILANGAN TETAMU

Senaraikan tetamu yang akan diundang. Anda boleh bahagikan tetamu kepada dua kumpulan dengan waktu yang berbeza – tengahari dan petang. Dengan demikian, suasana rumah tidak akan terlalu sesak dalam satu masa.

Jika terdapat terlalu ramai tetamu yang datang serentak, ada kalanya tuan rumah tidak dapat melayan mereka dengan sepenuhnya dan sukar untuk berbual mesra antara satu sama lain.

Penting untuk memastikan setiap tetamu mendapat layanan yang adil dan menikmati hidangan yang disediakan. Tidak seronok kalau tetamu dibiarkan begitu saja untuk melayan diri sendiri.

4. WAKTU UNDANGAN

Tetapkan masa tertentu. Elakkan daripada mengundang terlalu ramai tetamu pada satu-satu masa yang sama.

Sebaliknya aturkan waktu undangan secara berperingkat selang beberapa jam.

Contohnya, dari pukul 12.00 tengah hari hingga pukul 4.00 petang dan dari pukul 3.00 petang hingga pukul 8.00 malam. Jika sudah tetapkan masa undangan secara berkumpulan, rumah tidak akan terlalu sesak dan mudah untuk berbual mesra melayani tetamu.

5. KEMAS RUMAH, SEDIAKAN KEMUDAHAN

Sebelum ketibaan tetamu, pastikan perabot disusun teratur agar terdapat ruang untuk tetamu bergerak.

Siapkan meja untuk letakkan hidangan. Yang penting pastikan ruang tamu tampil luas dan selesa untuk tetamu duduk makan sambil berbual mesra.

Food pexel
(Gambar: Pexel)

Jangan lupa juga untuk memastikan bilik tidur dikemas rapi selain tandas, tempat solat, sejadah dan telekung semua perlu disediakan.

Sebab apa, ada juga tetamu yang datang untuk menumpang bersolat selain perlu menggunakan tandas. Oleh itu pastikan semuanya teratur dan bersih.

6. LAYAN TETAMU

Jangan biarkan tetamu melayan diri sendiri semasa mengambil sajian. Walaupun terdapat ramai tetamu, cuba luangkan masa untuk duduk bersama mereka seberapa yang boleh.

Pastikan tetamu menikmati jamuan dan mendapat layanan yang baik dari tuan rumah sekeluarga.

Bagi yang memasak sendiri, pastikan lauk-pauk semuanya sudah siap sebelum tetamu tiba. Elakkan daripada terus berhempas pulas di dapur dan biarkan tetamu untuk melayani diri sendiri.

Ada kalanya, tuan rumah masih lagi sibuk di dapur menggoreng ayam dan sebagainya semasa tetamu hadir. Sebaik-baiknya siapkan semua juadah sebelum ketibaan tetamu.

7. AKSESORI

Jika terdapat ramai tetamu, ia adalah lebih praktikal untuk menggunakan piring dan pinggan pakai buang. Sesuai juga untuk tetamu yang mempunyai anak-anak kecil. Terdapat pelbagai corak dan warna piring kertas dan plastik bemutu di pasaran. Ia memudahkan anda dan tidak perlu bersusah-payah keluar masuk dapur untuk mencuci pinggan dan gelas-gelas kotor.

paper cups unsplash
(Gambar: Unsplash)

Jika tetamu tidak ramai dan tidak melebihi 10 orang bolehlah gunakan piring, pinggan dan mangkuk kaca yang ada dalam koleksi anda. Padankan dengan cawan atau gelas yang coraknya sama. Tak perlulah untuk gunakan aksesori pakai buang.

Pastikan alas meja anda sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas. Selain itu, jangan lupa untuk menyiapkan plastik hitam untuk tetamu membuang piring dan cawan kertas selain sisa makanan dan sampah setelah menikmati jamuan. Cara ini juga dapat memudahkan anda untuk mengemas rumah selepas majlis selesai dengan mudah dan berkesan.

8. DUIT RAYA

Akhir sekali, jangan lupa untuk menyiapkan duit raya dan sampul wang yang mencukupi. Biar lebih jangan kurang dan pastikan setiap sampul ada isinya. Periksa dulu sampul untuk elakkan daripada memberi sampul yang kosong.

Apa pun cara dan pilihan anda untuk mengadakan rumah terbuka, pastikan untuk memberi layanan yang terbaik dan penting untuk memastikan sajian yang mencukupi untuk tetamu. Selain itu, jangan lupa untuk mengambil gambar sebagai kenangan manis. Selamat Beraya!

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan