Skip to main content

Gaya Hidup

Muzium ArtScience lancar pameran baharu sempena ulang tahun ke-60 budaya pop SG

Muzium ArtScience akan melancarkan sebuah pameran imersif berbilang media baharu sempena ulang tahun ke-60 Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Muzium ArtScience lancar pameran baharu sempena ulang tahun ke-60 budaya pop SG

Pameran 'SingaPop! 60 Years of Singapore Pop Culture' diadakan dengan kerjasama mm2 Entertainment dengan sokongan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA). (Gambar: ArtScience Museum Singapore)

Diterbitkan : 08 Jul 2025 07:29PM Dikemas Kini : 08 Jul 2025 07:30PM
SINGAPURA: Muzium ArtScience akan melancarkan sebuah pameran imersif berbilang media baharu sempena ulang tahun ke-60 Singapura.

Pameran 'SingaPop! 60 Years of Singapore Pop Culture' diadakan dengan kerjasama mm2 Entertainment dengan sokongan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Ia juga pameran pertama oleh ikon negara dan penerima Pingat Kebudayaan Dick Lee - iaitu ahli muzik tersohor yang mengarang beberapa muzik Hari Kebangsaan seperti 'Home'.

"Setelah melalui dan menjadi sebahagian daripada evolusi identiti budaya kita dalam tempoh 60 tahun lalu, saya sangat berbesar hati untuk menampilkan pameran ini yang memaparkan identiti kita: Idiosinkratik, berwarna-warni dan keunikan kita sebagai warga Singapura," kata Encik Lee dalam satu kenyataan.

Pameran imersif itu menampilkan lima babak, dengan setiap satu meneroka aspek berbeza identiti budaya Singapura yang berkembang sepanjang 60 tahun lalu - dari kelahiran Singlish dan kemunculan makanan penjaja kepada transformasi fesyen tempatan.

Para pengunjung ke pameran itu juga boleh membaca kisah-kisah individu yang membentuk budaya pop Singapura termasuk penyanyi Kit Chan, raja komedi Kumar, ikon muzik Rahimah Rahim dan Encik Lee sendiri.

Selain itu, pameran itu juga mengandungi peta animasi yang menjejaki laluan penghijrahan masyarakat dari China, India, Kepulauan Melayu dan Eropah - meletakkan asas bagi kepelbagaian budaya yang membentuk Singapura hari ini.

Di tengah-tengah pameran itu adalah RojakLand yang menampilkan enam bahagian yang menonjolkan elemen yang membentuk budaya pop Singapura.

Para pengunjung boleh melangkah masuk ke dalam sebuah set teater dan meninggalkan jejak masing-masing di pavilion botani pusat di mana mereka boleh meninggalkan kesan cap pada ikon budaya pop kegemaran mereka.

Menambah lagi kepada keseronokan para pengunjung, bahagian SingaStyle meneroka bagaimana fesyen bantu membentuk identiti kebangsaan Singapura pada tahun-tahun 1950an.

Daripada pertandingan ratu cantik kepada gaya jalanan harian, para pengunjung dapat melihat gaun-gaun ratu cantik dari tahun 2013 hingga 2022, yang direka oleh pereka fesyen tempatan yang terkenal Frederick Lee dan Moe Kasim, beserta buku skrap fesyen digital yang disusun oleh Dick Lee.

Pameran itu juga memberi tumpuan kepada evolusi media Singapura.

Dalam sebuah bilik tayangan, para pengunjung boleh menyaksikan perkembangan landskap media Singapura - bermula dari siaran pertamanya pada 1963 kepada pelbagai platform berbilang bangsa hari ini.

Bahagian itu juga menampilkan filem dan rancangan ikonik tempatan yang membentuk naratif Singapura merentas generasi.

Pameran SingaPop! itu akan diadakan bermula 2 Ogos hingga 28 Disember.

Mereka yang berminat boleh melungsuri laman rasmi Muzium ArtScience untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita